Penduduk kampung dibantu

Friday, September 4, 2009

IPOH 3 Sept. - Penduduk di enam buah kampung di bawah Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) bakal menikmati air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah berkenaan akan dilaksanakan menerusi Program Tanggungjawab Sosial (CSR) oleh Lembaga Air Perak (LAP).

''Setakat ini kita telah belanjakan RM400,000 setahun bagi memberi 20 meter padu air percuma kepada 6,900 keluarga.

''Di bawah program PPMS, beberapa buah kampung lagi akan dibantu. Salah satu daripadanya yang telah dikenal pasti ialah di Perlop, Sungai Siput," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah LAP di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Zambry turut mengumumkan pembayaran bonus dua bulan gaji untuk 1,100 pegawai dan kakitangan LAP.

Menurut beliau, bayaran penghargaan khas itu akan diberi dua kali iaitu bulan pertama untuk sambutan Aidilfitri dan bakinya pada hujung tahun.

Jelasnya, bayaran itu diberi sebagai insentif kepada kakitangannya kerana berjaya menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang.

''Tahun lalu kita beri satu bulan setengah gaji bonus kepada mereka. Tahun ini saya lebihkan kerana peningkatan pencapaian yang ditunjukkan oleh kakitangan saya," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya