Malaysia pembekal produk halal utama dalam lima tahun

Friday, February 12, 2010

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Malaysia mampu menjadi antara peneraju pembekal produk halal untuk memenuhi keperluan 1.5 bilion penduduk Islam di seluruh dunia dalam tempoh lima tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kemampuan itu boleh dicapai menerusi Program Halalan Toyyiban dan hab halal yang akan dilaksanakan sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).


Menurutnya, langkah itu mampu dilaksanakan berikutan prasarana ekonomi yang telah disediakan serta bantuan kerajaan ke arah merealisasikan matlamat tersebut.

Nilai pasaran industri makanan halal sedunia dianggarkan mencecah RM2 trilion setahun dan RM45 bilion untuk pasaran negara ini.

"Dengan komitmen dan ketekunan tinggi, saya yakin hasil positif akan diperoleh dalam bidang perniagaan produk halal di kalangan umat Islam termasuk di peringkat global dalam tempoh 2011 hingga 2015," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Konsultatif Kebangsaan Standard Halalan Toyyiban di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Yayasan Ekonomi Sejagat (YES), Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen; Pengerusi Lembaga Pengarah YES, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation Sdn. Bhd. (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

"Jika peranan sistem perbankan Islam Malaysia hari ini berupaya menarik minat negara-negara bukan Islam, mengapa tidak kita turut menjadi peneraju pembekal produk halal untuk dunia di zaman ini," katanya.

Sebelum itu, Nor Mohamed dalam ucapannya berkata, YES bersama organisasi lain telah berusaha mewujudkan standard dalam program Halalan Toyyiban bagi meningkatkan nilai tambah produk halal dan tidak membabitkan kos tinggi.

Katanya, dengan adanya standard itu setiap produk halal yang dihasilkan dijamin kesuciannya sepanjang rantaian bekalan walaupun melalui proses pengangkutan, penggudangan, pembungkusan dan peruncitan.

Beliau juga berkata, program itu adalah inisiatif untuk memantapkan sistem pensijilan halal MS1500:2009 yang merupakan standard pertama diwujudkan di dunia.

Menurutnya, selain YES, usaha itu turut dipelopori oleh Standards Malaysia, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).persembahan bagi menembusi pasaran global. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya