JOHOR BAHRU: Kerajaan bertanggungjawab penuh jika pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) gagal mencapai hasrat untuk membela nasib rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berucap dalam Program Pemimpin Bertemu Rakyat di depan lebih 2,000 penduduk Taman Kota Masai di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Masai 2, di sini, semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara digariskan dalam GTP dan NKRA adalah kemahuan rakyat.
Katanya, semua perkara digariskan dalam pelan berkenaan menjadi matlamat utama kerajaan selaras dengan tradisi membela rakyat.
"Saya dan kerajaan sanggup memikul tanggungjawab jika, perkara itu (GTP) gagal dilaksanakan kerana zaman kerajaan mengetahui semuanya sudah berlalu.
"NKRA serta GTP adalah hasil penelitian serta maklumat balas daripada apa yang dimahukan rakyat negara ini," katanya.
Di KOTA ISKANDAR, Muhyiddin berkata kerajaan akan memastikan kewujudan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tidak akan menyebabkan jurang yang ketara dengan sekolah lain termasuk di luar bandar dan pedalaman.
Katanya, sebaliknya sekolah berprestasi rendah dan kurang cemerlang akan dibantu untuk membolehkan mereka muncul sebagai SBT pada masa akan datang.
"Kita nak letak penanda aras apabila mengumumkan SBT ini. Oleh itu, usaha perlu diteruskan untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing, memang ada perbezaan waktu ini tapi kita percaya mereka akan berusaha menjadikan sekolah terbaik," katanya. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment