Ganjaran pengetua cemerlang

Sunday, February 14, 2010

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Suraya Roslan 
bminggu@bharian.com.my


MUHYIDDIN menyampaikan sijil penghargaan kepada murid Orang Kurang Upaya cemerlang UPSR, Siti Nurfarah Hanim Azman yang didukung bapanya, Azman Mohamad sambil diperhatikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh di Besut, Terengganu, semalam.
Pencapaian sekolah jadi kayu pengukur prestasi

KUALA TERENGGANU: Guru besar dan pengetua yang berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan akan diberikan ganjaran dan insentif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penilaian prestasi mula dilakukan tahun ini dengan setiap pencapaian sekolah jadi pengukur prestasi guru besar atau pengetua.

"Imbuhan turut dirasai guru dan ini memberikan galakan kepada pengetua, guru besar dan guru berusaha lebih keras meningkatkan prestasi sekolah," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu Ke-31 dan program Juara Rakyat peringkat Parlimen Kuala Terengganu di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak memperjelaskan ganjaran atau insentif berkenaan.
Beliau memuji kerajaan Terengganu kerana memberi komitmen besar bidang pendidikan dengan mengiktiraf negeri itu sebagai peneraju bidang pelajaran.

"Ini dapat dilihat melalui peruntukan besar kepada pendidikan, selain memberi bantuan kepada pelajar memperoleh buku elektronik dan imbuhan kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata, komitmen itu menjadikan Terengganu negeri yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sembilan tahun berturut-turut.

Katanya, negeri itu berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Muhyiddin berkata, walaupun tiada sekolah di Terengganu yang disenaraikan antara 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini, ia tidak bermakna kerajaan meminggirkan negeri itu kerana masih kekurangan dalam satu dua perkara.

"Dengan usaha semua pihak saya pasti, banyak sekolah di negeri ini tersenarai pada masa akan datang," katanya.

Beliau turut menyampaikan sijil kepada 106 sekolah cemerlang di Kuala Terengganu dan sumbangan RM100,000 daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Persatuan Pengusaha Keropok Losong. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya