Tiga jeti baru pendaratan ikan di Jerlun

Saturday, February 13, 2010

JERLUN 12 Feb. - Lebih 300 nelayan di kawasan Parlimen Jerlun bakal mendapat manfaat daripada pembinaan tiga jeti pendaratan ikan termasuk sebuah yang bertaraf kompleks pendaratan mini.

Ahli Parlimennya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sebuah daripada jeti tersebut yang terletak di sini telah siap dibina manakala sebuah lagi jeti di Kuala Kerpan sudah diluluskan pembinaannya.

Katanya, kompleks pendaratan ikan yang bertaraf mini itu pula masih dalam pembinaan di Kuala Sanglang.

''Kompleks mini itu turut dilengkapi pejabat, tempat penyimpanan dan kemudahan untuk industri kecil dan sederhana.

''Kesemua projek itu yang menelan belanja lebih RM3 juta bertujuan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada para nelayan di dalam kawasan Parlimen Jerlun,'' katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup kepada 280 nelayan dalam kawasan Parlimen Jerlun di sini semalam.

Beliau berharap pembinaan kemudahan itu akan menaikkan semangat para nelayan untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.

"Ia juga menggambarkan usaha bersungguh-sungguh oleh kerajaan bagi membela nasib para nelayan di negara ini yang telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya