|
|
Tidak kira sama ada mereka bekerja secara sambilan, perlu diakui golongan itu telah melakukan pengorbanan masa dan tenaga yang bukan sedikit untuk keluarga.
Hasil penjualan produk selain membantu menambah pendapatan, ia turut dapat dilaburkan untuk pendidikan anak-anak pada masa depan.
Justeru, sumbangan mereka terhadap bidang keusahawanan tidak boleh dipandang sinis kerana mereka membuktikan semangat tinggi ingin berdikari.
Bagi Afidah Kamaruddin, kepuasan bekerja sendiri diperoleh apabila bebas melakukan apa sahaja di rumah berbanding bekerja di bawah kawalan majikan.
Menurutnya, selain mengisi masa lapang dan memupuk semangat bekerjasama di kalangan ahli keluarga, ia juga menjadi alternatif meraih pendapatan.
"Cuma satu, saya perlu sanggup menanggung risiko apabila membuka perniagaan yang biasanya sukar diramalkan jatuh bangunnya.
"Pun begitu, suri rumah alaf baru harus menggunakan kelebihan yang dimiliki seperti pandai memasak untuk menguasai pasaran luar yang semakin mencabar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Afidah kini berjaya menjadi usahawan Kerisik Ucu dengan memasarkannya secara sambilan dari rumahnya di Bandar Putra Kulai sejak 1997.
Bermula dengan modal RM200, wanita gigih itu turut memasarkan produk makanan sejuk beku seperti karipap dan cucur badak yang mampu dijual melebih 1,000 paket sebulan.
Afidah berkata, suri rumah digalakkan berkecimpung dalam bidang yang mereka gemari seperti bidang pemakanan dan fesyen.
"Tidak salah menceburinya walaupun industri makanan dan fesyen semakin berkembang pesat dan banyak dipelopori oleh wanita lain.
"Ini merupakan saingan yang sihat selain dapat memberi keuntungan menerusi bidang yang kita paling sukai," katanya merendah diri.
Ditanya masalah pemasaran yang dianggap satu faktor penting dalam perniagaan, Afidah berkata, usaha memasarkan produk terbabit tidak sukar memandangkan pasaran sentiasa ada sepanjang masa.
Katanya, kerisik dan produk makanan sejuk beku mempunyai ramai pelanggan termasuk peniaga restoran dan golongan wanita yang sibuk bekerja.
"Namun yang penting, saya perlu menjamin kualiti produk agar berada pada tahap memuaskan dan pemantauan sering dilakukan dari semasa ke semasa.
"Selain itu, kejujuran dalam perniagaan menjadi amalan saya agar pelanggan mendapat kepuasan apabila produk yang dijual mestilah sedap," katanya sambil tersenyum.
Suaminya, Roslin Mustaffa, 43, turut menyokong usaha yang dilakukan Afidah dalam menjana sumber pendapatan keluarga mereka.
Dia yang bekerja di sebuah kilang di Skudai berkata, istilah penat tidak wujud dalam dirinya untuk membantu isteri di dapur pada waktu malam setelah seharian bekerja.
"Malah, saya semakin seronok membantu isteri di dapur untuk membuat inti karipap yang menjadi tugas rasmi saya setiap hari," katanya sambil ketawa. - Utusan
0 comments:
Post a Comment