RM8 juta biayai i-MKM lahir tenaga mahir

Tuesday, February 2, 2010


Ismail Sabri Yaakob menurunkan tanda tangan pada plat perasmian Maktab Kerjasama Malaysia Wilayah Selatan dan perjanjian Skim Pinjaman Pendidikan i-MKM di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 1 Feb. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memperuntukkan RM8 juta sebagai dana permulaan skim pinjaman pendidikan i-MKM untuk pelajar Maktab Kerjasama Malaysia (MKM).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui pinjaman yang diusahakan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), MKM dan Bank Rakyat itu, para pelajar akan mendapat pinjaman antara RM3,000 dan RM50,000 seorang.

Menurutnya, penubuhan skim pinjaman itu salah satu usaha MKM untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi menggerakkan koperasi.

"Pinjaman itu dikhaskan untuk pelajar MKM yang mengikuti program diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Koperasi serta mereka diharap belajar dengan lebih gigih, seterusnya berkhidmat dalam sektor koperasi.

"Lagipun selama ini pelajar MKM bermasalah mendapatkan pembiayaan awal pelajaran termasuk daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jadi dengan adanya skim ini ia mampu memberi ruang kepada mereka untuk belajar," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan MKM Wilayah Selatan dan penyerahan dokumen perjanjian Skim Pinjaman Pendidikan i-MKM antara SKM, MKM dan Bank Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang.

Tambah Ismail Sabri, skim pinjaman pendidikan tersebut akan ditukarkan kepada biasiswa sekiranya peminjam mendapat keputusan cemerlang sepanjang pengajian mereka.

Mengenai pembukaan MKM Wilayah Selatan yang merupakan cawangan keempat itu, beliau berharap maktab itu dapat memberi latihan dan pendidikan kepada anggota koperasi di wilayah selatan secara berterusan.

Katanya, MKM juga diharap membantu mempercepatkan pembangunan di Iskandar Malaysia khususnya dalam bidang latihan perdagangan dan peruncitan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kementerian menyasarkan peningkatan bilangan koperasi kepada 10,000 buah menjelang 2013.

Sehingga Disember 2009, jelasnya, terdapat 7,131 koperasi berdaftar di negara ini dengan keahlian 6.5 juta orang dan pendapatan RM9.28 bilion.

"Dengan adanya banyak koperasi, diharap ia mampu membantu meningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Saya sarankan mereka turut ceburi pelbagai bidang seperti perdagangan dan pengedaran, peruncitan, pemborongan, francais dan peladangan," katanya. - Utusan

1 comments:

Anonymous said...

Sertai Rakan Koperasi 1KUBSB
...dapatkan diskaun, baucar dan rebat tunai untuk koperasi tuan/puan. Cepat, tawaran TERHAD!

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya