Mampu dapat RM400 sehari

Tuesday, February 2, 2010


Sayed Azman Sayed Ahmad menunjukkan udang galah segar


TELUK INTAN 1 Feb. – Bagi kebanyakan orang, menjadi penjual udang mungkin bukan merupakan cabang kerjaya yang boleh dibanggakan. Malah dengan bau dan panas matahari sementara menanti jualan habis dibeli, tentunya ia bukan bidang pekerjaan yang menjadi pilihan terutama bagi golongan muda.

Namun, mungkin ramai yang tidak percaya dengan menjual udang di tepi jalan, seseorang itu mampu memperoleh pendapatan sehingga RM400 sehari.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Sayed Azman Sayed Ahmad, 40, salah seorang penjual udang di tepi Sungai Perak, sejak tujuh tahun lalu.

Menurut bapa kepada empat anak ini, tanggapan negatif masyarakat bahawa pendapatan bekerja sebagai penjual udang tidak setaraf dengan gaji yang diterima jika bekerja di pejabat berhawa dingin perlu dibuang jauh-jauh.

Malah katanya, perasaan malu kerana menjual udang juga tidak seharusnya timbul kerana apa yang lebih penting ialah rezeki yang diperoleh adalah daripada sumber halal.

‘‘Saya tak perlu rasa malu sebagai penjual udang. Malah saya bersyukur kerana kerja ini menjadi sumber pendapatan sampingan untuk membesarkan anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Selepas ditolak modal dan upah pekerja, Sayed Azman mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM150 sehari.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk pendapatan hasil daripada melakukan beberapa kerja sampingan lain termasuk membawa bot pelancong.

Menurut Sayed Azman lagi, disebabkan terlalu sinonim dengan udang, maka beliau dikenali sebagai ‘Man udang’ di kalangan rakan-rakannya.

‘‘Walaupun saya lakukan kerja-kerja lain, jual udang ini sudah sebati dengan jiwa saya,” katanya tersenyum penuh makna.

Jelas Sayed Azman, setakat ini, dia tidak menghadapi masalah menjual udang berikutan menerima permintaan tinggi daripada pada pelanggan.

Malah katanya, permintaan terhadap udang akan meningkat mendadak dan sering kali tidak mencukupi menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Selalunya, bekalan udang yang diperoleh, akan disimpan dengan baik bagi mengekalkan kesegaran dan kualitinya.

Ada ketikanya juga, dia akan turut sama memancing dan menjala udang semata-mata untuk tidak menghampakan pelanggan yang datang dari jauh.

Udang-udang akan dijual mengikut gred iaitu A, RM48 sekilogram, gred B (RM38 sekilogram) manakala gred C (RM28 sekilogram).

Selain masyarakat setempat, kata Sayed Azman, kebanyakan pembelinya adalah dari negeri-negeri jiran terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor. - Utusan

1 comments:

Unknown said...

memang seronok. setiap usaha pasti ada jaya. insyaallah. Tahniah!

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya