Rakyat miskin disaran manfaat program PPR

Friday, February 12, 2010

PM mahu golongan susah mampu miliki rumah sendiri

KUALA LUMPUR: Rakyat berpendapatan rendah disaran memanfaatkan sepenuhnya Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membeli rumah selaras dasar kerajaan meningkatkan kadar pemilikan rumah di kalangan golongan miskin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata kadar sewa serendah RM124 sebulan bagi seunit rumah PPR harus dijadikan iktibar untuk berusaha ke arah membeli unit rumah diperuntukkan itu.

"Kita melengkapkan setiap kawasan perumahan PPR dengan segala keperluan yang memadai, termasuk dewan orang ramai, surau, tadika dan kedai bagi memastikan semua penduduk menikmati mutu kehidupan terbaik.

"Pada mulanya, sewa dulu. Bila sudah sewa dalam tempoh tertentu, kita tawarkan untuk jualan.

Bagi PPR (Kepong), bulan April nanti boleh masuk, siap sekali dengan sijil layak menduduki (CFO)," katanya selepas lawatan kerja ke PPR pekan Kepong, di sini, semalam.
Antara menteri mengiringi beliau ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

PPR Kepong merangkumi 948 unit rumah yang terbahagi kepada tiga blok, masing-masing 18 tingkat. Projek RM51 juta itu dibina pada 5 Julai 2003 dan menerima CFO pada 3 Februari lalu.

Kong berkata, 312 penduduk setinggan di kawasan setempat akan diberi keutamaan, manakala beberapa penduduk setinggan berdekatan turut dikenal pasti untuk ditempatkan di situ.

"Kita masih ada beberapa kelompok setinggan di sekitar Lembah Klang yang mahu ditempatkan semula menerusi program PPR ini dan berharap mendapat kerjasama mereka," katanya.
Sementara itu, Raja Nong Chik menggesa penduduk setinggan yang diperuntukkan rumah berpindah segera kerana masih ramai yang menunggu peluang untuk berpindah.

"Masalahnya, bila kita nak bagi rumah, mereka minta tetapi tak mahu pindah. Ini menyebabkan rumah berkenaan tinggal kosong. Bila rumah kosong, ia cepat rosak menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan.

"Mereka yang masih dalam senarai menunggu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada 20,000 orang. Jadi, saya minta setinggan yang patut berpindah, buat secepat mungkin sebab dalam masa terdekat mereka akan dapat membeli rumah," katanya.

Terdahulu, Najib melawat kawasan perniagaan Jalan Petaling bagi meninjau perkembangan terkini kawasan yang menjadi tumpuan utama pelancong asing di ibu negara. Perdana Menteri yang berbaju batik dan berseluar gelap tiba jam 4.45 petang disambut meriah dengan persembahan tarian singa dan naga.

Lebih 500 orang menyambut ketibaan Perdana Menteri, sekali gus menyebabkan berlaku kesesakan di laluan masuk Jalan Petaling. Turut sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Umno Bukit Bintang, Zainal Abidin Mohd Rafique.

Najib meluangkan masa 45 minit beramah mesra dengan peniaga dan menemui Presiden Persatuan Penjaja Jalan Petaling, Datuk Ang Say Tee. Ia adalah lawatan kedua kedua Perdana Menteri ke Jalan Petaling selepas lawatan pertama pada 4 April 2009. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya