Menghargai Pencinta Al-Quran : Johan qari, qariah antarabangsa dapat RM2,000 sebulan

Saturday, February 6, 2010

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengumumkan bayaran insentif tetap seumur hidup sebanyak RM2,000 setiap bulan kepada qari dan qariah Malaysia yang pernah menjadi johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, berkuat kuasa Oktober lalu.



Difahamkan, insentif itu membabitkan 23 individu iaitu sembilan qari dan 14 qariah yang menjadi johan pertandingan itu sejak 1961 hingga kini.

Najib berkata, bayaran imbuhan itu selaras dengan konsep pencapaian diutamakan selain menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan al-Quran dengan berusaha mempelajari, membaca, menghayati dan mengaplikasinya dalam kehidupan.

"Amat wajar bagi pihak kerajaan menghargai sumbangan mereka ini yang mewakili negara sekali gus memahat nama Malaysia menjadi juara peringkat antarabangsa," katanya berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama Ulama dan Umara dan pelancaran gagasan 1Malaysia dan Logo 1Ummah peringkat agensi agama seluruh negara di sini, semalam.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan, mulai tahun ini, kerajaan akan memberikan Biasiswa Yayasan 1Malaysia Development Berhad (MDB) kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama (SMA) yang cemerlang untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan di Mesir.

"Kerajaan berharap akan dapat melahirkan doktor yang berintegriti, mampu menguasai ilmu al-Quran dan sains serta menjadi tokoh inovasi perubatan kepada masyarakat dan agama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan turut mempertimbangkan biasiswa pengajian dalam bidang strategik lain seperti Perbankan dan Kewangan Islam kepada pelajar SMA.

Katanya, kerajaan akan terus membantu sekolah aliran agama di negara ini dalam usaha melahirkan generasi 'ulul albab'. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya