Pelajar miskin harus diberi peluang

Thursday, February 11, 2010


ROSMAH bersalaman dengan pelajar selepas merasmikan Program EOTO di Butterworth, semalam.
BUTTERWORTH: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, meminta supaya lebih banyak program pendidikan berbentuk sukarela diwujudkan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa bagi melahirkan modal insan kelas pertama.

Mengambil contoh program 'Each One Teach One' (EOTO) yang dikendalikan Pertubuhan Kebajikan dan Kemajuan Sosial (PKKS) bagi membantu pelajar miskin pelbagai bangsa sekitar Permatang Pauh di sini, Rosmah berkata, program seumpama itu cukup positif bagi melahirkan insan berkualiti.

"Kanak-kanak adalah sumber utama negara dalam pembangunan khazanah ilmu serta kepakaran bagi menjamin kelestarian tamadun sesebuah bangsa yang mana pelaburan dalam aspek berkenaan perlu diberi perhatian serius.

"Dalam konteks ini, kanak-kanak miskin harus diberi peluang untuk mendapat pendidikan komprehensif ketika kecil lagi bagi menjadikan mereka sebagai insan lebih produktif serta mempunyai perwatakan positif," katanya berucap merasmikan EOTO di sini, semalam.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyampaikan bantuan peribadinya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berbentuk bahan bacaan bernilai RM5,000 untuk program EOTO.

Program EOTO yang diwujudkan sejak setahun lalu memfokuskan kepada usaha membantu kanak-kanak kurang berkemampuan serta terbiar bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan sempurna.
Program perintis di Permatang Pauh itu disertai seramai 100 murid berumur antara sembilan hingga 12 tahun serta 70 sukarelawan yang antaranya terdiri daripada golongan profesional.

Rosmah turut meminta ibu bapa memainkan peranan dengan menyediakan pembelajaran kondusif iaitu selesa dan sempurna kepada kanak-kanak bagi membolehkan anak mereka dapat belajar dengan lebih baik.

"Ini bukan bermaksud memberi tempat atau ruang belajar dan lengkap dengan segala kemudahan, tetapi memadai sekurang-kurangnya anak ini disediakan meja khusus untuk membolehkan mereka mengulang kaji.

"Saya juga menyarankan ibu bapa mengutamakan pemberian makanan sihat dan seimbang kepada anak," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya