Mara utamakan pelatih GiatMara dapatkan premis niaga

Thursday, February 4, 2010

PEKAN 3 Feb. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengutamakan bekas pelatih Pusat GiatMara untuk mendapatkan premis perniagaan yang dibina agensi itu bagi memudahkan mereka memulakan perniagaan.

Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, langkah itu bagi memberi lebih banyak peluang kepada bekas pelatih Giat Mara menceburi bidang perniagaan berasaskan kemahiran yang dimiliki.

Beliau menyedari ramai bekas pelatih GiatMara menghadapi kesukaran untuk memulakan perniagaan berikutan kegagalan mendapatkan premis.

''Kita akan mengutamakan produk-produk kita untuk diberikan tempat menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titian Murni di sini hari ini.

Shahiruddin berkata, pihaknya juga meminta pihak berkuasa tempatan memberi keutamaan kepada bekas pelatih GiatMara untuk mendapatkan tempat berniaga di kawasan pentadbiran mereka.

''Kita berharap majlis-majlis daerah memberi perhatian kepada bekas pelatih GiatMara yang ingin memulakan perniagaan mereka," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan majlis penerangan di semua sekolah di seluruh negara mengenai peranan Giat Mara pada tahun ini.

Menurut beliau, majlis penerangan itu akan ditumpukan kepada pelajar tingkatan tiga dan lima yang mungkin gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas peperiksaan.

''Kita mahu pelajar yang mungkin tercicir dalam peperiksaan, tahu hala tuju mereka jika tidak dapat melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi.

''Kita dapati selama ini pelajar yang gagal dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak tahu bahawa ada saluran lain yang boleh memberikan masa depan yang cerah kepada mereka," katanya.

Shahiruddin berkata, GiatMara menyediakan pelbagai latihan dan kemahiran kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan utama.

''Kita mempunyai modul latihan yang sistematik dengan menawarkan pelbagai kursus termasuk kejuruteraan, kimpalan, jahitan dan membuat kek," jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya meminta pemimpin masyarakat mengenal pasti kursus yang sesuai dengan keperluan penduduk setempat bagi memudahkan Giat Mara menyediakan tenaga pengajar dan peralatan.

''Jika sesebuah kawasan itu memerlukan kursus jahitan, kita akan menghantar tenaga pengajar dan peralatan yang diperlukan di kawasan terbabit.

''Misalnya di Pekan, kita menyediakan kursus automotif bagi memudahkan golongan muda di sini mendapatkan pekerjaan dalam sektor pembuatan kereta," jelasnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya