|
|
KULAIJAYA 3 Feb. - Ketidaksempurnaan fizikal pelajar-pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura, bukan penghalang kepada penghuni sekolah berkenaan menimba ilmu.
Seperti pelajar lain, mereka gigih belajar bagi memastikan ilmu yang diajar para guru dapat digunakan sebagai panduan hidup.
Lantaran kesungguhan pelajar dan tenaga guru sekolah berkenaan, maka sekolah yang diterajui oleh Pengetuanya, Khadijah Mohamad telah diiktiraf sebagai sekolah kluster pada tahun lalu.
Pengiktirafan itu adalah yang pertama bagi sekolah pendidikan khas di negara ini.
Menurut Khadijah, 53, sekolah yang mula beroperasi sejak 2004 itu, sekarang ini mempunyai 130 pelajar dari tingkatan empat dan lima, dengan 52 tenaga pengajar.
"Sekolah ini istimewa kerana pelajar-pelajarnya terdiri daripada mereka yang bermasalah penglihatan (buta), pendengaran (pekak) dan pembelajaran (lembam).
"Untuk setiap kategori, ada kursus berbeza mengikut tahap kemampuan mereka. Selain kursus tersebut, mereka juga perlu mengikuti mata pelajaran teras dan elektif," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Katanya, mata pelajaran teras adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Agama/Moral, Sains, Sejarah dan PJK, sementara mata pelajaran elektif adalah seni visual dan literasi komputer.
Sementara itu, kursus yang ditawarkan untuk pelajar lembam adalah kursus jurukecantikan, pendandan rambut muda, pembantu penyedia makanan, atendan bilik dan atendan linen.
Untuk pelajar buta, kursus yang boleh diikuti adalah refleksologi tahap 2 dan pelajar kategori masalah pendengaran pula mengikuti kursus grafik komputer, penjagaan muda dan dandanan rambut.
Kata Khadijah, misi sekolah berkenaan adalah memberi pendidikan berkualiti kepada semua pelajar bagi melahirkan insan berilmu, berketrampilan dan berdikari berlandaskan falsafah pendidikan kebangsaan.
"Apa yang penting kita dapat melatih para pelajar dalam satu bidang vokasional yang bakal digunakan kelak. Kita mahu golongan istimewa begini merasakan yang mereka juga diperlukan dan bukan dipinggirkan.
"Dari segi akademik, mungkin mereka tidak dapat setanding dengan pelajar biasa tapi kalau mereka ada kepakaran dalam sesuatu bidang, ia dapat membantu mereka untuk berdikari," katanya.
Malah, sekolah yang sering dilawati oleh pelbagai pihak itu turut memperkenalkan konsep edutourism.
Menurut Khadijah, menerusi edutourism pelawat atau tetamu yang datang akan diberi penerangan tentang kursus dan mata pelajaran yang diajar di sekolah berkenaan.
Selain itu, tetamu juga berpeluang untuk mendapat pelbagai khidmat daripada pelajar mengikut kursus yang diikuti.
"Mula-mula tetamu akan bergambar sebelum melawat kelas-kelas. Gambar tersebut akan disunting oleh pelajar yang mengikuti kursus grafik komputer.
"Setelah melawat sekitar sekolah, tetamu pasti berasa letih dan di sini kita menyediakan perkhidmatan refleksologi daripada pelajar. Kira ini adalah pendidikan sambil melawat," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment