PM gesa seluruh rakyat beri khidmat sukarela

Sunday, January 31, 2010

Golongan miskin perlu dibantu tanpa perbezaan kaum

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak meminta seluruh rakyat Malaysia yang berkemampuan berganding bahu memberi khidmat sukarela dalam pelbagai kegiatan amal bagi memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama.

Perdana Menteri berkata, sumbangan dan bantuan itu perlu berdasarkan keperluan asas rakyat negara ini terutama yang kurang bernasib baik.

Malah, katanya, kerajaan sememangnya amat mengalu-alukan semangat sukarelawan kerana penyertaan mereka dalam kegiatan amal dapat mengharmonikan negara sekali gus membawa kesejahteraan rakyat.

"Inilah semangat 1Malaysia yang perlu dipegang semua pihak kerana kita adalah rakyat satu bangsa dan negara dan semangat seperti ini akan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat," katanya berucap pada Majlis Perasmian Kem Kesihatan dan Perubatan 1Malaysia di Kuala Pahang, dekat sini, semalam.

Kem sehari yang dikunjungi lebih 1,000 penduduk sekitar kawasan Parlimen Pekan itu dianjurkan Kelab Rotary Metro Diraja Kuantan (KRMDK) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Majlis Daerah Pekan. 

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wan Razali Wan Mahussin; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Presiden KRMDK, Dr S Kanapathy Pillai dan Penasihat Kem Kesihatan dan Perubatan 1Malaysia, Datuk Dr Penny Tevaraj.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, usaha dan kesediaan kelab itu melakukan kerja amal sedemikian adalah satu nilai murni yang membanggakan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Apa yang dilakukan Kelab Rotary menerusi program ini benar-benar memperlihatkan semangat 1Malaysia kerana walaupun ramai ahlinya dari kalangan bukan Melayu tetapi mereka sanggup berkhidmat di kampung nelayan yang majoritinya penduduk Melayu di Kuala Pahang ini," katanya.

Beliau berkata, mereka yang lebih bernasib baik seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki berbanding dengan mereka yang kurang berkemampuan seperti penduduk di Kuala Pahang yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.
Sementara itu, Dr Kanapathy dalam ucapannya berkata, kelab yang baru berusia tiga tahun itu bermatlamat membawa senyuman kepada semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina dan India dengan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Pada majlis itu, KRMDK turut menganugerahkan Keahlian Kehormat kepada Najib sebagai menghargai sumbangannya kepada masyarakat dan rakyat negara ini.

Terdahulu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) daerah Pekan termasuk anak Orang Asli. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya