Kelebihan nangka Mastura

Saturday, March 6, 2010

PULAU PINANG 5 Mac - Jarang sekali kita mendengar sebiji buah nangka boleh mencecah berat sehingga 25 kilogram.

Namun, menerusi hasil kajian seorang penyelidik tempatan, nangka seberat itu berjaya dihasilkan pada tahun 2000.
 Prof. Dr. Zainal Abidin Abd Aziz memeriksa buah nangka hasil penyelidikannya ketika membuat tinjauan rutin di ladang penyelidikan buah-buahan tropikanya di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kajian Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz dengan kerjasama sebuah syarikat swasta semasa berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan nangka madu itu yang diberi nama Mastura CJ-USM.

Benih nangka madu itu berjaya dihasilkan melalui kacukan kultivar enam daripada 300 jenis nangka yang dikumpulkan dari seluruh Asia Tenggara melibatkan kajian selama enam tahun.

Hasil kacukan itu, nangka madu Mastura mempunyai ciri agronomi yang baik dengan saiz buah yang besar, warna isi kuning keemasan, aroma harum, rangup, saiz ulas yang besar dan isi yang tebal.

Pokok nangka itu juga mampu menghasilkan buah pertama selepas 18 bulan ditanam dengan berat buah boleh mencapai sehingga 40 kilogram berbanding nangka biasa yang mengambil masa lebih setahun untuk berbuah.

Setakat ini, nangka madu Mastura yang merupakan buah nangka terbesar di dunia mencapai berat purata di antara 15 hingga 25 kilogram.

Bercerita mengenai kelebihan nangka itu Zainal Abidin berkata, ketinggian pokok nangka madu Mastura boleh dikawal supaya ia tumbuh rendah sekali gus memudahkan proses penuaian.

''Tinggi pokok adalah di antara 4.5 hingga 5.4 meter manakala paras dahan yang boleh menghasilkan buah pula dapat dikawal antara satu hingga dua meter,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai nama Mastura, Zainal Abidin berkata, perkataan 'Mas' adalah merujuk kepada warna isi nangka madu berkenaan yang keemasan manakala 'Tura' pula bermakna tanaman untuk rakyat.

Tambahnya, kajian nangka madu Mastura itu sebelum ini dijalankan di sebuah ladang bekas lombong di Perak dan sejak 2003, semua penyelidikan dilakukan di Pulau Pinang.

Beliau berkata, tanah seluas kira-kira 12 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Kampung Paya Tok Akil di Tasek Gelugor bukan hanya digunakan untuk kajian nangka tetapi juga bagi buah-buahan tropika lain.

''Antaranya ialah roselle, durian belanda, jambu batu, jambu air, belimbing, longan, rambutan dan pulasan. Sepanjang tempoh itu lebih 20 jenis benih baru berjaya dihasilkan.

''Kajian baru yang terkumpul itu tidak ternilai harganya dengan wang ringgit daripada segi biodiversiti dan ia boleh dikelaskan sebagai harta negara dan mempunyai potensi besar dalam bidang pertanian," ujarnya.

Selain itu katanya, penghasilan yang dibuatnya itu dapat membantu menambah pendapatan para petani dan penglibatan mereka juga secara tidak langsung boleh memberi kekuatan kepada penyelidikan tanaman itu.

Sebagai contoh jelasnya, kajian berterusan terhadap nangka madu Mastura perlu dijalankan bagi mengetengahkan hasil yang diperoleh ke pasaran antarabangsa.

''Antara bidang yang telah dan akan diceburi adalah biak baka, kultur tisu, fisiologi, penerokaan menggunakan alternatif daripada bahagian terbuang seperti biji, kulit dan ekstrak buah itu," katanya. - Utusan

Batik Merbok mampu ke peringkat antarabangsa

SUNGAI PETANI 5 Mac - Batik Merbok dijangka menempa nama di peringkat antarabangsa sebagai produk berkualiti dengan reka bentuk menarik serta mempunyai potensi besar dalam bidang fesyen.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, reka bentuk dan kualiti Batik Merbok hasil ciptaan terbaru dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok cukup menarik untuk diketengahkan.

 SEBAHAGIAN mahasiswa dan mahasiswi UiTM Kedah memperagakan fesyen terbaru 
Batik Merbok pada Exposis di UiTM Merbok, kelmarin.

Menurut beliau, rekaan terbaru itu bermotifkan elemen tempatan dan mampu memartabatkan hasil rekaan anak tempatan di peringkat antarabangsa.

"Kita gembira kerana tekstil Batik Merbok yang dihasilkan oleh UiTM ini bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Exposis (Expo Mahasiswa) UiTM Kedah 2010 di UiTM Merbok dekat sini semalam. Hadir sama Pengarah Kampus UiTM Kedah, Dr. Zaliha Husin.

Batik Merbok dihasilkan oleh Jabatan Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Kedah menerusi perekanya, Muhammad Zambri Azizan yang juga pensyarah jabatan berkenaan.

Seramai 10 penuntut UiTM memperagakan Batik Merbok pada majlis tersebut yang merangkumi enam motif iaitu padi, bakau, merbok, sanskrit, batu-bata dan ukiran dengan setiap motif berasaskan kepada kemakmuran, keharmonian, ketuhanan, kecintaan dan keindahan.

Tambah Mukhriz, penghasilan Batik Merbok membuktikan bahawa ia mempunyai potensi besar dalam industri batik sekali gus memperkenalkan Malaysia khususnya Kedah menerusi elemen-elemen tempatan sebagai motif penciptaan.

Kata beliau, pihak kementerian bersedia membantu UiTM mempromosikan Batik Merbok ke peringkat antarabangsa.

Terdahulu dalam ucapannya Mukhriz berkata, dalam usaha memberi nilai tambah kepada graduan, institusi pengajian tinggi (IPT) digalakkan memperluaskan budaya keusahawanan dengan mengubah kurikulum dan memperbanyakkan aktiviti keusahawanan. - Utusan

Jana potensi usahawan tani - Datuk Hashim Abdullah

Friday, March 5, 2010

BATU PAHAT 4 Mac - Pembungkusan yang menarik selain label dan jenama yang mudah diingati merupakan antara aspek penting dalam pemasaran sesuatu produk.

Justeru, ramai usahawan yang berjaya memiliki atau menghasilkan produk yang 'dekat' di hati pengguna selain promosi yang kerap disiarkan di media cetak dan elektronik.

 Hashim Abdullah melihat produk yang dipamerkan oleh para pengusaha industri asas tani di 
pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong, Batu Pahat, semalam.

Namun, satu lagi isu yang sering membelenggu usahawan baru adalah soal modal yang tidak mencukupi.

Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa berusaha membantu golongan berkenaan. Terbaru, seramai 34 usahawan tani di kawasan Parlimen Parit Sulong, Batu Pahat menerima surat kelulusan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk.

Menerusi geran tersebut, mereka menerima pembiayaan sebanyak 80 peratus pembangunan produk daripada kementerian berkenaan. Geran itu disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Hashim Abdullah pada satu majlis di sini baru-baru ini.

Hashim berkata, geran tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan produk usahawan tani yang berada pada tahap 1 dan 2 yang memperoleh jualan tahunan kurang RM100,000 bagi menjana pasaran yang lebih luas dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Antara kriteria untuk menerima geran itu adalah setiap pengusaha mesti diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau Enterprise yang diperbadankan di bawah Ordinan Perniagaan 1956 dan mempunyai lesen perniagaan atau premis yang sah.

Mereka juga mesti menghadiri Bengkel Pembungkusan, Pelabelan dan Penjenamaan yang dianjurkan oleh kementerian dengan jayanya.

Hashim berkata, keutamaan diberikan kepada usahawan tani yang mengusahakan produk terpilih dan berpotensi menjadi tumpuan pasaran serta telah menunjukkan prestasi perniagaan yang baik sekurang-kurangnya setahun dan tidak diisytiharkan muflis.

"Produk mereka mestilah berpotensi berkembang ke tahap yang lebih tinggi sekiranya ditingkatkan keupayaan produk, memiliki ruang pasaran yang tetap dan pernah atau sedang menerima bantuan atau bimbingan daripada jabatan atau agensi di bawah kementerian," katanya.

Katanya, pembiayaan di bawah skim geran pemadanan membabitkan perkhidmatan rundingan dan pembangunan reka bentuk, perkhidmatan percetakan pembungkus produk atau pelekat (sticker), pembangunan jenama dan identiti produk termasuk pendaftaran trade mark (TM) serta lain-lain kos seperti pengujian dan fotografi.

"Para usahawan tani juga perlu sedar tuntutan pasaran iaitu tanda dan logo halal yang menjadi trend pemasaran pada masa ini.

"Apabila sesuatu produk itu ada tanda halal, secara automatik ia akan mendapat perhatian kerana ia pastinya produk yang bersih dan selamat sebab itu, untuk pasaran luar ia amat penting sebagai jaminan kualiti sesuatu produk," katanya. - Utusan

Nanas jana ekonomi keluarga

SEJAK kecil, dia telah terlibat dalam aktiviti pertanian. Minat itu bukan sekadar memenuhi masa lapang tetapi untuk menambah pendapatan.Baginya, pertanian adalah sumber ekonomi keluarga. Ia untuk meneruskan kelangsungan hidup lantaran kesempitan yang membelenggu mereka.

Didorong oleh semangat dan keazaman apabila menyaksikan kegigihan dan ketekunan orang tuanya berbudi kepada tanah dengan menanam nanas hingga menjadi punca rezeki keluarga, Johaini Sarju, 35, nekad untuk mengubah nasib keluarga yang hidup dalam kesusahan.

 Kerja-kerja menanam semula nanas.

Baginya pertanian, satu kerja mulia berbudi kepada tanah dan memilih nanas sebagai tanaman utama kerana kesesuaian tanah dan faktor mudah mendapat pasaran di situ.

Justeru, tidak timbul rasa segan meskipun terpaksa membanting tulang empat kerat setiap hari asalkan keperluan ekonomi keluarga dipenuhi.

Seawal usia 16 tahun, Johaini sudah mula membantu ayahnya menanam nanas di kebun mereka di Kampung Semerah Darat, Semerah, Batu Pahat dan terus menjadi petani selepas tamat Tingkatan 5 tanpa rasa ragu dan malu.

Malah, dia tidak pernah terfikir untuk merantau mencari pekerjaan seperti rakan-rakan lain kerana yakin dengan bertani mampu mendatangkan pendapatan tetap dan lumayan sekiranya diusahakan bersungguh -sungguh.

Johaini bertekad untuk berjaya sebagai petani dan peraih nanas suatu hari nanti. Baginya sesuatu yang dilakukan bersungguh-sungguh pasti akan mendatangkan pulangan yang baik.

Bermula dengan menanam nanas di kebun sendiri dan sejak tiga tahun lalu dia menyewa tanah penduduk kampung yang terbiar.

Dia berjaya menanam sehingga 300,000 pokok nanas baka Moris di tanah seluas 12 hektar di sekitar kawasan Semerah.

Kini kawasan tanaman nanas miliknya melebihi 40 hektar iaitu dengan menyewa tanah-tanah terbiar di sekitar kawasan tempat tinggalnya.

Pengalaman ibu bapanya menanam nanas sejak lebih 20 tahun lalu menjadi aset penting untuk dia menjadi petani berjaya.

Tambahan pula, Johaini sentiasa mendapat sokongan padu daripada isteri, Azlina Enndi, 31.

Kini dia boleh berbangga kerana hasil kegigihan dengan dibantu 16 pekerja, Johaini merupakan pembekal tetap nanas ke Kuala Lumpur setiap hari kecuali hari Jumaat dengan membekalkan kira-kira 10,000 biji nanas setiap hari.

Menurutnya, selain nanas jenis Moris dan Josephine yang berbuah besar dan manis, dia juga menanam nanas merah yang sering digunakan masyarakat Cina untuk majlis keraian.

Johaini juga menanam nanas gajah iaitu nanas dari baka Moris yang mampu mencapai berat sehingga tiga kilogram sebiji dan mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran tempatan.

Johaini mengakui, hasil yang diperolehnya cukup untuk menampung kos operasi seperti membayar gaji pekerja, lori dan sewa tanah.

Kehidupan mereka sekeluarga bertambah baik serta mampu hidup selesa dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Lebih membanggakan, Johaini yang dibantu adiknya Roslinda Sarju sedang berusaha menghasilkan produk hiliran berasaskan nanas seperti jem dan jus nanas.

Kini Johaini melangkah lebih jauh apabila dilantik sebagai pembekal nanas bagi daerah Batu Pahat menerusi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, pada satu majlis penyerahan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk kepada usahawan Industri Asas Tani (IAT) yang terpilih oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, baru-baru ini.

Sementara itu, Noraini memberitahu kawasan seluas sehektar telah dikenal pasti dalam kawasan Parlimen Parit Sulong untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan produk-produk pengusaha industri asas tani.

Pusat tersebut juga berfungsi sebagai pengumpulan produk Mini Halal Hub.
Beliau berharap projek berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin.

''Saya berharap agar Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani), Datuk Seri Noh Omar menimbangkan perkara ini kerana di kawasan Parlimen Parit Sulong terlalu ramai petani yang mengusahakan produk berasaskan pertanian serta berpotensi untuk dimajukan ke peringkat yang lebih jauh lagi," ujarnya.

Baru-baru ini Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong dengan kerjasama kementerian terbabit telah mengadakan Bengkel Pembungkusan, Pelabelan dan Penjenamaan kepada usahawan terbabit.

Bengkel tersebut menurut Noraini, bagi memastikan kesemua usahawan industri asas tani yang berada di kawasan Parlimen Parit Sulong mengeluarkan produk yang berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan untuk ke pasaran luar.

Melalui bengkel berkenaan 34 pengusaha industri berkenaan telah mengambil bahagian dan kesemua mereka telah menerima surat kelulusan geran pemadanan dan pembungkusan, pelabelan serta penjenamaan produk bernilai antara RM7,000 hingga RM12,000 seorang.

Penyerahan surat kelulusan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk usahawan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Hashim Abdullah.

Ia melibatkan kos pembangunan yang dibiayai kementerian sebanyak RM222,032 dan merupakan 80 peratus daripada kos pembangunan untuk usahawan asas tani di Parlimen Parit Sulong.

Mengulas kesungguhan Johaini mengusahakan tanaman nanas Noraini berkata, ia patut dijadikan teladan kepada anak-anak muda masa kini yang menganggap pertanian itu tidak menguntungkan dan lebih suka bekerja makan gaji.

''Saya lihat kegigihan dan ketekunan juga kesungguhan Johaini merupakan satu kekuatan untuk kesemua usahawan juga petani bahawa pertanian itu satu perniagaan yang telah lama dipraktikkan dan seharusnya menjadi contoh kepada semua," jelasnya.

Tambahnya, kerajaan telah memberi pelbagai peluang dan bantuan untuk semua usahawan asas tani agar dapat mengeluarkan produk yang berkualiti bagi meningkatkan pengeluaran dan diterima di peringkat yang lebih tinggi dan menepati slogan, 'Rakyat Diutamakan dan Pencapaian Didahulukan'. - Utusan

Mesin nanas tiga dalam satu


Rosnah Shamsudin menunjukkan mesin nanas tiga dalam satu bersama pelajar Kejuruteraan Pemprosesan Makanan di UPM Serdang, baru-baru ini


INDUSTRI desa di negara kini merupakan salah satu bidang yang berkembang pesat terutama dalam penghasilan kuih-kuih tradisional seperti baulu, maruko , dodol, kuih semperit dan sebagainya
Tetapi kadang-kadang disebabkan permintaan yang banyak mereka berhadapan dengan masalah kerana kekurangan peralatan dan mesin untuk menghasilkan produk pada skala besar.

Apabila fenomena ini terjadi maka penyelidikan dalam bidang reka bentuk mesin makanan menjadi semakin penting sebagai sokongan kepada industri tersebut.

Salah seorang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rosnah Shamsudin, antara yang giat menjalankan penyelidikan menghasilkan mesin bagi membantu perkembangan industri desa itu.

Beliau sebelum ini menghasilkan mesin Coconut AutoSqueezer untuk memarut dan memerah kelapa bagi menghasilkan santan; mesin EZY untuk memasak jem dan pelbagai jenis sos dan mesin kuih bijan untuk menghasilkan kuih bijan atau kuih buah rotan.

Mesin lain termasuk mesin penggredan buah, mesin kiub nata de co co untuk membentuk kiub dan mesin penggredan buah.

Terbaru, Rosnah membangunkan mesin nanas tiga dalam satu untuk membuang kulit serta empulur, memotong nanas keping dan kiub.

Mesin itu mampu dimiliki dan sesuai untuk digunakan di rumah atau pengusaha dalam industri nanas.
Selain, ia dapat menjimat tenaga dan masa serta terjamin kebersihannya.

Mesin berkenaan diperbuat daripada besi tahan karat dan boleh beroperasi secara manual atau automatik dimana terpulang kepada pengusaha untuk memilihnya.

Rosnah yang juga pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan Fakulti Kejuruteraan, UPM berkata, beliau membangunkan mesin berkenaan bagi memudahkan kerja-kerja membuang kulit nanas.

Beliau berkata, kerja-kerja berkenaan merumitkan dan maklumat yang diperoleh daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) mendapati bahawa hampir keseluruhan usahawan yang berkaitan dengan nanas seperti pengusaha jem, kuih-muih, nanas tin dan sebagainya masih memproses nanas secara manual.

"Dengan adanya mesin ini diharapkan dapat membantu mempercepatkan pemprosesan nanas.

''Selain itu, ia dapat menjimatkan tenaga dan masa serta terjamin kebersihannya,'' katanya yang dibantu Siti Zaharah Mustapa dari fakulti yang sama.

Beliau berkata, penyelidikan mesin itu yang dijalankan sejak tahun 2008 dan siap setahun kemudian. Patennya telah difailkan di Malaysia pada 13 November 2009 dengan dibiayai oleh UPM.

Menjelaskan lebih lanjut, Rosnah berkata, cara menggunakan mesin tersebut mudah iaitu buah nanas yang telah dipotong bahagian atas dan bawah, diletakkan di tengah mesin pengupas.

Tekan pemegang alat pengupas ke bawah dan mata pisau akan memotong kulit nanas dan empulurnya.

Pemegang ditolak ke atas dan terhasillah buah nanas tanpa empulur.

Jika hendak dipotong kepingan pula, buah nanas tanpa empulur diletakkan di bahagian pemotong nanas kepingan. Ketebalan setiap kepingan nanas adalah 23 milimeter (mm).

Bagi pemotong nanas kiub , kepingan isi nanas disusun ke dalam rod. Kemudian tekan pemegang ke bawah dan mata pisau akan memotong isi nanas menjadi kiub.

Meskipun teknologi berkenaan masih di peringkat pra-pengkomersilan dan dibangunkan hasil usahanya bersama pembantu, ia turut mendapat khidmat nasihat daripada MPIB.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Abu Bakar Salleh berkata, walaupun teknologi mesin itu masih di peringkat pra-pengkomersilan, UPM mengalu-alukan pihak yang berminat untuk mengkomersialkannya.

''Jika mesin ini dikomersialkan, saya yakin ia mampu membantu industri nanas negara selain menjimatkan kos buruh untuk mengupas buah nanas," katanya.

Mereka yang sesuai menggunakan mesin berkenaan ialah penjual buah nanas, pengusaha nanas tin, pengusaha yang berkaitan dengan buah nanas seperti usahawan kuih-muih seperti tart, sos, halwa, jem, jus, kosmetik nanas dan sebagainya,

Harganya akan diketahui jika mendapat ketetapan harga yang ditetapkan syarikat pengkomersialan. - Utusan

Demi pengimport, pengguna

Thursday, March 4, 2010

Mukadimah
 
ISU penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) yang menjadi perdebatan hangat ketika ini pernah dicadangkan pelaksanaannya pada 2006. 
 
Namun sama seperti ketika ini, cadangan itu mendapat bantahan pengimport dan beberapa pihak lain kerana mendakwa ia akan menyebabkan kenaikan harga ikan di pasaran. 

Selepas tertangguh kira-kira lima tahun, penggunaan KIBFG akhirnya akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 1 Mac lalu sehingga November ini. Meskipun terdapat bantahan terutamanya daripada pengimport ikan, namun perkara itu akhirnya selesai selepas 35 wakil pengimport ikan seluruh negara, bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, DATUK SERI NOH OMAR di Putrajaya, kelmarin. 

‘‘Jangan anggap kita masyarakat kelas kedua,” itu antara yang ditegaskan oleh Noh ketika ditemui bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu ini. Ikuti wawancara penuh yang diadakan dengan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL di pejabatnya, semalam.

UTUSAN: Apa sebenarnya yang menjadi isu di kalangan pengimport ikan berhubung pelaksanaan KIBFG?

NOH OMAR: Ada beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terutamanya berhubung syarikat pembuat dan pengedar KIBFG ini. Kita akui, ketika ini hanya terdapat sebuah syarikat sahaja yang membekalkan kotak ini iaitu KF Marketing Sdn. Bhd. yang mempunyai kilang pengeluaran di Gurun, Kedah. Jadi, mereka bimbang jika ada unsur monopoli dan harga kotak tersebut menjadi mahal.


Tetapi dalam pertemuan itu, kita telah bersetuju membenarkan mereka mendapatkan kotak tersebut dengan pengeluar lain. Tetapi dengan syarat, ia perlu mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan. Kita juga memberi jaminan selama setahun untuk syarikat itu menggantikan kotak yang rosak.

Begitu juga dengan jaminan tidak akan menukar penggunaan KIBFG ini dalam tempoh 10 tahun kerana ia akan merugikan pengimport ikan. Tetapi ada beberapa perkara yang kerajaan tidak dapat bersetuju dengan pengimport ikan ini. Antaranya, permintaan mereka agar kerajaan membeli semula tong-tong ikan yang lama.

Bagi kita, mereka boleh menjual tong-tong ikan itu kepada nelayan-nelayan tempatan yang masih menggunakannya atau melalui kaedah yang biasa mereka lakukan sewaktu mengimport ikan ke Singapura. Mereka juga mendakwa subsidi kepada hanya 60,000 kotak ikan KIBFG juga tidak memadai. Tetapi bagi saya, mereka ini sebenarnya bercakap bagi pihak orang lain.

Sebab kita mempunyai rekod berapa tong ikan yang mereka ada selama ini. Katakan selama ini, mereka membawa masuk 200 tong ikan, tetapi memohon 300 kotak KIBFG, maka mesti ada sesuatu yang tidak kena. Sama ada mereka tidak mengisytiharkan dengan betul atau berniat mahu menjual kepada pihak lain. Tapi saya tidak melihat ini sebagai satu masalah, sebab kita sudah pun bersetuju dan isu ini juga sebenarnya sudah selesai.

Bagaimana dengan pengguna yang masih berasa sangsi dan bimbang dengan kenaikan harga ikan ekoran pelaksanaan dasar ini?

Penggunaan KIBFG ini sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan harga ikan di pasaran.

Pengguna boleh membuat perbandingan pada bulan-bulan sebelum ini ketika KIBFG masih belum dilaksanakan. Harga ikan ketika itu juga mengalami kenaikan dan penurunan. Ini kerana harga ikan sebenarnya bergantung kepada bekalan dan permintaan.

Bagaimanapun, kementerian perlu mengakui kita sebenarnya tersilap strategi dalam pelaksanaan peraturan penggunaan KIBFG yang berkuat kuasa pada 1 Mac. Ini kerana pelaksanaannya selepas perayaan Tahun Baru Cina dan ketika itu, jika dilihat daripada musim tangkapan ikan, bekalan ikan tidak banyak. Jadi, faktor ini mendorong kenaikan harga ikan di pasaran. Malangnya, kenaikan harga itu telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkannya dengan pelaksanaan penggunaan KIBFG.

Bagaimana jika masih ada pengimport yang terus berdegil dan harga ikan melambung selepas ini?

Kalau mereka mahu terus berdegil, kita juga tidak akan tunduk. Kita boleh bagi kepada orang lain untuk mengimport ikan kalau mereka mahu terus memboikot. Pihak pengeskport di Thailand dan Indonesia sebenarnya tidak peduli siapa yang akan membeli bekalan ikan mereka. Seandainya jika harga ikan terus melambung, pengguna seharusnya menggunakan kuasa yang mereka ada untuk membuat pilihan. Jika harga ikan import ini mahal, mereka boleh memilih ikan air tawar yang lebih murah. Pengguna juga boleh beralih kepada bekalan makanan lain seperti ayam dan daging.

Mungkin ada alternatif lain?

Ikan beku juga sebenarnya boleh dijadikan pilihan. Ketika ini, kita mengimport ikan beku dari Bangladesh, Cina dan Myanmar dan jumlahnya boleh menampung 30 peratus pasaran ikan segar dari Thailand dan Indonesia. Ikan beku ini juga sebenarnya tidak banyak beza dengan ikan segar sama ada dari segi kualiti dan rasa. Malah, ada ikan beku yang lebih murah daripada ikan segar. Pilihan ikan juga pelbagai seperti bawal, terubuk dan tenggiri. Tetapi ramai di kalangan pengguna keliru kerana menyangka ikan beku ini tidak berkualiti. Kementerian menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) satu ketika dulu pernah membuat promosi makan ikan beku ini tetapi tidak begitu mendapat sambutan. Saya rasa kita perlu meneruskan usaha promosi ini dengan lebih hebat.

Mungkin ada perkara lain yang tidak dilihat oleh pengguna dan pengimport ikan daripada pelaksanaan KIBFG ini?

Apabila kerajaan memperkenalkan pelaksanaan KIBFG ini, ikan yang diimport akan sentiasa segar dan bersih. Kita tidak mahu rakyat kita dianggap sebagai rakyat kelas kedua. Sedangkan nelayan tempatan di Thailand sendiri menggunakan kotak berinsulasi ini. Begitu juga ikan yang mereka eksport ke Singapura. Tetapi mengapa ikan yang mereka hantar ke Malaysia menggunakan kotak ikan plastik yang lama?

Adakah hanya rakyat Thailand dan Singapura sahaja yang layak mendapat bekalan ikan yang segar dan bersih? Apa bezanya rakyat kita dengan rakyat Singapura dan Thailand? Tidakkah tindakan itu memalukan kita? Selain itu, pelaksanaan KIBFG ini juga membantu kerajaan membuka peluang pekerjaan yang baru. Memang pengimport ikan boleh memilih untuk membeli kotak ikan yang kononnya murah di Thailand. Tetapi mereka seharusnya berfikir juga untuk kepentingan negara. Apabila kita buat kotak ini di negara luar, kita perlu mengimport dan ini membabitkan kos. - Utusan

Kerajaan sasar RM10 bilion nilai eksport perabot

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyasarkan RM10 bilion nilai eksport bagi perabot pada tahun ini iaitu peningkatan RM2 bilion berbanding tahun lalu.


Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan kemampuan para pemain dalam industri perabot tempatan memenuhi permintaan yang tinggi di luar negara.

"Permintaan ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa kerana perabot tempatan mempunyai kualiti yang baik selain reka bentuk menarik," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan Pameran Perabot Eksport 2010 di Tapak Ekspo Pameran Pertanian Malaysia, Serdang dekat sini hari ini.

Menurutnya, pada tahun lalu negara memperoleh nilai eksport bagi perabot berjumlah RM8 bilion, lebih rendah daripada RM8.72 bilion pada 2008.

Pameran itu bermula hari ini hingga 7 Mac bertujuan menarik lebih banyak pembeli luar dengan sasaran pelawat 25,000 orang melalui penampilan 250 peserta industri.

Sementara itu, Hamzah berkata, kementeriannya bercadang membangunkan kawasan seluas 375,000 hektar di negara ini bagi Program Perladangan Hutan yang bertujuan membekalkan kayu untuk sektor perindustrian perabot.

"Kita jangkakan pada 2021, kawasan seluas itu dapat membekalkan 75 juta tan metrik kayu untuk sektor pemprosesan terlibat," katanya.

Menurutnya, program tersebut akan ditadbir oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). - Utusan

Bantu pelajar kurang kemampuan

PUTRAJAYA 3 Mac - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan swasta di negara ini disaran membantu kerajaan menyediakan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan.

 Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr. Noel Robert (dua dari kiri) dan Wahid Hashim pada majlis pelancaran Biasiswa Utusan-YPC di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam penguasaan pendidikan sekali gus dapat meningkatkan modal insan terutama membabitkan bidang sains dan teknologi.

Menurutnya, meskipun kerajaan mengeluarkan peruntukan sehingga berbilion ringgit bagi menyediakan biasiswa namun masih ramai lagi pelajar miskin perlu diberi bantuan.

"Bilangan pelajar yang masih perlukan sokongan kewangan amat besar terutama mereka yang datang daripada keluarga miskin.

"Walaupun kita memberi keutamaan kepada mereka yang kurang berkemampuan, masih terdapat lagi anak-anak pintar yang di atas sebab-sebab tertentu tidak mendapat pembiayaan," katanya.

Beliau berucap melancarkan Skim Biasiswa Utusan-Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Kerjasama YPC dan akhbar Utusan Malaysia itu dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan Muhyidddin yang juga Menteri Pelajaran.

Melalui biasiswa bernilai RM1 juta itu, 200 pelajar kurang berkemampuan menikmati bantuan biasiswa berjumlah RM5,000 bagi tempoh pengajian selama setahun di Kolej YPC.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, inisiatif yang diambil oleh Utusan Malaysia dan YPC amat dialu-alukan oleh kerajaan dan diharap langkah itu diikuti oleh NGO dan yayasan yang lain.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah satu komitmen kepada anak Malaysia kerana ia terbuka kepada para pelajar dari pelbagai kaum sekali gus melambangkan gagasan 1Malaysia.

"Kerjasama Utusan dan YPC itu merupakan satu gabungan yang baik dan ia perlu diteruskan.
"Kalau boleh lagi banyak yayasan (menaja biasiswa) adalah lebih baik," katanya.

Justeru, beliau berharap para pelajar yang akan dipilih menerima biasiswa itu dapat mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya berharap pelajar yang terpilih mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin dan selepas ambil sijil dan diploma, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya. - Utusan

Seramik Temin kian dikenali

JERANTUT 2 Mac – Sesuatu hasil seni bangsa lahir daripada kreativiti yang terpancar melalui nilai peradaban dan kehidupan masyarakatnya. Tidak terkecuali bagi bangsa Melayu yang begitu kaya dengan warisan seni kraf yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Hasil seni Melayu menggambarkan budaya dan cara hidup masyarakatnya.

Sehubungan itu, warisan Melayu yang berbentuk tenunan, sulaman, tekat, batik, ukiran kayu dan seramik antara seni kraf yang begitu dekat atau sinonim dengan bangsa itu.


Kreativiti dan kehalusan seni termasuk motif begitu jelas terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional itu.

Lazimnya, pengetahuan dan kemahiran kraf biasanya dipelajari secara tradisional mengikut kaedah tidak formal.

Bagaimanapun, peredaran waktu dan keperluan semasa menuntut perubahan menerusi kaedah pembelajaran ilmu serta kemahiran secara lebih formal.

Menyedari hakikat dan keperluan ini, maka Institut Kraf Negara (IKN) diwujudkan bertujuan menjadi salah satu gelanggang pendidikan formal bagi pelajar dalam bidang seni kraf tempatan.

Salah sebuah perusahaan seramik yang kini meningkat maju iaitu Temin Kraf di Kampung Temin dekat sini yang beroperasi mengeluarkan pelbagai barangan cenderamata berasaskan seramik.

Pelbagai produk seramik dihasilkan syarikat berkenaan termasuk labu sayong, labu kecil, lampu tidur dan pasu besar.

Menurut salah seorang pengusaha Temin Kraf, Zainal Idris, 43, syarikat yang beroperasi sejak 15 tahun lalu merupakan program inkubator di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

‘‘Kami memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan sebanyak RM10,000 bagi membina bengkel termasuk peralatan, membeli tanah liat dan bahan bagi menghasilkan produk seramik sementara pihak Kraftangan menyediakan fasiliti dan bimbingan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, pendidikan dan kemahiran yang diperoleh secara singkat di Pusat Karyaneka Temerloh dan Kuala Lumpur digunakan sepenuhnya untuk memulakan perniagaan sehingga dikenali di Pahang dan Lembah Klang.

Kejayaan Temin Kraf juga menurutnya, hasil bantuan dan kerjasama Kraftangan Malaysia, Pejabat Daerah Jerantut dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyediakan peralatan, bengkel, tapak serta teknikal untuk menghasilkan seberapa banyak produk seramik.

Zainal menambah, seramik dihasilkan yang dikenali sebagai Terenang atau Pasu Tembeling mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelancong yang singgah di bandar Jerantut sebelum ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini.

“Kami turut menerima banyak tempahan pasu besar daripada jabatan kerajaan, hotel dan resort bagi menghiasi ruang dan landskap di premis masing-masing,” katanya.

Seterusnya, beliau menjelaskan, ‘trend’ terkini yang menjadi pilihan orang ramai ialah pasu besar berbentuk klasik dengan warna yang kusam atau ‘matte,’ pudar dan nampak seperti antik.

Pasu atau Terenang Pahang itu, kata Zainal, amat menarik jika dijadikan hiasan taman atau sebagai kolam di sudut ruang yang kecil.

‘‘Motif alam semulajadi seperti flora dan fauna menjadi pilihan ramai. Selain itu, kami turut menyelitkan corak ukiran kayu atau sulur kacang,” katanya.

Kebiasaannya, motif yang digunakan untuk menghias terenang ialah hiasan tumbuh-tumbuhan dan unsur geometri iaitu bunga cengkih, bunga kedudut, bunga tanjung, bunga padi, bunga pecah empat, bunga pecah lapan, bunga lawang dan pucuk rebung.

“Pada masa akan datang, kami merancang meluaskan pengeluaran dengan reka bentuk dan corak yang pelbagai bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Rakannya, Mohammad Zakaria, 40, pula berkata, syarikatnya kini menghasilkan kira-kira 50 kraf seramik pelbagai saiz dan bentuk untuk digunakan sebagai hiasan, cenderamata dan bekas menyimpan air atau lebih dikenali sebagai terenang.

‘‘Kita akan berusaha menambah lebih banyak seramik berasaskan tanah liat terutama yang bermotifkan tumbuhan, haiwan dan kontemporari dalam usaha mengetengahkan seramik Temin ke pasaran di Lembah Kelang.

‘‘Selain terenang yang cukup terkenal di sini, kita juga menghasilkan rekaan antaranya seramik berbentuk perahu panjang Tembeling, cawan, mangkuk, labu, teko, bekas telur dan pasu,” katanya.


Bagi menghasilkan pelbagai jenis seramik, jelasnya, syarikat itu menggunakan kira-kira satu tan tanah liat yang diperoleh daripada pembekal di Selangor dengan harga RM850 setan.

‘‘Kita mampu mengeluarkan lebih 3,000 unit seramik pelbagai saiz bergantung kepada permintaan dan bekalan tanah liat.

‘‘Seramik ini dijual daripada harga RM3 hingga RM100 sebuah berasaskan saiz, motif dan warna,” katanya.

Beliau menambah, walaupun dibantu peralatan teknologi mesin untuk menghasilkan seramik, adakalanya pekerjanya menggunakan tangan terutama bagi proses ukiran motif dan kreativiti tertentu untuk memperlihatkan keunikan terenang atau Labu Tembeling. - Utusan

Rakyat Didahulukan : 23 Qari, Qariah Terima Insentif RM2,000 Sebulan

Wednesday, March 3, 2010

 
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan replika imbuhan khas dan sijil penghargaan kepada bekas johan qari Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa tahun 1985, Noor Din Idris (kanan) di Bangunan Putra, Putrajaya, hari ini. Pada majlis itu seramai sembilan qari dan 14 qariah yang menjadi johan sejak tilawah itu bermula pada 1961 menerima insentif RM2,000 secara tetap setiap bulan.

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Sebanyak 23 qari dan qariah yang menjadi johan tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa anjuran kerajaan Malaysia, menerima insentif berupa wang tunai RM2,000 secara tetap setiap bulan.

Bayaran imbuhan khas yang selaras dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan itu, diberikan kepada sembilan qari dan 14 qariah yang menjadi johan sejak tilawah itu bermula pada 1961.

Majlis penyampaian insentif itu yang diadakan di sini Rabu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib dalam ucapannya, berkata pemberian imbuhan itu, berkuatkuasa mulai Oktober tahun lepas serta sepanjang hayat, menunjukkan keprihatian dan komitmen tinggi kerajaan dalam mengiktiraf dan menghargai sumbangan penggiat serta pendidik Al-Quran.

Beliau berkata ia juga sekaligus menggalakkan masyarakat Islam membudayakan al-Quran dengan berusaha membaca, mempelajari dan seterusnya mengaplikasikan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Bertepatan dengan itu, pelbagai program dianjurkan oleh kerajaan bagi memperkasakan Al-Quran di kalangan masyarakat Islam di negara ini sama ada peringkat nasional atau antarabangsa yang diadakan saban tahun.

"Realitinya, kejayaan kerajaan secara konsisten menganjur majlis tilawah ini memberi impak yang besar kepada para qari dan qariah yang berjaya mengharumkan nama negara sekaligus melonjakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang dihormati dan disegani di seluruh dunia," katanya.

Perdana Menteri berharap dengan pengiktirafan berganda oleh kerajaan itu akan memberi dorongan kepada masyarakat Islam supaya berminat mempelajari, menghayati dan meminati seni membaca Al-Quran secara taranum.

Beliau juga berkata Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dihafaz tetapi lebih dari itu menjadikan kitab suci itu sebagai sumber ilmu dan intelektual dalam kehidupan.

Katanya tradisi membudayakan Al-Quran di kalangan masyarakat Islam akan menjadikan ilmu Islam berkembang serta bercambah menunjangi cabang ilmu serta kemajuan.

"Ianya akan membuahkan ilmu tentang akidah, syariah dan fiqah yang mampu memayungi peribadi manusia yang unggul seumpama pohon rendang tempat manusia menumpang berteduh," katanya.

Antara penerima insentif itu ialah Faridah Mat Saman, yang menjadi johan qariah sebanyak lapan kali pada tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa. -- BERNAMA

Pengusaha perabot disaran lakukan R&D

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menggesa pengusaha perabot membuat pelaburan melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memberikan nilai tambah terhadap perusahaan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, program itu dilihat mampu memenuhi permintaan pasaran dunia melalui penghasilan perabot mesra alam.


“Terdapat 1,800 syarikat perabot yang beroperasi di Malaysia dengan 90 peratus pengeluarannya untuk dieksport dan ini menjadikan ia sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

“Justeru ia meletakkan Malaysia di tangga ke-10 pengeksport terbesar dunia dengan eksport ke lebih 160 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, Kanada, India dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Perabot Antarabangsa Malaysia 2010 (MIFF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC di sini hari ini.

Menurutnya, program-program yang dianjurkan MIFF diharap membantu pengusaha-pengusaha perabot dari dalam dan luar negara untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Jelasnya, perusahaan perabot mempunyai banyak kelebihan kerana ia memerlukan kreativiti dari segi rekaan dan ini yang perlu diberi perhatian oleh pengusaha untuk membantu membezakan perniagaan mereka dengan pesaing.

“Melalui MIFF, kita telah sediakan landasan untuk mereka mengembangkan perniagaan dan saya yakin dengan pertambahan bilangan peserta dan pelawat dari luar, ia mampu membantu pengusaha ini memajukan lagi perniagaan mereka.

“Sehubungan itu, untuk memastikan pengeluaran perabot kekal di pasaran antarabangsa, pengusaha-pengusaha perlu memastikan perabot yang dihasilkan berkeadaan baik dari segi pembuatan dan rekaan selain membuat pelaburan dalam pengiklanan dan promosi,” katanya. - Utusan

Pengimport ikan tarik balik boikot

PUTRAJAYA 2 Mac – Semua pengimport dan pemborong ikan hari ini bersetuju untuk menggunakan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) secara berperingkat sehingga November ini.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, serentak itu, mereka turut bersetuju untuk menarik balik boikot import ikan bermula petang ini.

‘‘Isu penggunaan KIBFG dianggap selesai menerusi kata sepakat di kalangan ahli Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia dalam perbincangan bersama kementerian berhubung pelbagai isu berbangkit terhadap penggunaan kotak tersebut yang telah berlarutan sejak empat tahun lalu.

‘‘Kedua-dua pihak berjaya selesaikan (isu ini) dengan tolak-ansur dan ia berlaku hanya disebabkan masalah komunikasi yang kurang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 35 wakil syarikat pengimport ikan dari Indonesia dan Thailand, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia, Datuk Yusoff Ismail.

Para pengimport ikan memulakan boikot membawa masuk hasil laut dari Indonesia dan Thailand atas keengganan mereka menggunakan KIBFG seperti diarahkan kerajaan.

Ia berikutan beberapa isu seperti kononnya terdapat hanya sebuah kilang KIBFG yang membekalkannya kepada pengimport, seterusnya mendakwa wujud monopoli dalam amalan itu.

Noh berkata, menerusi perbincangan itu juga, kementerian bersetuju membuka peluang kepada semua syarikat pembekal KIBFG untuk mengedarkan kotak itu di samping menambah satu lagi skim insentif sebanyak RM20 bagi pembelian kotak seberat 30 kilogram yang dimohon oleh pengimport ikan dari Thailand.

Selain itu, katanya, mereka turut menuntut jaminan agar penggunaan KIBFG tidak akan ditukar sekurang-kurangnya selama 10 tahun.

‘‘Kilang untuk membuat kotak tersebut yang sebelum ini hanya ada empat kini ditambah kepada dua lagi dan pengimport juga bebas untuk menempah di mana-mana kilang itu asalkan spesifikasi kotak itu mengikut kehendak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

‘‘Satu lagi skim insentif sebanyak RM20 bagi pembelian kotak seberat 30 kilogram yang dimohon oleh pengimport dari Thailand yang sebelum ini hanya diberi kepada kotak seberat 100 dan 50 kilogram saja,” katanya.

Sementara itu, Yusoff berkata, beliau telah mengarahkan semua pengimport ikan dari Thailand dan Indonesia membawa masuk semula ikan mulai petang ini.

‘‘Saya telah arahkan semua pengimport untuk bawa masuk bekalan ikan untuk pasaran tempatan di semua pelabuhan dan pintu sempadan negara seperti di Bukit Kayu Hitam, Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang,” jelasnya. - Utusan

20 graduan ternak ikan sangkar

Tuesday, March 2, 2010

JOHOR BAHRU 1 Mac – Bidang keusahawanan kini semakin berkembang selain bertindak sebagai pemangkin terhadap transformasi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Melihat pada potensi yang besar dalam bidang tersebut, maka pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk meningkatkan lagi bilangan usahawan di negara ini termasuk di kalangan graduan.

Antara projek keusahawanan yang melibatkan graduan di negara ini adalah Projek Ternakan Ikan Sangkar Usahawan Siswazah Malaysia di Kong-Kong, Masai.

Projek yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Usahawan Siswazah Malaysia (Pusmal) itu melibatkan 20 graduan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Pusmal yang ditubuhkan di Universiti Malaya (UM) merupakan sebuah organisasi yang menghubungkan agensi kerajaan dengan pihak industri dan mampu melahirkan usahawan di kalangan graduan.


Menurut Pengurus Pusmal, Mohd. Aminuddin Malek, projek selama lapan bulan bermula Julai tahun lalu itu turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan Malaysia termasuk Symbient Management dan Kims Fish Farm.

Katanya, Jabatan Perikanan bertindak dalam mengeluarkan lesen dan permit bagi projek berkenaan manakala Kims Fish Farm pula menyediakan lokasi ternakan ikan manakala Symbient Management bertindak dalam bidang pengurusan.

Beliau berkata, antara ikan yang diternak adalah ikan kerapu, siakap dan senangin.

Ujarnya, beberapa program telah dijalankan sepanjang tempoh berkenaan antaranya latihan transformasi keusahawanan, kursus teknik ternakan ikan marin, kursus perikanan laut lepas, kelas renang, praktikal dan latihan.

Menerusi latihan transformasi keusahawanan, katanya, peserta didedahkan tentang ciri-ciri keusahawanan, keusahawanan Islam, selain pengurusan berkaitan operasi, pemasaran, kewangan.

Bagi kursus teknik ternakan ikan marin pula, ujarnya, peserta didedahkan dengan pengenalan spesies ikan marin, pengurusan makanan ikan marin dalam sangkar, reka bentuk, pembinaan sangkar dan banyak lagi.

Mohd. Aminuddin berkata, peserta turut diberikan kursus asas renang dan asas menyelamat bagi tujuan keselamatan ketika bekerja di sangkar yang terletak di tengah laut.

Katanya, fasa terakhir bagi projek berkenaan adalah ujian dan penilaian terhadap prestasi setiap peserta sebelum peserta boleh memulakan kerjaya sebagai seorang usahawan bermula 15 Mac.

‘‘Selepas tamat tempoh projek berkenaan, kita tidak melepaskan para peserta begitu saja kerana mereka akan meneruskan projek yang mereka telah usahakan sebelum ini.

‘‘Kami akan membimbing mereka agar tidak tersasar daripada matlamat yang telah kita tetapkan iaitu membantu mereka menjadi seorang usahawan berjaya,” katanya.

Mohd. Aminuddin berkata, Pusmal menerapkan pembangunan usahawan melalui kaedah ‘Pakatan Simbiotik’ iaitu pembangunan individu dan ummah secara serentak selain menekankan elemen kerjasama yang kuat antara para peserta.

Katanya, selain projek ternakan ikan sangkar tersebut, Pusmal turut menerokai 13 perusahaan lain antaranya berkaitan daging, restoran, cendawan, lintah, tepung dan produk makanan kesihatan. - Utusan

Batik sutera digital dilancar

 
 SUHAIMI Embong bersama isteri, Fatimah Fathiyah Ismail menunjukkan produk baru batik sutera digital di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 1 Mac – Desa Murni Batik Sdn. Bhd., salah sebuah syarikat pengeluar batik bumiputera melancarkan lima produk baru batik sutera digital dalam usaha memenuhi cita rasa pelanggan yang kian meningkat termasuk dari luar negara.

Pengarah Urusannya, Suhaimi Embong berkata, lima produk baru yang diperkenalkan adalah D’ Lukis, merupakan gabungan teknologi mesin dan tangan yang termahal dihasilkan dengan menggunakan kain tenun.

Katanya, produk baru lain adalah ‘Durante Italian Design’ ‘Iman Ekslusif,’ ‘Durra Batik Eksklusif’ dan ‘Alvise Italian Design’ yang mempunyai reka corak tersendiri yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan.

‘‘Kesemua produk baru yang di perkenalkan itu dijual dengan harga antara RM250 hingga RM2,000 sepasang bergantung kepada jenis sutera yang digunakan.

‘‘Melalui pelancaran produk baru ini Desa Murni Batik yang sebelum ini hanya mengeluarkan dua produk batik sutera digital iaitu Sutera 1Malaysia dan Sutera Ekslusif Terengganu mampu memenuhi permintaan pelanggan di luar negara,’’ katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Lima Produk Baru di Pulau Rusa dekat sini hari ini.

Sempena majlis pelancaran itu, sebanyak 800 pasang batik daripada lima produk baru yang diperkenalkan habis dijual dalam masa sejam yang dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000.

Malah beliau sendiri amat teruja dan terkejut dengan permintaan pelanggan termasuk dari Brunei, Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

Menurut Suhaimi, pada masa ini beliau tidak menghadapi masalah untuk memasarkan produk batik sutera digitalnya kerana mempunyai pelanggan tetap termasuk dari Brunei, Singapura dan dalam negara sendiri.

Selain itu, batik sutera digital keluarannya menerima tempahan dari gedung-gedung batik besar dari seluruh negara yang mengakui produk tersebut amat berkualiti di samping corak yang eksklusif.

‘‘Pada masa ini, kilang kami hanya mampu mengeluarkan kira-kira 200 pasang sehari,” katanya yang kini mempunyai 14 mesin pencetak dengan 30 pereka terlatih serta 80 pekerja.

Suhaimi memberitahu, Desa Murni Batik merupakan salah sebuah pengusaha batik bumiputera di negara ini yang memperkenalkan batik sutera digital pada tahun 2007 yang sebelum ini banyak dimonopoli oleh pengusaha Itali dan Jepun.

Katanya, melihat permintaan yang amat baik mengenai produk tersebut memberi idea untuknya menghasilkan batik sutera digital yang sebelum ini banyak menghasilkan batik menggunakan teknik secara tradisonal.

Perusahaan batik yang diwarisi daripada keluarga itu diambil alih oleh Suhaimi pada 1974 dan kini mempunyai empat cawangan yang terletak dua di Kampung Batu Enam, Kampung Pengadang Baru dan Kampung Sungai Bajar, Kuala Berang.

Selain batik sutera digital, Desa Murni juga terkenal dengan produk seperti tudung dan pelbagai jenis kain

‘‘Kejayaan saya ini adalah hasil kerjasama dan bantuan daripada isteri, Fatimah Fathiyah Ismail, 34,’’ kata Suhaimi yang mempunyai lima anak berusia antara lima hingga 13 tahun. - Utusan

Noh akan temui pengimport ikan Thailand

 
Noh Omar bersalaman dengan salah seorang pengimpot ikan dari Indonesia semasa mengadakan pertemuan dengan mereka di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya, semalam. 

PUTRAJAYA 1 Mac - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan perbincangan dengan wakil pengimport ikan dari Thailand esok untuk menyelesaikan isu penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG).

Pertemuan itu diadakan selepas kementerian itu berjaya menyelesaikan isu sama yang dihadapi pengimport ikan dari Indonesia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar bagaimanapun berkata, walaupun masalah yang dibangkitkan pengimport ikan dari Indonesia telah diselesaikan hari ini namun mereka masih mahu meneruskan boikot sementara menunggu hasil perbincangan kerajaan dengan pengimport ikan dari Thailand.

''Mereka mahu lihat hasil pertemuan kita dengan rakan mereka yang mengimport ikan dari Thailand sebelum membuat apa-apa keputusan.

''Kita akan jumpa pengimport ikan dari Thailand esok untuk mengenal pasti masalah mereka pula, segala keputusan mengenai isu KIBFG kena tunggu sehingga esok," katanya selepas menemui pengimport ikan dari Indonesia di sini hari ini.

Pengimport ikan dilaporkan telah menghentikan operasi membawa masuk ikan dari luar negara bermula hari ini sebagai membantah penggunaan KIBFG.

Noh berkata, rekod kementeriannya menunjukkan terdapat 22 pengimport ikan dari Indonesia dan 466 pengimport ikan dari Thailand.

''Bukan semua pengimport ikan telah melakukan boikot tetapi sebahagian daripada mereka masih menjalankan perniagaan seperti biasa.

''Peraturan KIBFG akan diteruskan sementara perbincangan dijalankan dengan pengimport-pengimport ikan ini," katanya.

Beliau menjelaskan, peraturan KIBFG hanya melibatkan pengimport ikan dari luar negara dan tidak membabitkan pengeksport dan nelayan tempatan.

''Yang saya tidak faham ialah terdapat nelayan yang turut menyertai boikot walaupun perkara ini tidak berkaitan dengan mereka.

''Pengeksport juga tidak terlibat dalam peraturan ini kerana mereka perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negara pengimport," katanya.

Noh berkata, isu kos KIBFG tidak patut ditimbulkan memandangkan insentif telah disediakan supaya pengimport boleh membeli KIBFG dengan harga yang tidak banyak berbeza berbanding kotak biasa.

''Kita akan sediakan insentif ini berdasarkan kapasiti pengimport ikan seperti yang berada dalam rekod kita," katanya.

Tambah beliau, kira-kira 30 peratus hasil ikan telah diimport melalui KIBFG dan kotak jenis itu digunakan secara meluas di beberapa tempat.

''KIBFG digunakan 100 peratus di Rantau Panjang, Linggi dan digunakan secara meluas di Johor Bahru," katanya. - Utusan

Madu Tualang Sama Taraf Dengan Madu Import

Oleh Mohd Azhar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Madu secara semulajadi sangat berkhasiat dengan ia mengandungi gula seperti fruktus dan glukos, mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat dan vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.

Oleh kerana inilah madu merupakan satu daripada ramuan penting dalam perubatan tradisional yang diamalkan oleh pelbagai tamadun sejak berkurun-kurun.

Sebelum 1996, pengumpul madu lebah tualang di daerah-daerah di Kedah seperti Padang Terap, Ulu Muda, Sik, Baling, Jerai dan Kubang Pasu menjual hasil yang mereka kumpul dalam botol di gerai tepi jalan serta pasar tempatan.

Dengan penggunaan madu ini terhad kepada penduduk tempatan dan sesekali dibeli oleh perantau yang melalui tempat-tempat ini, jualan tidak konsisten dengan harga jualan antara RM20 dan RM22 setiap kilogram.

Bagaimanapun, pada 1996 semua ini berubah apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menubuhkan sebuah pusat mengumpul dan memproses di Kuala Nerang, Kedah, untuk memudahkan pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan Madu Tualang.

FAMA

Ketua Pengarah FAMA Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata pusat ini adalah pusat sehenti bagi pengutip madu di Kedah untuk menjual bekalan mereka.

"Ini mendorong mereka mengumpul lebih banyak Madu Tualang dan sejak itu bekalan meningkat daripada 2 hingga 5 tan sebulan kepada 10 tan sebulan semasa musim kutipan.

"Harga juga telah naik. FAMA kini membayar antara RM58 dan RM60 setiap kilogram bagi Madu Tualang berkualiti premium. Madu ini diproses di pusat FAMA ini dan dipakej di bawah jenama Agromas," katanya.

Madu ini yang dijual di bawah jenama Agromas Tualang Honey selain boleh dibeli di 'House of Honey' di pusat ini, juga boleh dibeli di pasaraya Mydin dan Giant selain daripada Agro Bazaar terpilih di seluruh negara.

Menyedari manfaat kesihatan dan seterusnya potensi pasaran bagi madu, pada 2007 FAMA menderma 1.36 tan Madu Tualang kepada Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tujuan penyelidikan.

MANFAAT KESIHATAN DARIPADA MADU

Menurut Prof Dr Nor Hayati Othman, Dekan Kajian Sains Klinikal di Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan, keputusan daripada sejumlah 48 kajian menunjukkan Madu Tualang apabila diminum atau disapu pada luka atau lecur di permukaan badan menawarkan pelbagai manfaat perubatan.

"Walaupun kajian ini masih di peringkat awal, keputusan yang menggalakkan ini menunjukkan Madu Tualang mempunyai unsur anti-bakteria dan anti-oksidan yang boleh memperlahankan pertumbuhan sel barah tertentu dan menghalang pembiakan spektrum luas spesis bakteria dan kulat, selain menjadi sumber tenaga segera bagi tubuh," katanya.

Madu merupakan penawar berkesan bagi masalah sistem penghadaman kerana ia menggalakkan kesihatan usus dan buah pinggang.

Madu boleh dihadam dengan mudah kerana molikul gulanya yang kompleks mudah ditukar kepada molikul gula yang lebih mudah. Oleh itu, ia tidak merengsa lapisan pengalas sistem penghadaman dan sebaliknya melegakan perut.

Nor Hayati berkata madu merupakan satu keajaiban semulajadi.

"Ia dengan sendiri makanan yang lengkap. Sebagai pengguna madu sejak 25 tahun yang lepas, saya sangat percaya dengan manfaat Madu Tualang," tambah beliau.

"Madu Tualang turut mengandungi beberapa elemen positif yang tidak terdapat pada madu yang diimport," kata beliau.

USM merupakan universiti penyelidikan pertama di Malaysia menjalankan penyelidikan menyeluruh akan manfaat kesihatan bagi madu.

Dalam mengiktiraf usaha-usahanya, universiti ini menerima geran RM1 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjalankan penyelidikan lanjut akan subjek itu.

Shariff berkata FAMA akan terus membekalkan Madu Tualang kepada USM bagi tujuan penyelidikan. -- BERNAMA

Bumiputera perlu bercita-cita tinggi ceburi bidang perniagaan

Monday, March 1, 2010

PONTIAN 28 Feb. – Masyarakat peniaga bumiputera hendaklah menanam cita-cita tinggi dalam bidang yang diceburi dan tidak mudah berputus asa sekiranya ingin berjaya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebelum menguruskan sesuatu perniagaan yang besar, mereka hendaklah mampu memulakan di peringkat kecil-kecilan.

Katanya, selain itu, mereka juga hendaklah sentiasa ingin belajar dan menimba ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan sama ada di kalangan rakan-rakan niaga mahupun melalui kursus.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa membuka peluang kepada usahawan bumiputera untuk berjaya namun terpulanglah kepada mereka menentukannya.

“Penyertaan orang Melayu dalam bidang perniagaan merupakan satu cara bagi kita untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi,’’ katanya ketika merasmikan ‘Up Town Pontian’ di hadapan bangunan Mara Pontian, di sini semalam.

‘Up Town Pontian’ yang pertama dibuka di daerah Pontian itu menempatkan 32 peniaga yang memulakan perniagaan mereka mulai pukul 5.30 petang hingga 2.00 pagi pada setiap hari ini.

Turut hadir, Pengarah Mara Negeri Johor, Ahmad Sokirin, Pengerusi Persatuan Penyewa Premis Mara Pontian, Ahmad Yahya Damiran dan Pegawai Mara Pontian, Jaleha Yahya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, pihaknya berterima kasih kepada Mara Pontian kerana membenarkan kawasan premisnya digunakan oleh para peniaga.

“ Kami berharap usaha ini sebagai satu permulaan bagi mereka yang ingin belajar berniaga dan juga para peniaga di Lorong Cendol yang terlibat dengan kebakaran baru-baru ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan bercadang membina satu jambatan baru dari kawasan perhentian bas pontian ke Pusat Perdagangan Pontian bagi memastikan Bandar Pontian Kecil tidak ‘mati’.

“Tidak dinafikan Pusat Perdagangan Pontian atau dikenali sebagai Tambak semakin maju dan menjadi tumpuan ramai dengan adanya pelbagai kegiatan ekonomi dan kemudahan awam lain.

“Namun kita akan memastikan Bandar Pontian Kecil akan terus dikunjungi ramai dengan aktiviti ekonomi dan kegiatan lain seperti ‘Up Town Pontian’ dan sebagainya,” jelasnya. - Utusan

Beri peluang OKU sertai usahawan Pasar Tani

SEREMBAN 28 Feb. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) disaran membuka peluang perniagaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) bagi membolehkan mereka menjana pendapatan melalui Pasar Tani.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu dilihat relevan dalam membantu melahirkan usahawan OKU yang berjaya dalam sektor pemasaran dan pertanian.

"Saya yakin cadangan ini sedang dan akan dilaksanakan oleh FAMA kerana apa yang dapat kita lihat, golongan ini berkemampuan untuk bergiat aktif secara langsung dalam bidang perniagaan.

"Malah, FAMA juga boleh membantu dalam mengubah suai kenderaan seperti motosikal yang akan digunakan oleh mereka bagi menjalankan perniagaan terutama di beberapa kawasan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Pasar Tani peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawanan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.

Dalam pada itu, Mohamad juga melahirkan rasa gembira terhadap perkembangan positif pasar tani di negeri ini dengan mencatatkan perolehan nilai jualan tahun lalu berjumlah RM16.9 juta.

Katanya, sehingga kini, terdapat 31 buah pasar tani di negeri ini dengan melibatkan jumlah penyertaan usahawan sebanyak 926 orang selain kewujudan enam buah lagi pasar tani baru pada tahun ini.

"Kita berharap dengan penubuhan lebih banyak pasar tani di negeri ini ia bukan sahaja dapat memberikan nafas baru kepada pengguna malah memberi pulangan kepada pengusaha.

"Pada masa yang sama, aktiviti seperti ini juga dilihat dapat memastikan semua hasil keluaran kampung dapat dinikmati oleh pengguna di negeri ini," kata beliau. - Utusan

Kami bersyukur ke hadrat Mu Ya Allah : 25 tahun Jambatan Pulau Pinang

Sunday, February 28, 2010

 

JAMBATAN Pulau Pinang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini. Pada 13 April, 1985, jambatan sepanjang 13.5 kilometer , dengan empat menara di bahagian tengahnya dan terletak 33 meter dari aras laut, siap dibina dalam tempoh empat tahun selepas Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM850 juta bagi menjadikannya suatu kenyataan.

Pembinaan jambatan ini adalah antara peristiwa penting dalam sejarah moden Pulau Pinang kerana sebelum itu orang ramai bergantung kepada perkhidmatan feri untuk berulang-alik antara pulau berkenaan dan Butterworth.

Jambatan unik ini direka bentuk oleh anak jati Pulau Pinang iaitu mendiang Tan Sri Prof Ir Chin Fung Kee, iaitu pakar dalam bidang kejuruteraan geoteknikal dan bekas pemangku Naib Canselor Universiti Malaya. - Berita Harian

Melestarikan industri ikan pekasam negara

Oleh Mohd Azis Ngah 
azis@bharian.com.my
 

MELINTASI kawasan Lenggong, Perak, pasti akan melalui kawasan yang penuh dengan gerai jualan hasil industri ikan pekasam. Bahkan, kini sudah tersergam megah sebuah kompleks yang dinamakan Pusat Pekasam Kebangsaan, Lenggong, Perak.

Kedudukannya berhampiran jalan masuk ke Kampung Kelantan dianggap strategik walaupun belum beroperasi kerana penubuhannya dijangka mampu menaikkan nama Lenggong selaku pengeluar utama ikan pekasam negara.

Dianggarkan ada 20 pengusaha ikan pekasam berdaftar di sekitar Pekan Luak dan jumlahnya mungkin lebih jika dicampur dengan bilangan pengusaha kecil-kecilan dan mungkin ada yang mengusahakan secara tradisional.

Jika dulu, ikan pekasam dianggap sebagai pelengkap makanan dan pernah dijadikan menu utama sepanjang musim banjir akibat kekurangan bekalan makanan, ia kini ditambah nilai komersial yang mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Penulis berpeluang meninjau operasi seorang pengusaha yang mengeluarkan produk Pekasam Warisan Utara atas nama syarikat Johar Food Enterprise. Kagum melihat teknologi yang diguna pakai, boleh dikatakan sudah mencapai tahap layak untuk pasaran eksport ke luar negara.

Ikan yang digunakan ialah jenis ikan liar segar yang diperoleh daripada nelayan tasik sekitar Tasik Chenderoh, Tasik Raban, Tasik Lenggong dan ada kalanya dibeli dari Grik kerana ikan liar mempunyai kualiti lebih baik berbanding ikan air tawar yang dibela dalam sangkar.

Sekali pun nelayan tasik masih mampu mendapat hasil keseluruhan dianggarkan 100 kilogram (kg) sehari, ia sebenarnya mencerminkan satu masalah baru akan melanda industri pekasam yang menjejaskan pendapatan nelayan.

Ini kerana jumlah itu dianggap kecil dan ada kalanya semakin menurun jika dibanding dengan beberapa tahun sebelumnya. Semua berpunca daripada pembangunan, penebangan hutan yang mengotorkan punca bekalan air bersih.

Sudah tentu, jika ini berterusan, sistem ekologi dalam tasik terganggu dan sistem pembiakan baka ikan baru pasti terencat.

Joharabi Muhamad, 34, yang menguruskan Johar Food dibantu suaminya, Meor Shahili Meor Hassan, 43, mengakui masalah kekurangan bekalan ikan segar, bahkan ada kalanya agak menjejaskan pengeluaran.

 

Bagaimanapun, Joharabi tetap meneruskan usahanya dan kini dia boleh berbangga kerana hasil titik peluhnya sejak sembilan tahun lalu membuahkan hasil membanggakan, bahkan memberi pendapatan sampingan yang memuaskan kepada penduduk sekitar yang bekerja secara kontrak di bengkelnya.

Dulu ibu kepada empat anak ini cuma mengusahakan secara kecilan dengan kemampuan mengeluarkan kira-kira 30 bungkus sehari. Semuanya dipelajari daripada ibunya, Zairon Che Wok yang menurunkan kemahiran tradisi itu.

Berkat usaha keras dengan dibantu pelbagai agensi yang memberi galakan, bantuan dan sokongan membolehkan syarikatnya mengeluarkan kira-kira 500 bungkus ikan pekasam sehari. Jumlah jualan bertambah pada setiap musim perayaan dan cuti sekolah.

“Kami pernah mencuba gunakan ikan air tawar yang diternak dalam sangkar untuk dijadikan pekasam, tetapi rasanya berbeza dengan ikan liar. Pelanggan lebih gemar pekasam ikan liar, sedangkan masalah mendapatkan bekalan kian terasa dan perlu diberi perhatian pihak berkenaan.

“Sekurang-kurangnya kami perlukan 200kg ikan segar setiap hari. Kami pernah cuba gunakan ikan laut seperti gelama sebagai ikan pekasam dan sambutan agak menggalakkan, cuma ia masih perlu ditingkatkan,” katanya.

Meninjau proses menyediakan ikan pekasam, ia sebenarnya berkaitan rapat dengan rutin harian di dapur, cuma dalam industri ini ia dibuat dalam jumlah yang besar dan sistematik.

Bekalan ikan segar yang diterima akan terus disiang, diproses dan dibersihkan sebelum diletak garam untuk diperam dalam tempoh dua minggu hingga 12 bulan. Bak kata Joharabi, lagi lama diperam lagi bagus tetapi permintaan tinggi tidak membenarkan ikan diperap terlalu lama bagi memenuhi permintaan.

Ketika itu juga tahap kemasinan akan diambil kira bertujuan memastikan ia tidak terlalu masin atau kurang dan boleh merosakkan kualiti ikan.

Ikan yang sudah diperap akan dikeluarkan dan dibersihkan garamnya untuk diperap kali kedua menggunakan beras goreng kira-kira seminggu. Sebelum itu, beras goreng yang digunakan sudah dianggap masak selepas digoreng selama empat jam dan dikisar halus.

Semua bekalan itu diisi di dalam tong plastik bertutup kerana ia mudah diurus terutama daripada aspek kualiti dan kebersihan. Selepas tempoh perap kedua itu selesai, barulah ikan dikeluarkan untuk proses pembungkusan.

Ikan yang sudah siap akan disalut dengan beras goreng lain untuk kali kedua bagi memastikan kualiti tahan lama.

Setiap bungkus ikan pekasam dianggarkan seberat antara 180 hingga 200 gram, bergantung kepada saiz ikan dan kebiasaannya, saiz ikan sederhana boleh memuatkan dua ekor ikan dalam satu bungkusan.

Bungkusan itu kemudian akan menjalani proses vakum menyedut udara keluar dari plastik bungkusan bagi memastikan udara kedap di dalamnya. Keadaan itu menghalang angin masuk ke dalam plastik dan membolehkan pekasam tahan lebih lama.

Sekalipun prosesnya agak sama dengan mana-mana pengusaha lain, Meor Shahili menegaskan, aspek paling penting ialah menjaga kebersihan.

“Saya sentiasa anggap, ikan yang hendak dijual itu adalah ikan yang kami akan makan sendiri. Sudah tentu kita sediakan yang terbaik, tidak tergamak menyediakan bahan makanan dalam keadaan kotor, tidak terurus.

“Sebab itulah, saya sentiasa pastikan kawasan sekitar bengkel bersih, aliran air sentiasa kemas dan tidak bertakung, sisa ikan tidak dibuang merata kerana ia sebenarnya boleh dijadikan makanan ternakan ikan sangkar,” katanya.

Ada pihak luar menggunakan produknya untuk dieksport ke China, namun kecewa kerana orang tengah meminta harga terlalu rendah, bagaimanapun, kini mereka bersyukur kerana produk mereka sudah berada di pasaran di seluruh negara. - Berita Harian

Pusat lulus RM121 juta bina jalan

JERANTUT 27 Feb. - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM121 juta untuk fasa pertama projek pembinaan jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi, Hulu Tembeling yang akan bermula April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, fasa pertama melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 22.8 kilometer dari Kampung Tuit berdekatan Kuala Tahan ke Kampung Pagi itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek itu tidak akan tertangguh lagi bagi memacu pembangunan sektor pertanian dan pelancongan di daerah tersebut.

"Memang ada dalam rancangan kerajaan untuk pembangunan projek ini dari Kuala Tahan ke Mat Daling menerusi beberapa fasa bagi menyelesaikan masalah dan beban penduduk yang menggunakan pengangkutan bot penambang.

"Kita harap penduduk bersabar kerana pembinaannya akan bermula tidak lama lagi," katanya kepada pemberita ketika meninjau tapak projek jalan raya di Kampung Tuit, Kuala Tahan dekat sini hari ini.

Wan Amizan diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada 24 Februari lalu mengenai rintihan penduduk Hulu Tembeling yang mahu kerajaan menyegerakan pembinaan jalan sepanjang 98 kilometer bermula dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling.

Menurut beliau, pengumuman kerajaan mengenai projek itu diharap melegakan keresahan lebih 10,000 penduduk Tahan dan pedalaman Hulu Tembeling yang menanti-nantikan kemudahan itu sejak 52 tahun lalu.

"Fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan jalan raya sehingga ke Kampung Pagi dan ia sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah pengangkutan penduduk yang selama ini terpaksa menggunakan bot penambang di Sungai Tembeling untuk ke bandar Jerantut.

"Pembinaan jalan raya akan mempercepatkan pengangkutan hasil kampung termasuk kelapa sawit, getah dan sayur-sayuran dari pedalaman Hulu Tembeling sekali gus menjimatkan kos petrol ke pusat pengumpulan dan kilang di bandar Jerantut," katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga akan mempercepatkan pelaksanaan fasa berikutnya secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berasaskan keutamaan ekonomi dan kepentingan sosial penduduk.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Jerantut berkata, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsortium yang dilantik selesai menjalankan kajian tanah, jajaran dan memilih kontraktor projek berkenaan.

Projek jalan raya Tuit ke Kampung Pagi, jelas beliau, adalah untuk memacu pembangunan kawasan tanah seluas 600 hektar yang akan dimajukan oleh Felcra Berhad dan Yayasan Pahang dikenali sebagai Projek Ladang Sejahtera Rakyat melibatkan tanaman kelapa sawit. - Utusan

Puduraya bakal berubah wajah

Saturday, February 27, 2010


HENTIAN Puduraya bakal berubah wajah dan menyediakan kemudahan yang 
lebih baik dan selesa kepada orang ramai tidak lama lagi.


KUALA LUMPUR - Penutupan Hentian Puduraya di sini selama empat bulan untuk proses ubahsuai yang dijangka bermula pada pertengahan Mac ini bakal merubah wajah hentian bas utama di ibu negara itu setelah 34 tahun beroperasi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, melalui pengubahsuaian terbaru itu, kawasan menunggu di bahagian bawah Puduraya akan ditambah dengan pendingin hawa dan diperbesarkan tiga kali ganda sementara medan selera dipindahkan ke tingkat atas.

"Pengubahsuaian ini dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri dan bakal memberi lebih keselesaan kepada pengguna tetapi tarikh tepat penutupan itu masih belum dimuktamadkan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Hentian Puduraya semalam.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Kanan UDA Holdings Berhad, Shytul Shahryn Mohamad Shaari.
Raja Nong Chik berharap orang ramai dapat memahami sebab-sebab penutupan Hentian Puduraya yang dibuat untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.

Jelasnya, sepanjang tempoh penutupan itu, hentian bas sementara dibina di Jalan Galloway berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan ia sudah siap untuk digunakan oleh para penumpang bas ekspres bagi destinasi ke selatan manakala Hentian Duta akan digunakan untuk bas-bas yang mengendalikan perkhidmatan perjalanan ke utara. - Kosmo

Muhasabah sambut Maulud Nabi

IRONINYA menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran insan agung ini.

Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi terhadap baginda yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk seluruh alam.


Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibu bapanya, anak dan manusia keseluruhannya".
 
Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW diutuskan dengan seruan untuk mentauhidkan Allah SWT serta memperelok akhlak manusia, terdapat segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa olehnya.

Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tonggak keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah yang membimbangkan.

Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman AS, sedangkan nikmat mimpi melihat Nabi Muhammad SAW pun sukar untuk diperoleh. Begitu pula dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.

Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada pesalah zina dan peminum arak.

Bukankah Allah SWT dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Maidah bahawa orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan, tanpa belas kasihan.

Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang kaya khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk mencukupkan pingat dan gelaran sedia ada.

Apabila kerosakan akidah dan syariah semakin parah, ia menyumbang pula kepada kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman di khayalak ramai bahkan bersekedudukan seolah-olah menjadi gaya hidup kepada sesetengah masyarakat Islam.

Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral.

Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok mata dan menampakkan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada jenayah rogol dan gangguan seksual yang menjadi-jadi.

Apa yang berlaku menampakkan realiti kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk daripada masyarakat Arab jahiliah ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan. Kalau dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih ke hadapan kerana tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan.

Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir masyarakat jahiliah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad SAW diingati hanya dengan mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan, diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh apa-apa.

Ada pula yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu trend bagi memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

Justeru, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4M terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Mereka diseru memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personaliti dan peribadi Nabi yang dikasihi oleh kawan dan lawan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru. - Utusan

Otosil MARDI hasilkan makanan ternakan

Friday, February 26, 2010


Otosil memenangi Anugerah Inovasi Negara 2009 bagi kategori Industri.


Selain penyakit, antara masalah utama dalam industri penternakan haiwan ruminan ialah makanan.

Ini kerana, peningkatan harga makanan haiwan amat membebankan pengusaha memandangkan bahan mentahnya diimport.

Sehubungan itu, sumber makanan haiwan perlu dipelbagaikan supaya industri ternakan ruminan tempatan tidak terlalu bergantung kepada produk import.

Antara sumber tempatan yang boleh dijadikan makanan alternatif atau sekurang-kurangnya sebagai tambahan yang sedia ada ialah daun atau pelepah kelapa sawit.

Penggunaan produk mentah lain seperti jerami melibatkan 1.2 juta tan, jagung 750 tan setahun sedangkan sumber sawit boleh diperoleh daripada empat juta hektar tanaman tersebut di negara ini.

Penggunaan pelet daripada daun sawit pula melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan kilang untuk menghasilkan makanan tersebut.

Ketika ini, ramai pengusaha atau penternak haiwan ternakan ruminan menggunakan daun sawit atau rumput Napier sebagai bahan makanan mentah daripada sumber domestik untuk menghasilkan silaj.

Silaj merupakan bahan makanan ternakan ruminan yang dihasilkan menerusi proses fermentasi anerobik ke atas bahan foder atau sisa pertanian.

Rumput atau daun sawit perlu diracik atau dipotong terlebih dahulu sebelum diperam dipijak dalam tong bersama mikrob tertentu.

Kaedah tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai, memakan masa serta kualiti yang rendah.
Sehubungan itu, bagi membantu pengeluaran silaj makanan tersebut, seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ghazali Hussin berjaya membangunkan mesin berteknologi tinggi dinamakan Otosil yang kos efektif.

Menurut Ghazali, Otosil ialah mesin pengeluar silaj yang mampu memproses silaj dari bahan foder seperti rumput, sekoi dan sebagainya dan juga bahan sisa pertanian seperti batang jagung, jerami padi dan pelepah kelapa sawit dengan cekap.

Otosil merupakan mesin yang mempunyai keistimewaan antaranya pengeluaran silaj lebih lebih cekap berbanding dengan kaedah manual.

"Dengan kaedah manual, bahan tanaman yang ingin diproses terpaksa dimasukkan ke dalam tong dan dipadatkan secara manual.

"Oleh yang demikian, pengeluaran silaj dengan menggunakan Otosil boleh menjimatkan masa dan kos.

"Otosil merupakan mesin pengeluaran silaj yang pertama dicipta di Malaysia dan juga di dunia yang berasaskan penggunaan tong plastik,'' kata beliau.

Mesin tersebut katanya, boleh digunakan sama ada di kilang atau di ladang.

Ia boleh beroperasi dengan menggunakan kuasa elektrik atau kuasa enjin dan boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah kerana ia dilengkapi roda.

Mesin Otosil mampu menjana sumber pendapatan baru kepada usahawan. pertanian.

Menurut Ghazali, Malaysia kaya dengan sumber sisa pertanian yang selama ini tidak digunakan. Dengan Otosil, sisa pertanian itu boleh diproses kepada silaj untuk makanan ternakan.

Justeru mesin berkenaan secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dimana sebelum ini bahan sisa pertanian seperti batang jagung dan jerami padi dibakar selepas hasilnya dituai.

Beliau menjelaskan, masalah utama yang dihadapi oleh industri ternakan negara ialah kekurangan makanan.

Oleh itu negara masih mengimport bahan mentah untuk makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Pada tahun ini disasarkan pengeluaran daging negara sekitar 28 peratus daripada keperluan negara.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak sumber terbuang yang sangat berpotensi untuk digunakan sebagai makanan ternakan.

Katanya,, teknologi yang ada tidak cekap untuk menghasilkan silaj yang bermutu bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

"Atas alasan ini maka saya berfikir untuk mencipta sebuah mesin yang mampu menghasilkan silaj dengan cekap dan akhirnya Otosil dicipta," jelasnya.

Beliau berkata, Otosil kini diberi lesen oleh MARDI kepada Choon Heng Engineering and Co. untuk dikeluarkan secara komersial.

Ia dibina dari bahan besi tahan karat dan di bahagian tertentu dibina daripada keluli tahan karat bagi mencegah karat.

Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan alat penyuntik atau penyembur bahan aditif serta inokulan bakteria.

Penyelidikan untuk membangunkan teknologi ini bermula pada tahun 2005 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000.

Harga mesin ini ialah RM32,835 yang menggunakan kuasa elektrik manakala mesin yang menggunakan kuasa enjin, harganya melebihi RM38,000.

Bagi pengusaha ternakan atau bakal usahawan yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan silaj, Otosil boleh ditempah.

Beliau menyasarkan pengguna Otosil kepada penternak komersial, sama ada penternak kambing atau lembu yang mempunyai ternakan yang melebehi 50 ekor.

Selain penternak, Otosil juga boleh digunakan oleh usahawan iaitu khusus untuk menghasilkan silaj untuk dijual kepada penternak.

Perusahaan ini boleh dijalankan di kawasan pengeluaran jagung utama serta kawasan perladangan kelapa sawit dalam negara supaya bahan mentah senang diperolehi.

Selain dari kawasan pengeluaran jagung, kawasan pengeluaran padi utama negara seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perak adalah kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan industri ini.

Katanya, teknologi Otosil tidak akan berakhir di sini, sebaliknya akan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang.

"Saya mempunyai perancangan yang lebih jauh bagi menjayakan industri ternakan negara.

"Teknologi Otosil akan diberi tambah nilai dari semasa kesemasa supaya ia dapat memenuhi kehendaki semua peringkat penternak dan usahawan ternakan di Malaysia.

"Saya berhasrat supaya Otosil digunakan bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pada masa akan datang,'' katanya.

Kejayaan beliau menghasilkan Otosil bukanlah yang pertama dalam kerjayanya sebagai penyelidik.

Pada tahun 2000, Ghazali berjaya mencipta mesin pemampat silaj iaitu Silager. Silager adalah mesin silaj pertama yang dihasilkan beliau tetapi ia tidak mempunyai alat pemotong serta penyembur inokulan.

Di samping itu, Ghazali juga telah berjaya menghasilkan rumput pastura mutan iaitu Brachiaria decumbens atau dikenali sebagai Kluang Comel dengan kaedah mutagenesis.

Rumput mutan ini telah diisytiharkan pada tahun 2003 sempena Hari Flora di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (kini Agensi Nuklear Malaysia).

Mereka yang berminat dengan mesin Otosil boleh menghubungi beliau di 019-7544226 atau silagergbh@yahoo.co.uk / gbh@mardi.gov.my - Utusan

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya