UEM Land titik berat pembangunan komuniti

Friday, September 4, 2009


Aziz Sapian (tiga dari kiri) dan Wan Abdullah menyampaikan sumbangan UEM Land Holdings Berhad pada majlis berbuka puasa di Kampung Pok, Nusajaya, kelmarin.

NUSAJAYA 3 Sept. - UEM Land Holdings Berhad, salah sebuah syarikat pemaju di kawasan ini sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan komuniti setempat dalam usaha membina Nusajaya sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia.

Justeru, menurut Pengarah Urusannya, Wan Abdullah Wan Ibrahim, UEM Land berharap semua penduduk di kawasan sekitar bersama-sama mengejar arus kemajuan yang sedang dibina untuk manfaat bersama.

"Sebagai pemaju utama Nusajaya dan merupakan komponen utama Iskandar Malaysia, kami yakin impian ini dapat dibina bersama-sama dengan penduduk setempat.

"Setelah lebih tiga tahun beroperasi, inisiatif pembangunan di Nusajaya mencerminkan aspirasi dan komitmen jitu kami terhadap masa depannya," katanya pada majlis berbuka puasa di Kampung Pok, dekat sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian dan Ketua Kampung Pok, Masood Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Abdul Aziz dan Wan Abdullah turut menyampaikan sumbangan raya UEM Land kepada 10 anak yatim di kampung berkenaan.

Lebih 200 penduduk kampung turut menghadiri majlis berkenaan. Hadirin turut menunaikan solat Maghrib dan Tarawih bersama-sama.

Wan Abdullah berkata, pihaknya sentiasa mengharapkan kerjasama dan sokongan padu semua pihak seperti kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan penduduk setempat untuk menjayakan setiap program pembangunan yang dirancang.

Dalam pada itu, beliau berkata, UEM Land telah mengadakan pelbagai program yang memberi fokus kepada anak watan Gelang Patang dan Nusajaya seperti Program Kecemerlangan Akademik, Program Pengetahuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Program Pintar al-Quran.

"Sebagai warga korporat yang prihatin dan bertanggungjawab, kami sentiasa berusaha dalam mencari kesempatan untuk memberikan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlaukan di sekitar Gelang Patah dan Nusajaya," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya