UiTM sedia ambil 10,000 pelajar miskin, anak yatim

Monday, February 15, 2010

Universiti tiada tetap kriteria, syarat pendapatan isi rumah

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengambil 10,000 pelajar miskin, termasuk anak yatim setiap tahun untuk melanjutkan pelajaran di kampus induk Shah Alam dan 12 kampus cawangan seluruh negara, mulai Jun ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata pengambilan itu akan dibahagikan kepada masing-masing 5,000 pelajar miskin pada setiap sesi kemasukan Jun dan Disember.

Beliau berkata, tiada sebarang kriteria khusus mahu pun syarat pendapatan seisi rumah ditetapkan sebagai penentu taraf kemiskinan pelajar yang layak menerima bantuan itu, sebaliknya tawaran kemasukan akan dibuat berdasarkan pertimbangan setiap kes individu.

"Pertimbangan akan disesuaikan mengikut kedudukan setiap pelajar yang dikenal pasti. Sebagai contoh, ada pelajar yang ibu bapanya berpendapatan RM2,000 sebulan, tetapi memikul tanggungan yang besar kerana mempunyai ramai anak.

"Selain itu, peluang kemasukan juga akan ditawarkan kepada pelajar miskin yang memenuhi syarat kelayakan minimum, tetapi gagal melanjutkan pelajaran ke universiti kerana merit tidak mencukupi dalam persaingan permohonan sebelum ini.

"Malah, UiTM akan turut mengkaji memberi kelonggaran kepada pelajar miskin tegar yang tidak memenuhi syarat kelayakan minimum. Tidak timbul soal langkah ini menjejaskan kualiti pelajar UiTM kerana mereka akan menjalani program peralihan selama satu semester yang disediakan di semua kampus," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap UiTM menyediakan sekurang-kurang 5,000 tempat kepada pelajar miskin dan anak yatim setiap tahun bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Secara keseluruhan, Sahol Hamid berkata, peluang kemasukan akan ditawarkan kepada pelajar miskin di bandar dan juga luar bandar, termasuk daripada keluarga nelayan, petani dan peneroka Felda.

"Ini selaras matlamat kerajaan membantu mereka sekeluarga keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendidikan. UiTM lazimnya mengambil antara 20,000 hingga 25,000 pelajar setiap semester. Namun, penambahan pelajar miskin ini tidak akan menjejaskan bilangan pengambilan biasa. Malah, ini adalah satu cara untuk memenuhi sasaran 200,000 jumlah pelajar UiTM menjelang 2015," katanya.

Sahol Hamid berkata, setiap kampus UiTM boleh menampung kemasukan minimum 500 pelajar miskin terbabit pada setiap sesi kemasukan, dan kakitangan universiti itu di setiap negeri sudah digerakkan mulai semalam untuk `operasi mencari' calon tempatan masing-masing, termasuk dengan kerjasama pihak jabatan pelajaran negeri (JPN).

"Lazimnya pelajar miskin, terutama di luar bandar, kurang cenderung untuk memohon. Selain itu, inisiatif ini secara langsung dapat mengimbangi bilangan pelajar perempuan yang mencecah 70 peratus di universiti sekarang kerana kebanyakan pelajar miskin yang 'tercicir' daripada melanjutkan pelajaran adalah lelaki, sekali gus membantu mereka menjauhi gejala negatif. Bagaimanapun, tiada sebarang kuota jantina ditetapkan dalam konteks ini," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya