Tudung dapat sambutan

Wednesday, September 9, 2009


LEBIH 90 jenis tudung mudah pakai dijual oleh Nik Rohana Ahmad di bazar Ramadan Klebang, Melaka. - utusan/Nas Norziela Nasbah

MELAKA 8 Sept. - Susunan rapi tudung pelbagai warna yang dihiasi manik pasti menarik perhatian pembeli yang melihatnya.

Itulah taktik digunakan para peniaga di bazar Ramadan yang dilihat menjadi senario biasa setiap kali menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Para peniaga bersaing meningkatkan kualiti jualan barangan demi untuk menarik perhatian pengunjung membeli barangan yang ditawarkan.

Selain tudung, pelbagai jenis barang dijual di bazar seperti barangan keperluan rumah, baju raya, songkok, capal dan perhiasan sempena menyambut 1 Syawal nanti.

Di Bazar Ramadan Klebang di sini misalnya, terdapat kira-kira 36 tapak jualan disediakan kepada peniaga tempatan termasuk dari luar Melaka mencari rezeki berniaga di sepanjang Ramadan ini.

Disebabkan sambutan menggalakkan orang ramai membeli-belah di bazar Ramadan itu, kawasan perniagaan tersebut kian berkembang.

Nik Rohana Ahmad, 28, yang berniaga tudung sejak lima tahun lalu adalah antara peniaga yang tidak pernah melepaskan peluang untuk berniaga di situ.

Perniagaan yang dibuka seawal pukul 3 petang itu sering mendapat sambutan pengunjung yang datang mendapatkan tudung yang bercorak baru.

Susunan rapi tudung yang menarik dan berwarna warni dari pelbagai jenis pasti menarik perhatian pengunjung untuk singgah di gerainya.

Apa yang menarik, harga tudung-tudung yang dijual adalah serendah RM3 hingga ke RM65 dan pengunjung berpeluang mencuba produk itu sebelum membeli tudung yang menjadi pilihan hati.

Harga tudung yang dipilih juga mengikut kemampuan kerana tidak terlalu tinggi dan mahal malah Nik Rohana akan memastikan tudung jualannya sentiasa mengikut fesyen semasa bagi memenuhi cita rasa pembeli.

Menurut Nik Rohana, sebelum ini dia turut menjual keperluan wanita seperti baju kurung, namun kini dia lebih fokus kepada menjual tudung.

Menurutnya, permintaan yang tinggi terhadap tudung meningkat sejak kemunculan tudung mudah pakai seperti tudung 'Ekin', 'Arianiey' serta ala Syria.

''Oleh kerana sambutan terhadap permintaan tudung pada masa kini semakin meningkat, hampir setiap minggu saya terpaksa pergi ke Kuala Lumpur untuk mengambil stok tudung yang baru," katanya.

Nik Rohana yang berasal dari Kelantan mula mengorak langkah dalam dunia perniagaan apabila melihat suaminya yang juga berniaga di bazar Ramadan setiap kali menjelang Hari Raya Puasa.

Selain berniaga di tapak bazar Ramadan, pasangan suami isteri itu tidak ketinggalan mengikuti ekspo yang diadakan di seluruh Malaysia.

Menurut Nik Rohana, dia menjual hampir 90 jenis tudung pelbagai warna dan fesyen yang mendapat sambutan setiap malam.

Apabila ditanya tentang keistimewaan tudung yang terdapat di tapak jualannya, Nik Rohana berkata, jenis kain tudung memainkan peranan penting.

''Pengguna sentiasa inginkan kualiti kain tudung yang baik dan kebanyakan tudung yang saya jual adalah dari China dan Indonesia.

''Ini membolehkan pengguna sentiasa berasa selesa," katanya.

Menurutnya lagi, pengguna masa kini lebih menggemari sesuatu yang mudah dan kesemua tudung yang dijualnya memberi keselesaan serta kemudahan kepada pemakainya dengan hanya menyarungkannya di kepala. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya