|
|
MELAKA 9 Feb. – Siapa sangka bermula daripada memelihara 20 ekor kambing dan biri-biri pelbagai baka, kini pengusahanya, Kapten (B) Mohammad Tahir Bujal, 50, mampu bergelar penternak kambing terbesar di negeri ini.
Beliau yang kini memiliki 200 ekor kambing dan biri-biri menjadi antara penternak yang terkenal di kawasan tersebut.
Bertempat di Lot 215, Batu 10, Kampung Tengah, Paya Dalam bersebelahan Lebuh AMJ di sini, usaha Mohammad Tahir bermula hampir dua tahun lalu sebaik bersara daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bersandarkan sebidang tanah seluas 0.8 hektar milik isterinya, Sabariyah Md. Yasin, dia memulakan aktiviti penternakan dengan modal kecil.
Berbekalkan kesungguhannya dalam bidang itu, dia telah membuktikan anak kelahiran Melaka mampu menjadi penternak berjaya.
Menurut Mohammad Tahir, dia memulakan kegiatan itu dengan modal RM30,000 dan dengan sandaran itu dia telah membeli lebihan kayu yang terbuang untuk dijadikan reban kambing.
‘‘Saya mula merangkak dalam bidang ini secara kecil-kecilan setelah mendapat kursus sebelum bersara di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kluang, Johor.
‘‘Dengan kemahiran yang ada itu, saya yakin mampu mengendalikan segala permasalahan ternakan kambing dan bebiri sendiri termasuk bidang pemakanan serta ubat-ubatannya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Mohammad Tahir, dia memilih ternakan kambing dan biri-biri kerana mampu meraih hasil yang cepat selain ia mudah diternak berbanding haiwan ternakan lain.
‘‘Namun, saya lebih menumpukan ternakan bebiri kerana ia lebih menguntungkan dan mendapat tempat berbanding kambing,” kata beliau.
Menceritakan mengenai kelebihan menternak biri-biri, Mohammad Tahir berkata, haiwan itu sudah boleh dijual apabila usianya mencecah setahun.
‘‘Selain itu, permintaan orang ramai tinggi terhadap bebiri kerana ia sesuai dibuat korban dan akikah.
‘‘Tambahan pula ternakannya lebih mudah serta sosialnya lebih baik kerana haiwan jenis ini boleh berkawan dengan semua jenis kambing,” katanya.
Bercakap mengenai soal makanan pula, ia adalah mudah kerana biri-biri boleh diberi pelbagai jenis makanan.
‘‘Sebenarnya tempoh matang untuk bebiri ialah enam bulan dan boleh dijual untuk daging kerana tumbesarannya cepat biarpun tanpa makanan segera.
‘‘Selain kambing tempatan, bebiri yang diternak adalah dari jenis Babados iaitu antara baka terbaik, Malin dan Siam Ekor Panjang,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan sokongan menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka.
‘‘Setahun yang lalu, saya mendapat bantuan dari segi persediaan reban kambing yang bersaiz 20 kaki panjang dan 50 kaki lebar.
‘‘Bantuan ini telah banyak mendorong dan menjadi pembakar semangat saya untuk terus memajukan diri dalam bidang ini,” katanya yang mempunyai enam orang anak.
Biarpun masih terlalu jauh untuknya mendabik dada, bagi Mohammad Tahir, dia meletakkan harapan yang sangat besar sebagai penternak berjaya.
‘‘Jika sebelum ini, saya hanya bersandarkan kepada pasaran tempatan tetapi hari ini, saya berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarga dengan menembusi pasaran luar.
‘‘Mana ada perusahaan yang tidak dilanda masalah. Saya menghadapi masalah modal dan juga kekurangan dari segi keperluan untuk menjual ternakan ke pasaran luar.
‘‘Bekalan yang tidak cukup juga menjadi masalah bagi memastikan ternakan dalam keadaan baik, justeru saya bercadang untuk memohon bantuan baka agar bagi melebarkan lagi usaha saya ini,” katanya lagi.
Bagi yang ingin mendapatkan bekalan kambing dan biri-biri boleh hubungi Mohammad Tahir di talian 019-7973470. - Utusan
0 comments:
Post a Comment