Lepasan SPM disaran rebut peluang bidang hospitaliti

Wednesday, February 10, 2010

SEREMBAN 9 Feb. - Remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini disaran melanjutkan pengajian dalam bidang hospitaliti kerana ia menjanjikan prospek cerah pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli berkata, pelajar terbabit terutama yang gagal meraih tempat di institut pengajian tinggi boleh mengikuti kursus berkaitan di kolej-kolej tertentu.

"Sebanyak 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini disumbangkan oleh industri pelancongan yang membabitkan bidang hospitaliti.

"Bayangkan berapa banyak tenaga kerja yang diperlukan dalam bidang ini membabitkan pengurusan pelancongan dan perhotelan serta seni masakan. Jelas sekali prospek dalam bidang ini besar bukan saja dalam negeri malah di luar negara," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Ilmu Hospitaliti di East West College di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bidang dan Vokasional Jabatan Pelajaran negeri, Shahrin Mohd. Yasin dan Penasihat East West College, Datuk Abdul Murad Ahmad.

Kursus anjuran bersama Jabatan Pelajaran negeri dan East West College itu disertai 50 peserta terdiri daripada guru sekolah menengah seluruh negeri ini.

Menurut Shamshulkahar, kerajaan negeri sentiasa menyediakan ruang kepada golongan terbabit demi menyediakan peluang untuk mereka cemerlang dalam hidup. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya