Ekonomi Malaysia pulih - Najib

Thursday, February 25, 2010

EKONOMI Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5% (S3 09:-1.2%) pada suku keempat 2009, hasil daripada permintaan dalam dan luar negeri yang lebih kukuh. Bagi tahun 2009, ekonomi negara mencatat penguncupan sebanyak 1.7%, iaitu lebih rendah daripada penguncupan 3% yang diunjurkan sebelum ini (2008: +4.6%).


Pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan dalam perbelanjaan sektor awam telah menyumbang kepada permintaan dalam negeri yang lebih tinggi, yang mencatat kenaikan sebanyak 3% pada suku keempat (S3 09: 0.4%). Peningkatan penggunaan swasta disokong oleh pasaran pekerja yang lebih baik, kadar inflasi yang rendah, serta perbelanjaan yang lebih tinggi semasa musim cuti persekolahan dan perayaan pada akhir tahun.

Sektor awam terus memainkan peranan utama dalam merangsang pertumbuhan pada suku tersebut. Perbelanjaan penggunaan sektor awam meningkat sebanyak 1.3%, sementara perbelanjaan modal sektor awam meningkat dengan nyata berikutan pelaksanaan projek-projek di bawah pakej rangsangan fiskal yang lebih giat. Perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion pada suku tersebut (S3 09: RM11.6 bilion), iaitu peningkatan sebanyak 9.5% berbanding suku keempat 2008.

Pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan Kerajaan yang lebih pesat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara. Sehingga kini, lebih 113,000 projek di bawah kedua-dua pakej rangsangan tersebut telah dan sedang dilaksanakan, meliputi jumlah perbelanjaan sebanyak RM17 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak RM13.9 bilion telah pun dibayar atau secara puratanya pembayaran sebanyak RM1 bilion sebulan telah mengalir ke pasaran sejak Januari 2009.

Salah satu aspek utama pakej rangsangan dan Mini Budget 2009 adalah pelaksanaan langkah khusus untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan. Sejak bulan Mac 2009 sehingga kini, Kerajaan telah mengisi sebanyak 38,495 pekerjaan daripada 50,000 jawatan kosong di sektor awam dan juga mengambil sebanyak 11,131 sebagai pekerja kontrak. Pengambilan pekerja kontrak perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada pakej rangsangan di mana mereka ini adalah disarankan untuk mencari perkerjaan tetap di pasaran pekerja setelah tamat tempoh kontrak.

Kerajaan juga melalui agensi-agensinya dan syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan kerjasama sektor swasta telah mewujudkan sebanyak 100,000 peluang latihan dan pekerjaan. Ini telah memanfaatkan pekerja dari sektor perkhidmatan, graduan menganggur, pekerja yang telah diberhentikan, ibu tunggal, pekerja kurang upaya dan apperentis. Sebanyak RM230 milion telah dibahagikan kepada Pusat Latihan di peringkat negeri untuk latihan teknikal. Dari jumlah ini sebanyak RM169 milion telah digunakan untuk latihan kepada seramai 13,916 pekerja dari pelbagai industri.


Secara keseluruhan, keadaan pasaran pekerja nyata bertambah baik pada suku keempat, memandangkan jumlah pemberhentian pekerja berkurangan kepada 2,125 orang berbanding 12,590 orang pada suku pertama 2009.

Terdapat tanda-tanda penstabilan dalam perbelanjaan modal sektor swasta. Ini memandangkan sentimen perniagaan terus bertambah baik. Perkembangan ini, bersama-sama dengan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi, telah menyumbang kepada pemulihan dalam pembentukan modal tetap kasar yang mencatat pertumbuhan positif sebanyak 8.2% pada suku tersebut (S3 09: -7.9%).

Kesemua sektor ekonomi mencatat prestasi yang lebih baik pada suku keempat. Sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan yang menyeluruh, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam hampir kesemua subsektor. Sektor perkilangan kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif sebanyak 5.3%, mencerminkan permintaan luar dan dalam negeri yang lebih baik. Aktiviti sektor pembinaan berkembang dengan kukuh sebanyak 9.2%, terutamanya hasil daripada pelaksanaan pesat projek-projek di bawah pakej rangsangan fiskal dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).

Pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama seperti projek landasan kereta api berkembar elektrik dan jalan raya, serta pembinaan rumah kos rendah dan sederhana, di samping penambahbaikan dan penyenggaraan sekolah dan hospital, telah menyumbang kepada prestasi sektor pembinaan yang kukuh. Sektor komoditi juga mencatat prestasi yang lebih baik. Sektor pertanian khususnya disokong oleh permintaan luar negeri yang lebih tinggi dan harga komoditi yang lebih kukuh.

Prestasi eksport Malaysia kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 5.1% (S3 09: -22.4%), disokong oleh peningkatan permintaan luar negeri, terutamanya dari negara serantau, dan harga komoditi yang lebih kukuh.

Malaysia juga terus menerima pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI). Pada suku keempat, aliran masuk kasar FDI meningkat kepada RM7.2 bilion (S3 09: RM6.7 bilion). Sejumlah besar pelaburan tersebut adalah untuk sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia telah dipulih daripada kesan krisis global. Pelaksanaan yang pesat dan proaktif bagi dasar fiskal yang mengembang, dasar monetari yang akomodatif, serta langkah menyeluruh dalam memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan telah memainkan peranan yang amat penting dalam mengurangkan kesan kemelesetan global terhadap ekonomi Malaysia. Ini juga telah membawa kepada pertumbuhan semula ekonomi yang pantas.

- Dato' Sri Mohd. Najib
Putrajaya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya