SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berharap Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menyediakan sekurang-kurangnya 5,000 tempat kepada pelajar miskin dan anak yatim setiap tahun bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi itu.
"Dengan ini, dalam empat tahun, 20,000 pelajar miskin, anak yatim, anak pekebun kecil serta anak nelayan mendapat peluang untuk meneruskan pengajian mereka," katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Fasa 1 Kampus UiTM Puncak Alam di sini.
Beliau berkata, peningkatan peluang bagi mereka yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi dapat menghasilkan satu masyarakat yang seimbang.
Najib berkata, UiTM dapat memainkan peranan itu dengan membuka peluang yang lebih luas tanpa mengira kedudukan sosio ekonomi bagi mencapai matlamat yang amat diharapkan dalam negara ini.
Beliau berkata, di bawah konsep 1Malaysia, usaha perlu diteruskan bagi memastikan perseimbangan yang adil dan saksama supaya tidak ada jurang etnik atau kaum yang tertinggal dan tercicir.
Najib berkata, Uitm adalah salah satu wahana yang membela ketidakadilan sejarah yang menimpa orang Melayu dan Bumiputera setelah terpinggir dari arus pembangunan perdana lebih 400 tahun.
"Inilah amanah yang perlu dijunjung pada setiap masa bagi setiap peringkat di dalam kepimpinan UiTM dan inilah satu ikrar kerana UiTM bukan semata-mata untuk menghasilkan graduan tetapi untuk meletakkan orang Melayu dan Bumiputera setaraf dengan kaum-kaum lain," katanya.
Sebagai kampus UiTM yang baru, Najib berharap Kampus Puncak Alam yang memang amat indah dengan ciri moden akan dapat membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik tetapi memiliki sikap dan sistem nilai yang murni dan positif untuk maju dalam keadaan persekitaran yang penuh saingan.
Beliau berkata, dengan wujudnya Fasa 1 kampus ini akan menyuntik semangat UiTM untuk terus membangunkan kurikulum, kemampuan tenaga pengajarnya dan aktiviti ko-kurikulum bagi menghasilkan pelajar-graduan yang berkualiti, dapat bersaing dan boleh dibanggakan untuk membawa obor perjuangan negara ke tahap lebih tinggi.
Najib berkata, sebenarnya UiTM telah dapat memainkan peranannya sebagai pendorong semangat kepada penuntut Melayu dan Bumiputera untuk menjadi insan yang terpelajar dan mulia. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment