Taman lokan serba unik

Tuesday, February 16, 2010


Zainal Md. Ali (tengah) menerangkan khasiat lokan kepada pengunjung yang datang melawat Taman Lokan Laut miliknya di Kampung Paya Lebar, Ramuan China, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini. – utusan/nas norziela nasbah


ALOR GAJAH 15 Feb. – Kata orang ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’ dan begitu juga dengan rezeki yang menjadikan seseorang itu beroleh pendapatan lumayan serta kehidupan lebih selesa.

Rezeki tidak semestinya berada di bilik berhawa dingin, di kilang-kilang ataupun stesen minyak tetapi bagi yang terpaksa bergelumang dengan lumpur paya juga mampu menjanjikan pulangan lumayan.

Lokan ialah sejenis makanan laut dalam spesies kepah dan kupang mampu menyara kehidupan pengusaha.

Umum mengetahui, mencari lokan bukan tugas mudah kerana terpaksa mengharungi tanah liat yang digenangi air kehitam-hitaman sehingga paras lutut dan menyusup pula di celah-celah pokok nipah untuk mencungkil lokan dari tanah lumpur.

Kesukaran itu, menyebabkan tidak ramai yang sanggup meredah tanah berlumpur untuk mencari lokan apatah lagi dalam keadaan paya bakau yang boleh mendatangkan ancaman haiwan berbahaya seperti ular, biawak mahupun buaya.

Lokan merupakan sejenis makanan laut yang menyerupai siput kepah tetapi mempunyai saiz yang besar dan kulitnya berwarna coklat.

Ramai yang tidak tahu, lokan boleh didapati di kawasan paya berhampiran dengan sungai dan mudah dicari itu boleh membiak secara liar mahupun diternak.

Lokan kini menjadi makanan paling digemari oleh kebanyakan penduduk di Melaka, malah di sepanjang jalan dari Kuala Sungai Baru hingga ke pusat bandar, pasti akan terlihat orang menjual lokan.

Di kalangan penduduk yang berhampiran dengan paya bakau, kerja-kerja mencari lokan menjadi kegemaran mereka kerana ia menjanjikan pendapatan tambahan.

Bagaimanapun bagi bekas anggota Rejiman Askar Melayu Diraja (RAMD), Koperal (B) Zainal Md. Ali, 57, beliau memang kreatif menggunakan peluang menjadikan tanah paya untuk mengusahakan Taman Lokan Siput.

Dikenali sebagai Pak Zainal Lokan, anak kelahiran Ramuan China Besar itu pada mulanya membiakkan 20 ekor lokan, kini dianggarkan bertambah menjadi hampir 3,000 ekor di kawasan seluas 0.96 hektar di taman lokan tersebut.

Mengenai Taman Lokan Siput serba unik yang telah dibinanya sejak setahun lalu, Zainal memberitahu, mewujudkan taman itu adalah merupakan impiannya sejak dahulu lagi.

‘‘Saya begitu tertarik mengenai lokan yang mempunyai banyak kelebihan tetapi ramai yang tidak tahu mengenainya.

‘‘Oleh itu, saya merasakan lokan ini sepatutnya dikomersialkan secara besar-besaran dan menggalakkan lebih ramai orang makan lokan seperti menggemari kerang dan makanan laut lain,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sepanjang mencari sumber rezeki di lautan mahupun sungai katanya, dia sentiasa memikirkan untuk mewujudkan sebuah taman lokan bagi membolehkan pembiakan lokan yang banyak.

‘‘Keadaan ini membolehkan pembiakan lokan yang banyak dan boleh dijual sepanjang masa tanpa mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Ditanya mengenai lokasi yang dipilih sebagai taman lokan, Zainal berkata, dia berterima kasih kepada Pejabat Tanah Daerah Alor Gajah dan Jabatan Perikanan yang memberi bantuan sehingga usahanya membuahkan hasil.

Apa tidaknya, kini Taman Lokan Laut Zainal bukan saja membantu dalam meningkatkan pasaran lokan tetapi ia juga dikunjungi oleh para pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Lokasi yang berhampiran Sungai Rembau-Linggi itu menjadi pilihan agensi pelancongan PD Travel & Tours Sdn. Bhd., bagi membawa para pelancong luar negara melawat Taman Lokan Laut milik Zainal.

Taman milik Zainal Lokan Enterprise ini, sentiasa menerima dua atau tiga kumpulan pelancong yang akan membuat lawatan ke tempatnya.

‘‘Baru-baru ini saya menerima lawatan 12 wakil media dari Thailand. Mereka memberitahu saya bahawa di Thailand juga mempunyai pembiakan lokan tetapi tidak sama dengan saiz lokan yang ada di sini,” katanya.

Menurut Zainal, maklumat itu menjadi inspirasinya untuk terus bergiat aktif dalam mengusahakan taman lokan tersebut.

Bercerita tentang hasratnya, dia berkata, sukar untuknya mewariskan bakat dimiliki kepada anak-anak muda hari ini kerana bukan semua berminat hidup bergelumang dengan lumpur dan ombak.

‘‘Pada pendapat saya, anak-anak muda lebih suka hidup dan bekerja dalam pejabat berhawa dingin, sedangkan satu kerugian besar kerana sektor akuakultur banyak memberi kebaikan, termasuk menjana pendapatan lumayan.

‘‘Oleh itu, saya mempunyai hasrat untuk menarik minat anak-anak muda dalam mewarisi ilmu pembiakan lokan ini.

‘‘Sehingga kini, ada sebuah institusi telah menghantar pelajar mereka untuk menjalani latihan praktikal dan penyelidikan di Taman Lokan Laut ini,” katanya.

Menurut Zainal, beliau masih memerlukan bantuan daripada segi kewangan bagi mencantikkan lagi taman tersebut.

‘‘Taman lokan ini masih baru dan banyak lagi kemudahan yang tidak mencukupi dan menjadi masalah kepada pelancong yang datang mengunjungi taman ini,” katanya. - Utusan

3 comments:

joe FZR said...

Terbaik...Pakcik Zainal..
Terima kasih buat ketua JKKK dan semua penduduk Kg. Ramuan China Besar, Alor Gajah, Melaka...

dr..Pelajar Senibina landskap UiTM, Shah Alam
"Kajian Landskap Budaya"
29-31 Julai 2010

Anonymous said...

Terbaik Mastana Tourism Location

Ieda Baharudin said...

Saya sedang mencari lokan.. bagaimana untuk mendapatkan lokan fresh ni? Siapa yg saya perlu hubungi?

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya