RM7 juta bina jeti baru pendaratan ikan Sungai Chenang

Wednesday, February 17, 2010

LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam meluluskan peruntukan RM7 juta bagi membina sebuah jeti pendaratan ikan baru di Kampung Sungai Chenang, di sini, bagi memudahkan lebih 160 nelayan di perkampungan itu menjalankan kegiatan mereka.

Beliau membuat pengumuman itu ketika melakukan lawatan dan tinjauan mesra mengejut di jeti berkenaan sempena percutian beliau ke pulau ini sejak Ahad lalu.

Perdana Menteri berkata, projek itu turut membabitkan pembinaan satu terusan menghubungkan pantai dengan jeti berkenaan berikutan Sungai Chenang di situ semakin sempit dan tidak dapat menampung jumlah bot nelayan yang semakin bertambah.

"Saya dimaklumkan, nelayan di kawasan ini tertekan kerana sungai yang semakin sempit dan sesak apabila bilangan bot semakin banyak menyebabkan mereka susah nak turun ke laut.

"Oleh itu, kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani) mencadangkan dibina pangkalan dan laluan baru bagi memudahkan bot nelayan berulang alik," katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum; Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib dan Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan Sungai Chenang, Asri Shaaban.

Najib berkata, kunjungan beliau ke perkampungan nelayan yang pernah dilanda tsunami pada Disember 2004 itu adalah sebahagian daripada pendekatannya melakukan tinjauan mesra terhadap rakyat pada peringkat bawahan tanpa sebarang protokol.

Sementara itu, Asri berkata, penduduk berterima kasih kepada Perdana Menteri yang datang melawat mereka dan meluluskan peruntukan bagi meningkatkan kemudahan di kampung berkenaan.

"Kami amat mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri itu kerana sudah menunggu jeti dan terusan yang lebih besar dibina sejak 15 tahun lalu bagi memudahkan nelayan keluar masuk ke laut dan menaikkan hasil tangkapan.


"Ia ibarat satu rahmat kerana selain membawa peruntukan, Perdana Menteri sanggup turun padang melihat kehidupan kami dengan lebih dekat," katanya.

Beliau berkata, nelayan di situ memiliki kira-kira 220 bot yang semuanya beroperasi di pesisir pantai dan mempunyai pendapatan antara RM1,500 dan RM1,800 sebulan.

Katanya, terusan yang akan dibina bagi menghubungkan pantai dengan jeti itu adalah sepanjang kira-kira satu kilometer. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya