Belia Disaran Jalani Latihan Untuk Prospek Pekerjaan

Tuesday, February 2, 2010

IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Peluang pekerjaan dalam industri berteknologi tinggi perlu direbut oleh belia yang tidak berpeluang menyambung pelajaran dengan menyertai pelbagai kursus dan latihan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran sentiasa terbuka luas dalam sektor industri terutama yang berasaskan teknologi.

"Kita dapat banyak maklumat daripada pelabur-pelabur dalam bidang yang berteknologi tinggi yang ingin meluaskan perniagaan...mereka mahukan pekerja yang berkemahiran dan banyak pertanyaan daripada mereka adakah kita mampu menyediakan pekerja sebelum bertapak di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyampaikan Sijil Tamat Latihan Program Perantisan Belia 3K Belia Bistari dan Latihan Kemahiran Tidak Formal 2009 kepada 637 peserta di sini Isnin.

Dr Zambry berkata KBS menyediakan pelbagai kursus kemahiran manakala kerajaan negeri pula menyediakan beberapa peluang latihan dan kursus seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Beliau berkata belia yang berminat diminta menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memohon menyertai pelbagai kursus dan latihan yang disediakan.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri juga sentiasa memantau perkembangan para peserta yang tamat latihan atau kursus bagi menempatkan mereka di mana-mana jabatan kerajaan yang mempunyai kekosongan.

"Kita tidak mahu ia habis setakat itu selepas mereka menamatkan kursus selama enam bulan," katanya. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya