|
|
JOHOR BAHRU 9 Sept. - Sejak zaman dahulu, kerisik merupakan makanan popular yang sering digunakan sebagai perencah tambahan dalam masakan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Cuba bayangkan masakan rendang atau laksa Johor tidak dimasukkan sedikit kerisik. Aduhai, memang kurang 'rasa' dan boleh menghilangkan selera seseorang untuk menikmati masakan itu dengan sepuas-puasnya.
Hakikatnya, kerisik cukup terkenal untuk menambah rasa sedap masakan, memekatkan masakan selain menambah aroma yang menyelerakan.
Secara tradisinya, kerisik yang dihasilkan daripada kelapa parut tua dilakukan oleh golongan wanita dan remaja perempuan.
Maka tidak hairan jika ramai yang pernah mendengar gurauan orang tua mengatakan lelaki yang ingin mencari calon isteri perlu memilih wanita yang pandai membuat kerisik.
Kata gurauan itu menggambarkan calon isteri pasti rajin di dapur kerana proses membuat kerisik bukan kerja yang mudah.
Ia mengambil masa yang lama apabila kelapa perlu diparut terlebih dahulu sebelum digoreng tanpa minyak di dalam kuali.
Kini, cara membuat kerisik dihasilkan mengikut peredaran zaman apabila mengikut cara moden yang menggunakan alat pengisar dan bukan lagi lesung batu.
Afidah Kamaruddin, 41, kini mengkomersialkan kerisik dengan memasarkan secara sambilan di rumahnya di Bandar Putra Kulai di sini.
Ibu kepada empat orang anak itu menjalankan perusahaan yang jarang-jarang dilakukan golongan wanita lain di negara ini dalam usaha memelihara kesinambungan makanan tradisional itu agar tidak pupus ditelan zaman.
Dikenali dengan nama Kerisik Ucu, suri rumah sepenuh masa itu memasarkan produk tersebut menerusi rantaian pemasaran yang dilakukan adik-beradik dan rakan-rakan sejak 1997.
"Kerisik boleh diumpamakan makanan yang tidak pupus zaman kerana kepentingannya dalam menambah kesedapan sesuatu masakan.
"Justeru, saya berharap Kerisik Ucu mampu menjadi pewaris bahan perencah utama makanan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Afidah memberitahu, mampu bertahan lama hingga tempoh satu tahun apabila disimpan dalam peti sejuk merupakan keistimewaan Kerisik Ucu.
Selain itu, ia mempunyai bau yang lebih wangi kerana menggunakan kelapa laut dari Batu Pahat yang memiliki santan pekat.
Katanya, proses penghasilan kerisik pula menggunakan bahan yang bermutu dan tiada bahan pengawet tiruan.
"Proses membuat kerisik bermula apabila kelapa yang diparut digoreng di dalam kuali selama satu jam setengah.
"Selepas kelapa parut itu garing dan menghasilkan aroma yang sedap, ia dibiarkan sejuk seketika sebelum dikisarkan hingga mengeluarkan minyak dan akhirnya menjadi kerisik," katanya.
Pada kebiasaannya, proses melakukan kerisik dijalankan pada waktu malam dan menggunakan 10 biji kelapa untuk menghasilkan tiga bekas besar kerisik," katanya yang dibantu suami tersayang, Roslin Mustaffa.
Afidah berkata, satu bekas besar kerisik dijual dengan harga RM8, manakala bekas kecil RM4.50
Katanya, permintaan terhadap Kerisik Ucu meningkat ketika menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri, manakala pada hari biasa bergantung kepada permintaan pelanggan.
Ibu yang memiliki sepasang anak kembar lelaki itu memberitahu, para pelanggan utamanya terdiri daripada peniaga restoran dan golongan wanita yang bekerja.
Ditanya mengapa memilih kerisik sebagai sumber pendapatan tambahan, Afidah berkata, kesukaran mendapatkan makanan itu di pasaran mendorongnya tampil menyediakan perkhidmatan itu.
Afidah menyimpan cita-cita besar agar suatu hari nanti dia dapat membuka sebuah bengkel memproses kerisik sendiri untuk meningkatkan kuantiti pengeluarannya.
Selain Kerisik Ucu, dia turut memasarkan produk makanan sejuk beku seperti karipap dan cucur badak.
Afidah boleh dihubungi di talian 013-7698934 atau 07-5990810. - Utusan
0 comments:
Post a Comment