Udang Galah Sumber Rezeki Penduduk Pinggir Sungai Kerian

Wednesday, February 10, 2010

BANDAR BAHARU, 9 Feb (Bernama) -- Sungai Kerian yang memisahkan Bandar Baharu dengan Kerian di sebelah Perak, merupakan tempat mencari rezeki kebanyakan penduduk Bandar Baharu yang tinggal di pinggir sungai itu.

Sungai itu merupakan lubuk udang galah dan sehingga ini memberi pendapatan kepada lebih 200 orang yang memancing dan menahan bubu di situ.

Selain itu ikan kelisa emas (arowana) juga banyak terdapat di dalam Sungai Kerian yang memberi rezeki tambahan kepada nelayan.

"Sepanjang tahun lepas purata kami menangkap lebih 100 kilogram udang galah setiap hari dan dijual antara RM30 hingga RM40 satu kilogram," kata Abdul Aziz Mat, 65, pakar penangkap udang galah di Sungai Kerian sejak 10 tahun lepas.

Katanya beliau biasa mendapat tiga hingga lima kilogram udang galah setiap kali keluar memancing dari malam hingga awal pagi.

Ketika ditemui di pengkalan nelayan sungai di Kampung Parit Teropong atau juga dikenali sebagai Kampung Kubu, Abdul Aziz yang terkenal dalam kalangan rakan-rakannya sebagai pakar pemancing udang galah, turut menggunakan bubu untuk menangkap lebih banyak udang.

"Selain udang galah, saya menggunakan bubu untuk menangkap ikan ketutu (Oxyeleotris marmoratus) yang mendapat permintaan tinggi dan agak mahal di pasaran," katanya.

Selain itu bubunya turut dimasuki ikan seperti tapah dan teroboi.

Menurut Abdul Aziz, masa yang sesuai untuk memancing atau menahan bubu udang galah ialah pada waktu air surut dan air sungai jernih.

Udang galah sungai, kata,ya, lebih sedap rasanya daripada udang laut, dan mempunyai peminat tersendiri.

PANGKALAN UDANG

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Berjaya, Bandar Baharu, Borhan Jaafar, 37, berkata terdapat sembilan pengkalan penangkap udang galah di pinggir Sungai Kerian.

Pangkalan ini terletak di Kampung Besar, Kaampung Raja Atas, Kampung Raja Bawah, Kampung Baru Bagan Samak, Kampung Parit Nibong, Kampung Asam Kumbang, Kampung Lubuk Buntar, Kampung Selama dan Kampung Inchong.

Menurut peraih udang galah dari Kampung Baru, Bagan Samak, Yong Boon Woo, 37, setiap hari sepanjang bulan Disember tahun lepas hasil tangkapan udang galah agak mewah sehinggakan ramai pemancing menjual antara 40 hingga 50 kilogram sehari kepadanya.

"Harga bergantung kepada saiz udang galah. Bagi saiz 400 gram ke atas untuk seekor, harga borong mencecah RM40 hingga RM60 sekilogram," katanya.

Menurut Yong, udang galah yang dibelinya kebanyakannya dihantar ke Ipoh kerana terdapat banyak restoran makanan laut di sana.

UNTUK RESTORAN

Seorang lagi peraih udang galah, Azizan Hassan, 58, menjadikan rumahnya di Kampung Asam Kumbang sebagi lokasi tetap untuk membeli udang galah daripada penangkap.

"Saya membeli udang galah antara 80 hingga 100 kilogram setiap hari daripada penangkap di Sungai Kerian," kata Azizan yang bergantung kepada rezeki udang galah untuk membesarkan 11 orang anaknya.

Untuk sampai ke Bandar Baharu, pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan perlu keluar di Plaza Tol Bagan Samak dan mengambil jalan arah Bandar Baharu (Kedah) dan Parit Buntar (Perak).

Sebuah replika udang galah menjadi penunjuk arah untuk sampai ke Bandar Baharu. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya