BANTING, 10 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang giat menghidupkan semula konsep usahawan peraih untuk mempertingkatan pendapatan penduduk kampung dan menggalakkan lebih ramai lagi berkecimpung di dalam bidang pengedaran hasil asas tani.
Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata sejak tahun lalu, usahawan FAMA dilantik untuk mencari bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran di merata kampung dengan menunggang motorsikal beroda tiga berwarna biru yang dijual pada separuh harga RM7,000.
Satu seketika dahulu, peraih atau peniaga kecil-kecilan, yang menunggang Honda Cub dengan bakul diikat di bahagian pelana belakang motorsikal, memasuki kampung untuk mendapatkan hasil tanaman pertanian yang kemudiannya dijual di pekan.
"Mereka ini akan masuk kampung, beli hasil usaha orang kampung biarpun setandan pisang sekalipun, dan lepas itu, hantar ke Kedai Rakyat atau Gerai Buah-buahan segar FAMA," kata Badruddin dalam satu sidang media selepas majlis penyampaian motorsikal roda tiga kepada tiga usahawan FAMA yang terpilih dari daerah Kuala Langat dan Klang.
Kedai Rakyat dan Gerai Buahan-buahan Segar merupakan rangkaian pengedaran FAMA bagi hasil-hasil kampung yang dibawa oleh peraih-peraih dari ladang tanaman.
Badruddin berkata para peraih akan membeli hasil-hasil tanaman mengikut gred-gred yang ditetapkan secara tunai pada harga ladang kerana FAMA perlu mengambil kira kos pengangkutan.
Peraih-peraih pula dipilih setelah FAMA meneliti kelayakan dan permohonan masing-masing yang mempunyai asas dan pengalaman dalam perniagaan tani, katanya.
Badruddin berkata sistem peraih begini diharapkan dapat membebaskan golongan miskin di luar bandar daripada dibelenggu kemiskinan.
Selain itu, pada jangka panjang, konsep usahawan peraih FAMA dijangka mampu mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada pengimportan makanan dari luar negara, katanya.
Sementara itu, salah seorang penerima motorsikal roda tiga itu, Ramdzan Sajat, 41, dari Sungai Kelambu, Banting, Selangor memberitahu BERNAMA bahawa beliau telah berkecimpung di dalam bidang peraih sayur-sayuran sejak 10 tahun lepas.
Katanya, motorsikal roda tiga ini akan memudahkannya masuk kampung untuk membeli sayur-sayuran terus daripada para petani.
Antara sayur-sayuran yang dibelinya dari petani ialah terung, sawi, timun dan sayuran kampung, seperti pucuk meranti, pucuk manis dan kangkung.
Menurut Ramdzan, walaupun orang kampung memang bersemangat untuk bercucuk tanam, tetapi mereka juga perlu ikhtiar mencari pasaran untuk menjual hasil tanaman.
Mengenai pendapatan peraih, beliau berkata dirinya yang sebagai peraih mampu memperoleh pendapatan di antara RM3,000 ke RM4,000 sebulan untuk menampung kos kehidupan di kampung.
Setakat ini, FAMA telah menyerahkan 10 motorsikal roda tiga kepada usahawan FAMA di Selangor, dan sepanjang tahun ini, 1,000 motorsikal lagi akan diagihkan kepada usahawan-usahawan FAMA di seluruh negara. -- BERNAMA
Is depression curable?
-
Having depression can be tough. It’s easy to feel hopeless and wonder if
you’ll feel this way forever. Wouldn’t it be great if it could just… go
away?...
4 years ago
0 comments:
Post a Comment