PM minta pandangan rakyat untuk jana industri pelancongan

Wednesday, February 10, 2010

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat memberikan cadangan atau komen bagaimana untuk melonjakkan lagi sektor pelancongan di negara ini di kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.


Perdana Menteri berkata, kepentingan sektor pelancongan bukan sahaja sebagai sumber pendapatan negara tetapi juga mampu menjadi wadah penampilan kepada kepelbagaian dan perpaduan rakyat di negara ini.

"Apakah peluang pelancongan lain yang dapat anda kenal pasti? Apakah lagi yang boleh kita lakukan untuk menarik pelancong dan memastikan mereka mendapat pengalaman unik dan menyeronokkan?

"Saya menantikan komen-komen anda tentang kekuatan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan kepada tetamu antarabangsa kita dan juga penduduk tempatan," katanya di dalam blog www.1malaysia.com.my.

Najib berkata, sektor pelancongan negara telah memperoleh kejayaan cemerlang pada tahun lalu walaupun berlakunya wabak influenza A (H1N1) dan krisis ekonomi dunia.

Katanya, lebih menggalakkan lagi, apabila jumlah pelancong asing yang mengunjungi Malaysia pada tahun lepas mencatatkan peningkatan kira-kira tujuh peratus kepada 24 juta orang, berbanding 2008.

"Kita juga berasa bangga melihat negara kita telah ditampilkan di dalam senarai Lonely Planet (penerbit panduan pelancongan terbesar dunia) bagi 10 destinasi utama untuk dilawati pada 2010.

"Saya percaya para pengunjung yang datang kali pertama ke Malaysia tahun ini akan menyukai apa yang mereka alami dengan melihat masyarakat satu Malaysia yang berbilang kaum, budaya, adat dan bahasa bersatu di bawah satu bendera," katanya.

Selain kepelbagaian itu, katanya, landskap alam semula jadi Malaysia juga menawarkan pelbagai perkara menarik.

Katanya, untuk meneruskan kejayaan tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM899 juta bagi sektor pelancongan melalui Bajet 2010.

"Kita akan terus mengukuhkan bidang-bidang pelancongan yang berbeza, khususnya ekopelancongan, agropelancongan dan pelancongan kesihatan," katanya.

Menurutnya, inisiatif-inisiatif utama baru akan merangkumi usaha menarik lebih banyak penyertaan dari negara-negara seperti China dan India untuk menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku (MR2K) dan menaik taraf kualiti infrastruktur di pusat-pusat pelancongan.

Katanya, ia juga merangkumi usaha mempromosi aktiviti-aktiviti pelancongan dalam talian dan menyediakan acara-acara dan produk-produk pelancongan yang lebih menarik.

"Dari segi produk baru dan penganjuran acara, pelanggan yang menggemari barang-barang mewah akan berminat mengetahui bahawa sebuah kompleks saluran barangan terus dari kilang yang mewah dan baru iaitu Johor Premium Outlet akan dibuka pada 2011.

"Sementara itu, para pengunjung ke Kuala Lumpur boleh mengambil bahagian dalam Festival Tanglung 1Malaysia yang kini akan disambut setiap tahun.

"Terdapat banyak lagi pembangunan pelancongan, tetapi saat ini saya lebih ingin mengetahui apa pandangan anda," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya