100,000 peluang pekerjaan diwujudkan

Wednesday, February 10, 2010

SEGAMAT 5 Feb. - Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 100,000 peluang pekerjaan dapat ditawarkan tahun ini menerusi penubuhan Pusat Komuniti Pekerjaan (PKP) di seluruh negara.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, 10 pusat berkenaan akan dilancarkan hujung bulan ini sebagai projek perintis.



"Sepanjang tahun lalu, kita berjaya memadankan 60,000 pekerjaan untuk pencari pekerjaan walaupun dalam keadaan negara menghadapi krisis ekonomi.

"Bagi kementerian, KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang disasarkan tahun ini adalah untuk memadankan 100,000 pekerjaan dan kami yakin matlamat ini akan dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada lebih 650 murid keluarga miskin di daerah Segamat di Dewan Serbaguna Segamat di sini hari ini.

Subramaniam berkata, untuk permulaan, penubuhan PKP akan ditumpukan di bandar-bandar utama termasuk Cyberjaya, Klang, Melaka dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan di lebih 40 bandar menjelang akhir tahun ini.

"Di setiap pusat perkhidmatan ini, kami akan menyediakan para pegawai terlatih untuk membantu orang ramai mencari kerja di samping memberi khidmat nasihat.

"Kita yakin akan dapat membantu lebih ramai rakyat kerana perkhidmatan ini disediakan secara percuma oleh kerajaan," katanya.

Walaupun pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujudkan, masalah pengangguran tidak akan selesai sekiranya orang ramai terlalu memilih kerja, katanya.

Menurut beliau, dari semasa ke semasa, kementeriannya telah didatangi pelbagai syarikat swasta yang berharap dapat mengambil pekerja asing terutamanya dalam sektor elektronik.

"Kita akan berusaha mengatasi perkara ini dengan membawa majikan untuk membuka kaunter pekerjaan di kawasan penduduk yang berkepadatan tinggi di samping membantu menjadikan tawaran gaji yang lebih menarik," katanya.

Sementara itu, Subramaniam memberitahu, kadar pemberhentian pekerja secara purata adalah sekitar 2,000 hingga 3,000 sebulan.

"Bagaimanapun, kadar ini adalah normal dan ia lebih kepada pemberhentian mengikut kontrak pekerjaan," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya