PM umum lancar TP 1Malaysia

Tuesday, February 2, 2010

Tabung Penyelenggaraan tingkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi, mengumumkan pelancaran Tabung Penyelenggaraan Satu Malaysia (TP 1Malaysia) bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah di ibu kota, terutama mereka yang mendiami rumah kos rendah milik swasta.

Perdana Menteri berkata, ia bertujuan memastikan keselesaan warga kota yang menghuni kawasan perumahan bertingkat dalam keadaan bersih, sempurna, selamat dan ceria.

Katanya, buat permulaan TP 1Malaysia akan mendapat sumber kewangan daripada agensi kerajaan dan swasta berjumlah RM37.6 juta.

"Sumber kewangan ini akan dijana menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (RM5 juta), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (RM10 juta), firma swasta (RM2.6 juta) dan kerajaan Pusat (RM20 juta).

"Tabung berkenaan adalah usaha murni kerajaan yang prihatin untuk mewujudkan satu tabung khas bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah kos rendah khususnya di ibu kota" katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2010 di Dataran Merdeka, di sini. Pada majlis itu Perdana Menteri turut melancarkan penubuhan TP 1Malaysia.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abd Rahman serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Tema sambutan tahun ini ialah 1Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera.

Najib berkata, skop tabung itu adalah khusus untuk kerja penyelenggaraan lif, tangga, bumbung, mengecat bangunan dan kerosakan umum.

Beliau berkata, peruntukan wang akan disalurkan selepas tempoh kecacatan pembangunan tamat dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC) ditubuhkan.
Penggunaan TP 1Malaysia adalah tertakluk kepada kemampuan JMB atau JMC masing-masing.

"Wang akan digunakan berkonsep satu sama satu atau pemadanan geran yang mana separuh kos penyelenggaraan dibiayai TP 1Malaysia dan selebihnya oleh Tabung JMB atau JMC," katanya.

Perdana Menteri berharap, selepas kediaman mereka diselenggara, penghuni dapat bersama-sama memelihara dan menjaga kediaman mereka sebaik mungkin. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya