Rujukan tunggal urus daftar niaga

Friday, February 12, 2010

PUTRAJAYA 11 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan inisiatif Nombor Identiti Korporat Malaysia (MyCoID) yang menjadi satu nombor rujukan tunggal untuk kegunaan pelbagai urusan pendaftaran perniagaan dan urusan dengan agensi kerajaan berkaitan.

Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu titik permulaan ke arah merevolusikan kaedah pendaftaran melibatkan antara agensi kerajaan pada skala lebih baik.


Menurutnya, ia juga akan memudahkan rakyat dan pada masa sama meningkatkan keberkesanan urusan dengan kerajaan tanpa menambah sebarang elemen-elemen kerumitan.

“Dalam fasa pertama, MyCoID akan memperkenalkan penggunaan satu nombor rujukan untuk kegunaan di pelbagai agensi.

“Melalui fasa kedua pula, ia akan diperluaskan dan memaksimumkan potensi pemakaian MyCoID menerusi pembangunan sistem yang akan membolehkan (perkongsian) pangkalan data dan maklumat secara automatik.

“Ini bermakna pemilik syarikat baru tidak lagi perlu pergi ke pelbagai agensi untuk tujuan pendaftaran kerana proses tersebut boleh berlaku serentak dengan hanya satu proses pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan MyCoID anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KPDNKK melalui SSM membangunkan konsep MyCoID dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta iaitu Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan , Kementerian Kewangan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pergurusan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perbadanan Sumber Manusia Berhad dan SME Corp.

Najib berkata, menerusi MyCoID, rakyat dan warga korporat kini tidak lagi dibebankan dengan beberapa nombor rujukan berlainan apabila berurusan dengan pelbagai agensi.

Menurutnya, urusan pendaftaran dan rujukan di agensi-agensi terbabit akan menggunakan satu nombor sahaja yang dikeluarkan oleh SSM bertujuan mempermudahkan amalan perniagaan di negara ini.

“Pada hari ini, kita boleh berbangga dengan satu inisiatif yang telah membuktikan bahawa budaya kreatif, inovasi dan pelaksanaan yang pantas masih subur di kalangan jabatan kerajaan.

“Ini membuktikan tanggapan bahawa jentera kerajaan perlahan di dalam pelaksanaan adalah tidak tepat kerana bila ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat yakin idea inovatif MyCoID bukan hanya memudahkan rakyat berkecimpung dalam perniagaan tetapi juga membantu mempertingkatkan aktiviti urus niaga domestik.
“Pencapaian ini merupakan satu bentuk tindakan menongkah arus yang wajar dicontohi,” katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya