2,000 penduduk Lumiri dapat manfaat projek sawit

Wednesday, February 10, 2010


Sebahagian daripada penduduk yang menghadiri taklimat projek tanaman kelapa sawit secara komersial di Keningau, Sabah, kelmarin.

KENINGAU 9 Feb. – Lebih 2,000 penduduk dari lapan kampung sekitar Lumiri, di sini bakal mendapat manfaat daripada projek tanaman kelapa sawit yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi LKTNS, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin berkata, projek yang dibangunkan di bawah program Pembangunan Tanah Terancang (PTT) akan membabitkan kawasan seluas 5,665 hektar.

“Ia akan menggunakan konsep usahasama di mana penduduk kampung akan menjadi peserta projek berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dan dialog bersama penduduk kampung terlibat di sini semalam.

Hadir sama ialah Ketua Operasi LKTNS, Azli Teo; Penyelaras LKTNS Nabawan, Ulin Pamiang; Pegawai Kemajuan Masyarakat Nabawan, Barahim Andipoh; Ketua Anak Negeri Nabawan, Asrie Ulah dan pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan ini.

Katanya, antara lapan kampung yang terlibat ialah Kampung Pohon Batu, Binanun, Sumbiling, Nangkawangan, Lumiri dan Memagun.

Beliau berkata, projek tanaman kelapa sawit secara komersial mampu mempercepatkan pembangunan kawasan tersebut bagi meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Menurutnya, ia juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekali gus dapat mengurangkan penghijrahan belia ke bandar.

“Pada masa ini ramai belia kita berhijrah ke Kota Kinabalu atau Semenanjung. Ini dapat dikurangkan apabila kawasan itu dibangunkan dengan tanaman sawit secara komersial,” jelasnya.

Ghani yang juga Ketua UMNO Bahagian Pensiangan berkata, selain menerima manfaat dari sudut ekonomi, penduduk juga dijangka menerima pelbagai kemudahan melalui program kebajikan yang akan dilaksanakan LKTNS.

Justeru katanya, penduduk terbabit perlu memberikan kerjasama penuh kepada pihak pengurusan LKTNS bagi mempercepatkan pembangunan kawasan itu. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya