Najib garis 4 tonggak penting laksana agenda kerajaan

Monday, February 8, 2010

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan empat perkara yang menjadi tonggak penting untuk melaksanakan agenda kerajaan bagi tahun ini.

Perdana Menteri berkata empat perkara itu ialah gagasan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).



Katanya dua perkara lain yang menjadi sebahagian daripada empat tonggak itu ialah pemikiran yang kreatif dan inovatif serta kepantasan membuat keputusan, dasar dan pelaksanaan, yang berkaitan dengan daya saing sesebuah negara.

"Saya harap penjawat awam akan beri komitmen sepenuhnya apa yang dianggap penting untuk memenuhi jangkaan dan harapan rakyat.

"Agenda kita untuk tahun ini dan dengan aliran pemikiran kita, jika digabungkan, tahun ini boleh menjadi tahun yang berjaya," katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Najib berkata gagasan 1Malaysia bukan slogan atau retorik semata-mata tetapi membawa pengertian yang amat mendalam dari segi dasar, pendekatan dan perubahan yang hendak dilakukan oleh kerajaan.

Katanya ia satu usaha bagi memacu perpaduan nasional yang membawa kepada kestabilan dan bergerak dalam satu keluarga yang besar untuk menuju matlamat yang sama.

"Terdapat kumpulan dan individu yang ingin merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam negara, dan walaupun ia kecil tetapi ingat, bara kecil yang tidak dipadamkan, boleh menjadi api yang akan menghancurkan dan membinasakan kita.

"Jika gereja dan surau dibakar, kepala khinzir dicampak ke pekarangan masjid, ini adalah perkara serius yang mesti ditangani bersama.

"Gagasan 1Malaysia amat penting, kita mesti memupuk rasa kekeluargaan sesama kita walaupun pelbagai kumpulan etnik, budaya dan sebagainya tetapi kita adalah 1Malaysia," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya