Kami bersyukur ke hadrat Mu Ya Allah : 25 tahun Jambatan Pulau Pinang

Sunday, February 28, 2010

 

JAMBATAN Pulau Pinang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini. Pada 13 April, 1985, jambatan sepanjang 13.5 kilometer , dengan empat menara di bahagian tengahnya dan terletak 33 meter dari aras laut, siap dibina dalam tempoh empat tahun selepas Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM850 juta bagi menjadikannya suatu kenyataan.

Pembinaan jambatan ini adalah antara peristiwa penting dalam sejarah moden Pulau Pinang kerana sebelum itu orang ramai bergantung kepada perkhidmatan feri untuk berulang-alik antara pulau berkenaan dan Butterworth.

Jambatan unik ini direka bentuk oleh anak jati Pulau Pinang iaitu mendiang Tan Sri Prof Ir Chin Fung Kee, iaitu pakar dalam bidang kejuruteraan geoteknikal dan bekas pemangku Naib Canselor Universiti Malaya. - Berita Harian

Melestarikan industri ikan pekasam negara

Oleh Mohd Azis Ngah 
azis@bharian.com.my
 

MELINTASI kawasan Lenggong, Perak, pasti akan melalui kawasan yang penuh dengan gerai jualan hasil industri ikan pekasam. Bahkan, kini sudah tersergam megah sebuah kompleks yang dinamakan Pusat Pekasam Kebangsaan, Lenggong, Perak.

Kedudukannya berhampiran jalan masuk ke Kampung Kelantan dianggap strategik walaupun belum beroperasi kerana penubuhannya dijangka mampu menaikkan nama Lenggong selaku pengeluar utama ikan pekasam negara.

Dianggarkan ada 20 pengusaha ikan pekasam berdaftar di sekitar Pekan Luak dan jumlahnya mungkin lebih jika dicampur dengan bilangan pengusaha kecil-kecilan dan mungkin ada yang mengusahakan secara tradisional.

Jika dulu, ikan pekasam dianggap sebagai pelengkap makanan dan pernah dijadikan menu utama sepanjang musim banjir akibat kekurangan bekalan makanan, ia kini ditambah nilai komersial yang mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Penulis berpeluang meninjau operasi seorang pengusaha yang mengeluarkan produk Pekasam Warisan Utara atas nama syarikat Johar Food Enterprise. Kagum melihat teknologi yang diguna pakai, boleh dikatakan sudah mencapai tahap layak untuk pasaran eksport ke luar negara.

Ikan yang digunakan ialah jenis ikan liar segar yang diperoleh daripada nelayan tasik sekitar Tasik Chenderoh, Tasik Raban, Tasik Lenggong dan ada kalanya dibeli dari Grik kerana ikan liar mempunyai kualiti lebih baik berbanding ikan air tawar yang dibela dalam sangkar.

Sekali pun nelayan tasik masih mampu mendapat hasil keseluruhan dianggarkan 100 kilogram (kg) sehari, ia sebenarnya mencerminkan satu masalah baru akan melanda industri pekasam yang menjejaskan pendapatan nelayan.

Ini kerana jumlah itu dianggap kecil dan ada kalanya semakin menurun jika dibanding dengan beberapa tahun sebelumnya. Semua berpunca daripada pembangunan, penebangan hutan yang mengotorkan punca bekalan air bersih.

Sudah tentu, jika ini berterusan, sistem ekologi dalam tasik terganggu dan sistem pembiakan baka ikan baru pasti terencat.

Joharabi Muhamad, 34, yang menguruskan Johar Food dibantu suaminya, Meor Shahili Meor Hassan, 43, mengakui masalah kekurangan bekalan ikan segar, bahkan ada kalanya agak menjejaskan pengeluaran.

 

Bagaimanapun, Joharabi tetap meneruskan usahanya dan kini dia boleh berbangga kerana hasil titik peluhnya sejak sembilan tahun lalu membuahkan hasil membanggakan, bahkan memberi pendapatan sampingan yang memuaskan kepada penduduk sekitar yang bekerja secara kontrak di bengkelnya.

Dulu ibu kepada empat anak ini cuma mengusahakan secara kecilan dengan kemampuan mengeluarkan kira-kira 30 bungkus sehari. Semuanya dipelajari daripada ibunya, Zairon Che Wok yang menurunkan kemahiran tradisi itu.

Berkat usaha keras dengan dibantu pelbagai agensi yang memberi galakan, bantuan dan sokongan membolehkan syarikatnya mengeluarkan kira-kira 500 bungkus ikan pekasam sehari. Jumlah jualan bertambah pada setiap musim perayaan dan cuti sekolah.

“Kami pernah mencuba gunakan ikan air tawar yang diternak dalam sangkar untuk dijadikan pekasam, tetapi rasanya berbeza dengan ikan liar. Pelanggan lebih gemar pekasam ikan liar, sedangkan masalah mendapatkan bekalan kian terasa dan perlu diberi perhatian pihak berkenaan.

“Sekurang-kurangnya kami perlukan 200kg ikan segar setiap hari. Kami pernah cuba gunakan ikan laut seperti gelama sebagai ikan pekasam dan sambutan agak menggalakkan, cuma ia masih perlu ditingkatkan,” katanya.

Meninjau proses menyediakan ikan pekasam, ia sebenarnya berkaitan rapat dengan rutin harian di dapur, cuma dalam industri ini ia dibuat dalam jumlah yang besar dan sistematik.

Bekalan ikan segar yang diterima akan terus disiang, diproses dan dibersihkan sebelum diletak garam untuk diperam dalam tempoh dua minggu hingga 12 bulan. Bak kata Joharabi, lagi lama diperam lagi bagus tetapi permintaan tinggi tidak membenarkan ikan diperap terlalu lama bagi memenuhi permintaan.

Ketika itu juga tahap kemasinan akan diambil kira bertujuan memastikan ia tidak terlalu masin atau kurang dan boleh merosakkan kualiti ikan.

Ikan yang sudah diperap akan dikeluarkan dan dibersihkan garamnya untuk diperap kali kedua menggunakan beras goreng kira-kira seminggu. Sebelum itu, beras goreng yang digunakan sudah dianggap masak selepas digoreng selama empat jam dan dikisar halus.

Semua bekalan itu diisi di dalam tong plastik bertutup kerana ia mudah diurus terutama daripada aspek kualiti dan kebersihan. Selepas tempoh perap kedua itu selesai, barulah ikan dikeluarkan untuk proses pembungkusan.

Ikan yang sudah siap akan disalut dengan beras goreng lain untuk kali kedua bagi memastikan kualiti tahan lama.

Setiap bungkus ikan pekasam dianggarkan seberat antara 180 hingga 200 gram, bergantung kepada saiz ikan dan kebiasaannya, saiz ikan sederhana boleh memuatkan dua ekor ikan dalam satu bungkusan.

Bungkusan itu kemudian akan menjalani proses vakum menyedut udara keluar dari plastik bungkusan bagi memastikan udara kedap di dalamnya. Keadaan itu menghalang angin masuk ke dalam plastik dan membolehkan pekasam tahan lebih lama.

Sekalipun prosesnya agak sama dengan mana-mana pengusaha lain, Meor Shahili menegaskan, aspek paling penting ialah menjaga kebersihan.

“Saya sentiasa anggap, ikan yang hendak dijual itu adalah ikan yang kami akan makan sendiri. Sudah tentu kita sediakan yang terbaik, tidak tergamak menyediakan bahan makanan dalam keadaan kotor, tidak terurus.

“Sebab itulah, saya sentiasa pastikan kawasan sekitar bengkel bersih, aliran air sentiasa kemas dan tidak bertakung, sisa ikan tidak dibuang merata kerana ia sebenarnya boleh dijadikan makanan ternakan ikan sangkar,” katanya.

Ada pihak luar menggunakan produknya untuk dieksport ke China, namun kecewa kerana orang tengah meminta harga terlalu rendah, bagaimanapun, kini mereka bersyukur kerana produk mereka sudah berada di pasaran di seluruh negara. - Berita Harian

Pusat lulus RM121 juta bina jalan

JERANTUT 27 Feb. - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM121 juta untuk fasa pertama projek pembinaan jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi, Hulu Tembeling yang akan bermula April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, fasa pertama melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 22.8 kilometer dari Kampung Tuit berdekatan Kuala Tahan ke Kampung Pagi itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek itu tidak akan tertangguh lagi bagi memacu pembangunan sektor pertanian dan pelancongan di daerah tersebut.

"Memang ada dalam rancangan kerajaan untuk pembangunan projek ini dari Kuala Tahan ke Mat Daling menerusi beberapa fasa bagi menyelesaikan masalah dan beban penduduk yang menggunakan pengangkutan bot penambang.

"Kita harap penduduk bersabar kerana pembinaannya akan bermula tidak lama lagi," katanya kepada pemberita ketika meninjau tapak projek jalan raya di Kampung Tuit, Kuala Tahan dekat sini hari ini.

Wan Amizan diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada 24 Februari lalu mengenai rintihan penduduk Hulu Tembeling yang mahu kerajaan menyegerakan pembinaan jalan sepanjang 98 kilometer bermula dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling.

Menurut beliau, pengumuman kerajaan mengenai projek itu diharap melegakan keresahan lebih 10,000 penduduk Tahan dan pedalaman Hulu Tembeling yang menanti-nantikan kemudahan itu sejak 52 tahun lalu.

"Fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan jalan raya sehingga ke Kampung Pagi dan ia sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah pengangkutan penduduk yang selama ini terpaksa menggunakan bot penambang di Sungai Tembeling untuk ke bandar Jerantut.

"Pembinaan jalan raya akan mempercepatkan pengangkutan hasil kampung termasuk kelapa sawit, getah dan sayur-sayuran dari pedalaman Hulu Tembeling sekali gus menjimatkan kos petrol ke pusat pengumpulan dan kilang di bandar Jerantut," katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga akan mempercepatkan pelaksanaan fasa berikutnya secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berasaskan keutamaan ekonomi dan kepentingan sosial penduduk.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Jerantut berkata, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsortium yang dilantik selesai menjalankan kajian tanah, jajaran dan memilih kontraktor projek berkenaan.

Projek jalan raya Tuit ke Kampung Pagi, jelas beliau, adalah untuk memacu pembangunan kawasan tanah seluas 600 hektar yang akan dimajukan oleh Felcra Berhad dan Yayasan Pahang dikenali sebagai Projek Ladang Sejahtera Rakyat melibatkan tanaman kelapa sawit. - Utusan

Puduraya bakal berubah wajah

Saturday, February 27, 2010


HENTIAN Puduraya bakal berubah wajah dan menyediakan kemudahan yang 
lebih baik dan selesa kepada orang ramai tidak lama lagi.


KUALA LUMPUR - Penutupan Hentian Puduraya di sini selama empat bulan untuk proses ubahsuai yang dijangka bermula pada pertengahan Mac ini bakal merubah wajah hentian bas utama di ibu negara itu setelah 34 tahun beroperasi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, melalui pengubahsuaian terbaru itu, kawasan menunggu di bahagian bawah Puduraya akan ditambah dengan pendingin hawa dan diperbesarkan tiga kali ganda sementara medan selera dipindahkan ke tingkat atas.

"Pengubahsuaian ini dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri dan bakal memberi lebih keselesaan kepada pengguna tetapi tarikh tepat penutupan itu masih belum dimuktamadkan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Hentian Puduraya semalam.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Kanan UDA Holdings Berhad, Shytul Shahryn Mohamad Shaari.
Raja Nong Chik berharap orang ramai dapat memahami sebab-sebab penutupan Hentian Puduraya yang dibuat untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.

Jelasnya, sepanjang tempoh penutupan itu, hentian bas sementara dibina di Jalan Galloway berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan ia sudah siap untuk digunakan oleh para penumpang bas ekspres bagi destinasi ke selatan manakala Hentian Duta akan digunakan untuk bas-bas yang mengendalikan perkhidmatan perjalanan ke utara. - Kosmo

Muhasabah sambut Maulud Nabi

IRONINYA menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran insan agung ini.

Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi terhadap baginda yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk seluruh alam.


Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibu bapanya, anak dan manusia keseluruhannya".
 
Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW diutuskan dengan seruan untuk mentauhidkan Allah SWT serta memperelok akhlak manusia, terdapat segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa olehnya.

Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tonggak keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah yang membimbangkan.

Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman AS, sedangkan nikmat mimpi melihat Nabi Muhammad SAW pun sukar untuk diperoleh. Begitu pula dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.

Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada pesalah zina dan peminum arak.

Bukankah Allah SWT dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Maidah bahawa orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan, tanpa belas kasihan.

Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang kaya khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk mencukupkan pingat dan gelaran sedia ada.

Apabila kerosakan akidah dan syariah semakin parah, ia menyumbang pula kepada kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman di khayalak ramai bahkan bersekedudukan seolah-olah menjadi gaya hidup kepada sesetengah masyarakat Islam.

Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral.

Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok mata dan menampakkan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada jenayah rogol dan gangguan seksual yang menjadi-jadi.

Apa yang berlaku menampakkan realiti kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk daripada masyarakat Arab jahiliah ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan. Kalau dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih ke hadapan kerana tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan.

Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir masyarakat jahiliah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad SAW diingati hanya dengan mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan, diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh apa-apa.

Ada pula yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu trend bagi memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

Justeru, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4M terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Mereka diseru memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personaliti dan peribadi Nabi yang dikasihi oleh kawan dan lawan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru. - Utusan

Otosil MARDI hasilkan makanan ternakan

Friday, February 26, 2010


Otosil memenangi Anugerah Inovasi Negara 2009 bagi kategori Industri.


Selain penyakit, antara masalah utama dalam industri penternakan haiwan ruminan ialah makanan.

Ini kerana, peningkatan harga makanan haiwan amat membebankan pengusaha memandangkan bahan mentahnya diimport.

Sehubungan itu, sumber makanan haiwan perlu dipelbagaikan supaya industri ternakan ruminan tempatan tidak terlalu bergantung kepada produk import.

Antara sumber tempatan yang boleh dijadikan makanan alternatif atau sekurang-kurangnya sebagai tambahan yang sedia ada ialah daun atau pelepah kelapa sawit.

Penggunaan produk mentah lain seperti jerami melibatkan 1.2 juta tan, jagung 750 tan setahun sedangkan sumber sawit boleh diperoleh daripada empat juta hektar tanaman tersebut di negara ini.

Penggunaan pelet daripada daun sawit pula melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan kilang untuk menghasilkan makanan tersebut.

Ketika ini, ramai pengusaha atau penternak haiwan ternakan ruminan menggunakan daun sawit atau rumput Napier sebagai bahan makanan mentah daripada sumber domestik untuk menghasilkan silaj.

Silaj merupakan bahan makanan ternakan ruminan yang dihasilkan menerusi proses fermentasi anerobik ke atas bahan foder atau sisa pertanian.

Rumput atau daun sawit perlu diracik atau dipotong terlebih dahulu sebelum diperam dipijak dalam tong bersama mikrob tertentu.

Kaedah tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai, memakan masa serta kualiti yang rendah.
Sehubungan itu, bagi membantu pengeluaran silaj makanan tersebut, seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ghazali Hussin berjaya membangunkan mesin berteknologi tinggi dinamakan Otosil yang kos efektif.

Menurut Ghazali, Otosil ialah mesin pengeluar silaj yang mampu memproses silaj dari bahan foder seperti rumput, sekoi dan sebagainya dan juga bahan sisa pertanian seperti batang jagung, jerami padi dan pelepah kelapa sawit dengan cekap.

Otosil merupakan mesin yang mempunyai keistimewaan antaranya pengeluaran silaj lebih lebih cekap berbanding dengan kaedah manual.

"Dengan kaedah manual, bahan tanaman yang ingin diproses terpaksa dimasukkan ke dalam tong dan dipadatkan secara manual.

"Oleh yang demikian, pengeluaran silaj dengan menggunakan Otosil boleh menjimatkan masa dan kos.

"Otosil merupakan mesin pengeluaran silaj yang pertama dicipta di Malaysia dan juga di dunia yang berasaskan penggunaan tong plastik,'' kata beliau.

Mesin tersebut katanya, boleh digunakan sama ada di kilang atau di ladang.

Ia boleh beroperasi dengan menggunakan kuasa elektrik atau kuasa enjin dan boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah kerana ia dilengkapi roda.

Mesin Otosil mampu menjana sumber pendapatan baru kepada usahawan. pertanian.

Menurut Ghazali, Malaysia kaya dengan sumber sisa pertanian yang selama ini tidak digunakan. Dengan Otosil, sisa pertanian itu boleh diproses kepada silaj untuk makanan ternakan.

Justeru mesin berkenaan secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dimana sebelum ini bahan sisa pertanian seperti batang jagung dan jerami padi dibakar selepas hasilnya dituai.

Beliau menjelaskan, masalah utama yang dihadapi oleh industri ternakan negara ialah kekurangan makanan.

Oleh itu negara masih mengimport bahan mentah untuk makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Pada tahun ini disasarkan pengeluaran daging negara sekitar 28 peratus daripada keperluan negara.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak sumber terbuang yang sangat berpotensi untuk digunakan sebagai makanan ternakan.

Katanya,, teknologi yang ada tidak cekap untuk menghasilkan silaj yang bermutu bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

"Atas alasan ini maka saya berfikir untuk mencipta sebuah mesin yang mampu menghasilkan silaj dengan cekap dan akhirnya Otosil dicipta," jelasnya.

Beliau berkata, Otosil kini diberi lesen oleh MARDI kepada Choon Heng Engineering and Co. untuk dikeluarkan secara komersial.

Ia dibina dari bahan besi tahan karat dan di bahagian tertentu dibina daripada keluli tahan karat bagi mencegah karat.

Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan alat penyuntik atau penyembur bahan aditif serta inokulan bakteria.

Penyelidikan untuk membangunkan teknologi ini bermula pada tahun 2005 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000.

Harga mesin ini ialah RM32,835 yang menggunakan kuasa elektrik manakala mesin yang menggunakan kuasa enjin, harganya melebihi RM38,000.

Bagi pengusaha ternakan atau bakal usahawan yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan silaj, Otosil boleh ditempah.

Beliau menyasarkan pengguna Otosil kepada penternak komersial, sama ada penternak kambing atau lembu yang mempunyai ternakan yang melebehi 50 ekor.

Selain penternak, Otosil juga boleh digunakan oleh usahawan iaitu khusus untuk menghasilkan silaj untuk dijual kepada penternak.

Perusahaan ini boleh dijalankan di kawasan pengeluaran jagung utama serta kawasan perladangan kelapa sawit dalam negara supaya bahan mentah senang diperolehi.

Selain dari kawasan pengeluaran jagung, kawasan pengeluaran padi utama negara seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perak adalah kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan industri ini.

Katanya, teknologi Otosil tidak akan berakhir di sini, sebaliknya akan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang.

"Saya mempunyai perancangan yang lebih jauh bagi menjayakan industri ternakan negara.

"Teknologi Otosil akan diberi tambah nilai dari semasa kesemasa supaya ia dapat memenuhi kehendaki semua peringkat penternak dan usahawan ternakan di Malaysia.

"Saya berhasrat supaya Otosil digunakan bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pada masa akan datang,'' katanya.

Kejayaan beliau menghasilkan Otosil bukanlah yang pertama dalam kerjayanya sebagai penyelidik.

Pada tahun 2000, Ghazali berjaya mencipta mesin pemampat silaj iaitu Silager. Silager adalah mesin silaj pertama yang dihasilkan beliau tetapi ia tidak mempunyai alat pemotong serta penyembur inokulan.

Di samping itu, Ghazali juga telah berjaya menghasilkan rumput pastura mutan iaitu Brachiaria decumbens atau dikenali sebagai Kluang Comel dengan kaedah mutagenesis.

Rumput mutan ini telah diisytiharkan pada tahun 2003 sempena Hari Flora di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (kini Agensi Nuklear Malaysia).

Mereka yang berminat dengan mesin Otosil boleh menghubungi beliau di 019-7544226 atau silagergbh@yahoo.co.uk / gbh@mardi.gov.my - Utusan

Anak penoreh getah dapat 5A

KUALA LUMPUR: “Jika ada kemahuan tidak ada bezanya bagi seorang pelajar untuk mencapai kejayaan walaupun tinggal di bandar atau luar bandar,” kata Nurul Imani Zakaria, 19, yang dipilih sebagai Pelajar Cemerlang Bagi Kategori Luar Bandar dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan semalam.

Beliau yang mendapat 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil berkata, yang penting adalah kemahuan dan kesungguhan seseorang untuk meraih kecemerlangan dalam pelajaran.

“Tekad saya adalah untuk mengubah kehidupan keluarga dan jalan yang saya lihat adalah melalui pelajaran,” kata anak penoreh getah berasal dari Kampung Panggung, Pasir Puteh, Kelantan.

“Saya sudah biasa hidup susah dan sejak kecil sudah mengikut ayah menoreh getah,” kata anak kelima daripada 10 beradik.

Nurul Imani adalah antara 15 pelajar yang dipilih dalam pelbagai kategori bagi menerima anugerah kecemerlangan sempena pencapaian cemerlang dalam keputusan STPM tahun lalu yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak di sini, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman, Pasir Puteh itu berkata, beliau menelaah pelajaran lebih empat jam setiap hari. - Berita Harian

3 politeknik premier

Oleh Azrina Ahzan

MUHYIDDIN menerima buku �Hala Tuju Tranformasi Politeknik� daripada Mohamed Khaled pada majlis pelancaran Tranformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sambil diperhatikan Saifuddin (kiri).
Universiti politeknik ditubuh 2015: Taraf premier pelopori usaha tawar pengajian teknikal kepada pelajar antarabangsa

PUTRAJAYA: Tiga politeknik semalam menerima taraf premier yang menjadi asas ke arah penubuhan universiti politeknik menjelang 2015.

Politeknik itu ialah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor; Politeknik Ungku Omar, Perak dan Politeknik Johor Bahru, Johor.

Watikah Politeknik Premier itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Politeknik Premier itu berperanan menjalankan program dalam bidang tujahan, selain mempelopori usaha menawarkan program pengajian berbentuk teknikal kepada pelajar antarabangsa, terutama di kalangan negara membangun.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata transformasi berkenaan boleh dijayakan melalui inovasi sistematik bagi menambah nilai kepada proses dan keberhasilan pendidikan serta latihan politeknik.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan universiti politeknik akan menjadi pelengkap kepada pendidikan vokasional dan teknik di peringkat pengajian tinggi.

"Universiti politeknik ini akan membolehkan pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pasca menengah dan tinggi di bawah satu sistem politeknik tanpa perlu menyambung pengajian ke institusi lain," katanya.

Beliau berkata, pendidikan aliran itu dapat melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus menjadi penyumbang kepada penjanaan kekayaan baru negara.

“Peningkatan kualiti pendidikan berteraskan kemahiran mesti diperkasakan dan dijadikan agenda utama dalam memenuhi keperluan modal insan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, inovasi dalam pengurusan pendidikan politeknik selain mampu menarik minat pelajar terbaik mengikuti pendidikan vokasional dan teknik, ia juga boleh dikembangkan dengan memberi pengecualian kredit kepada pelajar lepasan sekolah menengah yang memasuki politeknik.

"Langkah menawarkan pengecualian kredit seperti diamalkan ketika ini akan membolehkan lulusan politeknik mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam tempoh lebih singkat.

"Ini akan menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan utama pelajar yang berhasrat mengikuti pengajian di universiti teknikal," katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, berkata lebih banyak Politeknik Premier akan dipilih pada masa depan jika memenuhi kriteria kecemerlangan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada Politeknik Premier terbabit akan dinaik taraf sebagai universiti politeknik kerana ia bergantung kepada pencapaian semua politeknik itu menjelang 2015.

"Tumpuan utama kementerian ketika ini untuk meningkatkan jumlah kemasukan di peringkat diploma di semua 27 politeknik daripada 60,840 orang pada 2009 kepada 87,440 orang pada 2012. - Berita Harian

Ekonomi Malaysia pulih - Najib

Thursday, February 25, 2010

EKONOMI Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5% (S3 09:-1.2%) pada suku keempat 2009, hasil daripada permintaan dalam dan luar negeri yang lebih kukuh. Bagi tahun 2009, ekonomi negara mencatat penguncupan sebanyak 1.7%, iaitu lebih rendah daripada penguncupan 3% yang diunjurkan sebelum ini (2008: +4.6%).


Pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan dalam perbelanjaan sektor awam telah menyumbang kepada permintaan dalam negeri yang lebih tinggi, yang mencatat kenaikan sebanyak 3% pada suku keempat (S3 09: 0.4%). Peningkatan penggunaan swasta disokong oleh pasaran pekerja yang lebih baik, kadar inflasi yang rendah, serta perbelanjaan yang lebih tinggi semasa musim cuti persekolahan dan perayaan pada akhir tahun.

Sektor awam terus memainkan peranan utama dalam merangsang pertumbuhan pada suku tersebut. Perbelanjaan penggunaan sektor awam meningkat sebanyak 1.3%, sementara perbelanjaan modal sektor awam meningkat dengan nyata berikutan pelaksanaan projek-projek di bawah pakej rangsangan fiskal yang lebih giat. Perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion pada suku tersebut (S3 09: RM11.6 bilion), iaitu peningkatan sebanyak 9.5% berbanding suku keempat 2008.

Pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan Kerajaan yang lebih pesat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara. Sehingga kini, lebih 113,000 projek di bawah kedua-dua pakej rangsangan tersebut telah dan sedang dilaksanakan, meliputi jumlah perbelanjaan sebanyak RM17 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak RM13.9 bilion telah pun dibayar atau secara puratanya pembayaran sebanyak RM1 bilion sebulan telah mengalir ke pasaran sejak Januari 2009.

Salah satu aspek utama pakej rangsangan dan Mini Budget 2009 adalah pelaksanaan langkah khusus untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan. Sejak bulan Mac 2009 sehingga kini, Kerajaan telah mengisi sebanyak 38,495 pekerjaan daripada 50,000 jawatan kosong di sektor awam dan juga mengambil sebanyak 11,131 sebagai pekerja kontrak. Pengambilan pekerja kontrak perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada pakej rangsangan di mana mereka ini adalah disarankan untuk mencari perkerjaan tetap di pasaran pekerja setelah tamat tempoh kontrak.

Kerajaan juga melalui agensi-agensinya dan syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan kerjasama sektor swasta telah mewujudkan sebanyak 100,000 peluang latihan dan pekerjaan. Ini telah memanfaatkan pekerja dari sektor perkhidmatan, graduan menganggur, pekerja yang telah diberhentikan, ibu tunggal, pekerja kurang upaya dan apperentis. Sebanyak RM230 milion telah dibahagikan kepada Pusat Latihan di peringkat negeri untuk latihan teknikal. Dari jumlah ini sebanyak RM169 milion telah digunakan untuk latihan kepada seramai 13,916 pekerja dari pelbagai industri.


Secara keseluruhan, keadaan pasaran pekerja nyata bertambah baik pada suku keempat, memandangkan jumlah pemberhentian pekerja berkurangan kepada 2,125 orang berbanding 12,590 orang pada suku pertama 2009.

Terdapat tanda-tanda penstabilan dalam perbelanjaan modal sektor swasta. Ini memandangkan sentimen perniagaan terus bertambah baik. Perkembangan ini, bersama-sama dengan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi, telah menyumbang kepada pemulihan dalam pembentukan modal tetap kasar yang mencatat pertumbuhan positif sebanyak 8.2% pada suku tersebut (S3 09: -7.9%).

Kesemua sektor ekonomi mencatat prestasi yang lebih baik pada suku keempat. Sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan yang menyeluruh, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam hampir kesemua subsektor. Sektor perkilangan kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif sebanyak 5.3%, mencerminkan permintaan luar dan dalam negeri yang lebih baik. Aktiviti sektor pembinaan berkembang dengan kukuh sebanyak 9.2%, terutamanya hasil daripada pelaksanaan pesat projek-projek di bawah pakej rangsangan fiskal dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).

Pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama seperti projek landasan kereta api berkembar elektrik dan jalan raya, serta pembinaan rumah kos rendah dan sederhana, di samping penambahbaikan dan penyenggaraan sekolah dan hospital, telah menyumbang kepada prestasi sektor pembinaan yang kukuh. Sektor komoditi juga mencatat prestasi yang lebih baik. Sektor pertanian khususnya disokong oleh permintaan luar negeri yang lebih tinggi dan harga komoditi yang lebih kukuh.

Prestasi eksport Malaysia kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 5.1% (S3 09: -22.4%), disokong oleh peningkatan permintaan luar negeri, terutamanya dari negara serantau, dan harga komoditi yang lebih kukuh.

Malaysia juga terus menerima pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI). Pada suku keempat, aliran masuk kasar FDI meningkat kepada RM7.2 bilion (S3 09: RM6.7 bilion). Sejumlah besar pelaburan tersebut adalah untuk sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia telah dipulih daripada kesan krisis global. Pelaksanaan yang pesat dan proaktif bagi dasar fiskal yang mengembang, dasar monetari yang akomodatif, serta langkah menyeluruh dalam memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan telah memainkan peranan yang amat penting dalam mengurangkan kesan kemelesetan global terhadap ekonomi Malaysia. Ini juga telah membawa kepada pertumbuhan semula ekonomi yang pantas.

- Dato' Sri Mohd. Najib
Putrajaya. - Utusan

Kerajaan Wujud Konsortium Pertanian Dikenali Synergy Perdana

Wednesday, February 24, 2010

 

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan konsortium pertanian melibatkan kerjasama strategik di antara tiga agensi peladangan negara - Felda, Risda dan Felcra Berhad - yang akan dikenali sebagai Synergy Perdana.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata konsortium yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM300 juta itu, akan mampu mewujudkan sinergi perniagaan bagi mencapai ekonomi berskala besar supaya mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Penubuhan konsortium yang dinamakan Synergy Perdana ini ialah hasil cetusan idea daripada Perdana Menteri bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai projek oleh ketiga-tiga agensi ini secara perkongsian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Felda, Felcra dan Risda, yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

MoU kerjasama itu, antara lain meliputi perkongsian pengalaman sistem amalan pertanian, pengurusan ladang dan program pertukaran sementara kakitangan ketiga-tiga agensi berkenaan.

Mohd Shafie berkata sebagai permulaan, Synergy Perdana yang bersifat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan diselia oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ditanya mengenai individu yang akan mengetuai konsortium itu, Mohd Shafie berkata perkara itu terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.

Beliau berkata projek pertama konsortium itu ialah bagi pengeluaran baja, yang dijangka bermula April ini.

Bidang itu diberi tumpuan kerana pada masa ini, penggunaan baja oleh ketiga-tiga agensi berkenaan melebihi RM1 bilion setahun.

"Bila baja ini dapat dimatangkan (dikeluarkan), harga baja dapat diturunkan. Ia bukan sahaja dapat membantu ketiga-tiga agensi ini tetapi masyarakat peneroka di luar bandar yang menggunakan baja untuk tanaman sawit dan getah," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Kabinet bersetuju mengiktiraf syarikat-syarikat yang berdaftar dengan Unit Pendaftaran Kontraktor (UPK) di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan mereka melaksanakan projek kerajaan.

Beliau berkata melalui pengiktirafan itu, lebih banyak kontraktor dari dua negeri berkenaan boleh terlibat dalam projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi kementeriannya.

"Kabinet pada Rabu bersetuju supaya syarikat-syarikat kontraktor berdaftar di Sabah dan Sarawak diberi kelonggaran itu. Ini adalah hasil perbincangan yang dilakukan bersama Perdana Menteri ketika melawat Sarawak dua hari lepas," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, syarikat kontraktor dari kedua-dua negeri itu perlu menggunakan lesen di bawah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi mendapatkan tender untuk projek kerajaan. -- BERNAMA

PM Umum Peruntukan Khas RM35 Juta Bantu Pendudukan Kawasan Rascom

SIBU: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan khas RM35 juta untuk tiga projek bagi meningkatkan mutu kehidupan penduduk empat skim penempatan semula kawasan Rascom di sini yang pernah diancam komunis.


Perdana Menteri berkata peruntukan itu termasuk bantuan berjumlah RM18 juta untuk memperbaiki keadaan rumah panjang yang memberi faedah kepada 1,422 pintu rumah di skim-skim penempatan semula Nanga Janggau, Nanga Ngungun, Nanga Skuau dan Nanga Tada yang akan memberi manfaat kepada 12,000 penghuni.

Sejumlah RM8 juta akan diperuntukkan bagi pembinaan jalan antara Nanga Janggau dan Nanga Ngungun dan RM9 juta untuk pembinaan sebuah klinik di Nanga Tada di bawah Rancangan Melaysia Kesepuluh (RMK-10), katanya semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, 80 km dari sini.

Selain bantuan ini, Najib mengumumkan bantuan kewangan kepada 477 orang pelajar sekolah di kawasan skim penempatan semula itu dalam bentuk simpanan di Bank Simpanan Nasional.

Menerusi program itu, pelajar sekolah rendah akan menerima RM450 setahun setiap orang manakala pelajar sekolah menengah mendapat bantuan RM600 setahun seorang.

Najib turut meminta Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Industri Getah (Risda)mengenal pasti kawasan di skim-skim penempatan semula ini yang berpotensi untuk penanaman getah secara kekal.

Ini adalah untuk membantu rakyat di situ menikmati pendapatan tetap melalui penglibatan mereka dalam projek penanaman itu, katanya.

Skim-skim penempatan semula Rascom telah diwujudkan sejak 1972 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang merupakan ayahanda Najib, dengan tujuan melindungi rakyat daripada ancaman pengganas komunis ketika itu.

Menurut Najib, usaha baru beliau membantu rakyat di kawasan skim itu diharap akan dapat membuka lembaran baru bagi mereka untuk melakar zaman yang lebih makmur selepas ayah beliau berjaya melindungi mereka melalui penubuhan skim-skim itu.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan pusat sedia membantu membawa kembali jenazah 22 orang askar berasal dari Sarawak yang dikebumikan di Semenanjung untuk disemadikan di negeri ini.

Katanya, askar-askar berkenaan, yang merupakan renjer dan peninjau, telah terkorban semasa mempertahankan negara daripada ancaman komunis dahulu. - mStar online

FAMA beli tanaman petani

TEMERLOH 23 Feb. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini memeterai perjanjian dengan peserta projek Tanaman Pengeluaran Kekal Makanan (TPKM), Lanchang di bawah program ladang kontrak bagi memasarkan hasil pertanian mereka.

Menerusi perjanjian itu, FAMA Temerloh juga akan bekerjasama dengan petani yang terlibat dengan projek tanaman nangka madu bagi memasarkan hasil keluaran mereka.

Pegawai FAMA daerah, Abdul Razak Abdul Karim berkata, kesemua pembelian hasil pertanian itu dianggarkan melebihi RM500,000 bagi tempoh sepanjang tahun ini.

''Selain nangka madu, perjanjian jual beli itu adalah pendekatan terbaru yang dilaksanakan FAMA meliputi hasil pertanian seperti nenas moris, nenas N36, pisang berangan, buah-buahan, labu manis dan jagung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian pembelian hasil pertanian tiga peserta ladang TPKM Lanchang iaitu nenas moris, nenas N36 dan pisang berangan di Dataran Kerdau dekat sini hari ini.

Menurut Abdul Razak, melalui konsep itu, FAMA akan membeli hasil pertanian peserta membabitkan kawasan seluas 60 hektar mengikut harga pasaran semasa.

FAMA jelasnya, tidak akan membeli dengan kadar lebih rendah daripada harga lantai bagi membantu petani daerah ini mendapat pendapatan lebih lumayan.

Kata Abdul Razak, petani berasa lebih terjamin kerana FAMA akan membeli semua hasil pertanian mereka dengan harga yang berdaya saing selain membantu memberi nasihat pemasaran dan teknologi pengeluaran.

Jelasnya, program sedemikian dapat memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti, mapan dan menepati kehendak pasaran menerusi Amalan Pertanian Baik (GAP).

Abdul Razak memberitahu, petani yang sebelum ini menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian juga boleh menyertai program tersebut supaya pendapatan mereka lebih terjamin jika dibandingkan menjual kepada pemborong.

Menurutnya, antara kemudahan lain yang diperoleh melalui konsep itu ialah petani akan diberi latihan dan lawatan kursus.

"Pertanian secara tradisional tidak lagi sesuai kerana ia tidak dapat menghasilkan pengeluaran berskala besar bagi keluasan tanah yang kecil.

''Hasil pengeluaran lebih berganda apabila menggunakan teknologi moden dengan keluasan tanah yang sama," katanya. - Utusan

Transformasi kurikulum sekolah


MUHYIDDIN Yassin melihat R.Mitra melayari laman sesawang MyIdeas pada Majlis Pelancaran MyIdeas@Schools di SK Lenga Pagoh, Muar, Johor, semalam.


MUAR 23 Feb. - Kementerian Pelajaran akan melakukan perubahan dalam kurikulum sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan.

Untuk itu, aspek penerokaan ilmu akan diberi penekanan dengan lebih banyak tumpuan kepada pelajar dan bilik darjah, bukan lagi dominasi oleh guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan yang dilakukan dari semasa ke semasa itu bertujuan menerapkan budaya berfikir yang kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Proses pembelajaran ini akan lebih mementingkan interaksi di antara murid, guru dan rakan sekelas yang diharapkan dapat membantu percambahan idea yang kreatif dan inovatif.

"Di samping itu, budaya kreativiti dan inovasi juga boleh dipupuk melalui aktiviti kokurikulum seperti bengkel, seminar dan pertandingan," katanya semasa melancarkan program MyIdeas@Schools di Sekolah Kebangsaan Lenga, Pagoh dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran percaya kunci pemupukan budaya inovasi adalah kurikulum yang seimbang dari aspek penyampaian ilmu dan penjanaan budaya berfikir.

Katanya, kerjasama kementeriannya dengan Yayasan Inovasi Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bagi menjayakan MyIdeas@Schools adalah inisiatif yang dapat melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.

"Kementerian Pelajaran dengan kerjasama MDeC telah melatih seramai 42 guru dari 21 sekolah bestari luar bandar dalam fasa pertama program ini.

"Latihan ini bertujuan memastikan guru-guru mempunyai kemahiran yang diperlukan bagi membimbing murid-murid menggunakan portal MyIdeas@Schools dan melaksanakan strategi berkesan bagi menggalakkan murid menghasilkan idea yang kreatif dan inovatif," katanya.

Beliau berharap ia akan menjadi landasan menghimpunkan idea-idea inovatif murid-murid supaya dapat diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

"Saya percaya, dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita perlu memiliki teknologi tempatan yang dihasilkan oleh anak watan.

"Contoh terbaik ciptaan satelit RazakSAT yang dihasilkan anak tempatan dan kini mengelilingi garisan Khatulistiwa," katanya. - Utusan

MARDI cipta kit kesan bakteria makanan

Tuesday, February 23, 2010

Noor Azlina Masdor menunjukkan produk ciptaannya yang memenangi Pingat Emas dan Anugerah Paling Inovatif semasa Pameran Innobio 2009 di Kuala Lumpur tahun lalu.


KERACUNAN makanan biasanya berlaku akibat pencemaran bakteria berbahaya dan salah satunya adalah Salmonella. Salmonella merupakan salah satu genera patogenik yang penting dalam pencemaran makanan dan penyakit.

Pelbagai jenis produk makanan terutama unggas dan daging merupakan sumber penting dalam jangkitan Salmonella pada manusia.

Di negara ini jangkitan Salmonella telah menjadi endemik dan penyumbang kepada penyakit yang disebabkan oleh pencemaran makanan.

Disebabkan makanan merupakan bahagian penting dalam kehidupan manusia maka keselamatannya perlu diberikan perhatian. Makanan merupakan pembawa kepada kebanyakan penyakit berjangkit.

Justeru, penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian menghasilkan kit pengesanan pantas atau diagnosis bagi mengesan Salmonella.

Pengawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Noor Azlina Masdor berjaya menghasilkan kit ujian pakai buang immuno dot-blot Salmonella berasaskan kepada tindakbalas antibodi-antigen.

"Ini merupakan alternatif kepada ujian plat ELISA dan didapati lebih sensitif berbanding kaedah pengkulturan konvensional dan plat ELISA," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Setiap ujian direka khusus bagi jalur kawalan positif (+) dan jalur kawalan negatif (-) dan tiga replikasi jalur ujian pada kertas nitroselulos.

Dalam kehadiran Salmonella, satu titik berwarna biru akan muncul pada jalur ujian (T) serta jalur kawalan positif (+).

Semua prosedur ujian dapat diselesaikan antara satu hingga satu setengah jam dan boleh mengesan Salmonella dengan bacaan paling rendah 1-5 CFU bagi 25 gram (g) sampel makanan.

Ujian berkenaan, jelas Noor Azlina, merupakan versi ELISA yang dimudahkan dan boleh digunakan tanpa peralatan khusus.

"Kit ini berdasarkan kepada gambaran visual tindakbalas antibodi-antigen Salmonella.

"Rekaan baru ini direka secara inovatif dan sesuai digunakan sebagai kit diagnosis pantas," katanya.

Kit ujian Salmonella berkenaan adalah ringkas, pantas dan mampu dibeli oleh usahawan memandangkan tiada pembaca ELISA diperlukan.

Ia juga boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dan dimusnahkan selepas digunakan.

Kit berkenaan juga boleh digunakan secara 'in-situ' dan ujian lapangan serta tidak memerlukan pekerja yang berpengalaman untuk mengendalikannya.

Noor Azlina berkata, kit yang dihasilkan di MARDI lebih murah berbanding kaedah konvensional manakala ujian strip juga agak mahal memandangkan kos yuran dan pengangkutan.

"Kit ini berpotensi digunakan dalam industri unggas bagi penilaian pencemaran Salmonella bagi kawalan kualiti.

"Selain itu ia juga sesuai digunakan oleh pengguna untuk memilih makanan yang berkhasiat dan tidak tercemar," katanya.

Kit berkenaan menerima Pingat Emas dan Anugerah Paling Inovatif semasa Pameran Innobio 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Utusan

Kerjasama pintar

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

NIK Mustapha (kiri) bertukar dokumen dengan Faruk di Serdang, baru-baru ini.
UPM, APFT tawar kursus penerbangan PPL

MATLAMAT Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan tenaga kerja profesional dalam industri aeroangkasa bakal terlaksana hasil kerjasama pintar universiti terbabit dengan universiti swasta penerbangan tempatan, Akademi Asia Pasific Flight Training (APFT).

Kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak baru-baru ini, antara lain bertujuan memberi nilai tambah kepada pelajar program kejuruteraan aeroangkasa menerusi penawaran kursus dan latihan penerbangan lesen juruterbang persendirian (PPL) kepada pelajar berkelayakan.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, berkata kursus `bridging’ akan ditawarkan kepada pelajar tahun empat program terbabit bagi melayakkan mereka mencapai tahap jurutera kategori C di samping jurutera profesional dalam industri penerbangan.

Katanya, Akademi APFT akan berperanan menyediakan latihan secara langsung dan kemudahan termasuk hangar, simulator dan kapal terbang bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

“Malah, pelajar berkelayakan berpeluang mendapatkan latihan penerbangan PPL selama tiga bulan yang akan dilaksanakan pada cuti semester. 

“Kelebihan itu menjadikan graduan kejuruteraan aeroangkasa begitu unik kerana selain memperoleh ijazah, mereka juga memiliki lesen penerbangan yang menjadi laluan mudah untuk bergelar juruterbang profesional pada masa depan,” katanya pada majlis menandatangani MoU terbabit di Serdang, baru-baru ini.

MoU itu ditandatangani Nik Mustapha yang mewakili UPM, manakala Akademi AFPT oleh Pengerusinya, Datuk Faruk Othman. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh.

Nik Mustapha berkata, UPM juga akan membantu Akademi APFT membangunkan program pengajian Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) dengan menggunakan kepakaran universiti.

Katanya, kepakaran dan pengalaman tenaga akademik UPM mampu dimanfaat sepenuhnya bagi memenuhi keperluan mendadak jurutera MRO ketika ini, terutama dalam industri pesawat tempatan dan pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Faruk berkata, UPM membuat keputusan tepat apabila memilih Akademi APFT sebagai rakan kerjasama bagi meningkatkan kualiti kurikulum program kejuruteraan aeroangkasa kerana akademi itu mempunyai kemudahan yang memenuhi keperluan program itu.

Beliau berkata, segala kemudahan itu disokong dengan sistem pengurusan profesional, pasukan staf teknikal dan pentadbiran terlatih dan berpengalaman bagi memastikan program dan latihan itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Sebagai pusat latihan penerbangan berstatus institusi pengajian tinggi swasta, kami yakin kerjasama ini menguntungkan kedua belah pihak selain memberi manfaat berganda kepada perkembangan industri aeroangkasa negara,” katanya. - Berita Harian

FAMA Harus Lebih Agresif Kenalpasti Perkembangan Pasaran Pertanian - Noh

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA) harus melaksanakan kajian lebih agresif dalam mengenalpasti perkembangan pasaran produk pertanian, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari Selasa.

Beliau berkata maklumat seperti permintaan, potensi, halangan, dan struktur pemasaran bukan sahaja membantu kerajaan merangka strategi pemasaran yang berkesan, tetapi dapat bertindak sebagai pemacu program penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang pertanian negara.

"Maklumat pasaran adalah penting dan merupakan aset sesuatu kejayaan di dalam sektor pertanian kerana tanpanya negara akan sentiasa berada dalam tahap sebagai pengikut dan tidak mampu bersaing dan bertahan dalam pemasaran hasil pertanian dunia," katanya berucap merasmikan Persidangan Pemasaran Agri Bisnes 2010 di sini.

Langkah itu juga katanya selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-10 yang akan bermula tahun depan.

"Walaupun kos untuk mendapatkan maklumat memerlukan belanja yang tinggi tetapi pemilihan kaedah yang tepat dan kompetitif mampu meneruskan agenda seperti yang telah ditetapkan walaupun menggunakan perbelanjaan minimum," katanya.

Dalam ucapannya Noh juga berkata kementerian itu melalui FAMA akan memperkenalkan logo '1Malaysia Best' bagi produk berasaskan pertanian yang berkualiti iaitu produk daripada hasil ternakan, buah-buahan, sayur-sayuran dan minuman.

"Logo itu merupakan lambang pengiktirafan kementerian terhadap setiap pengeluaran produk usahawan tempatan secara sah bagi menjamin produk berkualiti yang boleh diterima di pasaran tempatan seterusnya mampu menembusi pasaran global," katanya.

Sebelum ini kementerian itu melalui FAMA telah melancarkan jenama Malaysia Best untuk produk pertanian yang diiktiraf berkualiti, katanya. -- BERNAMA

Rezeki dari ikan masin


Noria Muammil (kiri) membantu pengurus Sabah Seasource Trading, Mahadali Aliuddin membungkus produk ikan masin (gambar kiri) untuk dijual kepada pelancong dan orang ramai di Kota Kinabalu, baru-baru ini. – UTUSAN/Ghazali Basri


KOTA KINABALU 22 Feb. – Walaupun membesar dalam keluarga nelayan, tidak pernah terlintas di fikiran Mohd. Noh Anuk, 46, bahawa satu hari nanti dia akan berjaya dalam perniagaan ikan masin.

Ini kerana keluarganya yang merupakan nelayan tradisional tidak pernah menghasilkan ikan masin.

Bagi mereka, ikan hanyalah sebagai satu sumber rezeki atau pendapatan sejak turun-temurun.

Bagaimanapun, minat dan semangat ingin mencuba dalam perniagaan ikan masin membuatkan anak kelahiran Kampung Simunul, Semporna itu nekad memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Saya bermula sekitar 1984, datang dari kampung dengan hanya berbekalkan modal tidak sampai RM1,000 untuk menjual ikan masin di Pasar Ikan Kering, Kota Kinabalu, di sini.

“Ketika itu semua ikan masin dihasilkan sendiri dan saya mempelajari cara-cara menghasilkan ikan masin melalui seorang rakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Di peringkat awal kata Mohd. Noh, pendapatan kasarnya hanya RM30 sebelum ditolak dengan modal kerana pasar itu tidak dikenali, bukan seperti hari ini yang mana ia mula menjadi tumpuan.

Begitu pun katanya, ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menjual ikan masin dan terus bertahan berniaga di pasar tersebut.

Berkat ketabahan katanya, dia kini boleh berbangga kerana berjaya membuka pusat atau kedai sendiri iaitu Sabah Seasource Trading yang menjual pelbagai hasil laut yang dikeringkan.

Menurutnya, kedai tersebut yang terletak di deretan rumah kedai di hadapan pasar ikan masin sedia ada itu pada 2007 kini menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong.

“Kedai ini berjaya dibuka setelah tiga kali jatuh bangun dalam bidang perniagaan ikan masin, saya dibantu oleh isteri dan empat pekerja,” kata bapa kepada lima anak itu.

Dia memberitahu, kedai berkenaan yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 11 malam dan hanya bermodalkan RM3,000 dengan menyewa setengah bahagian premis sahaja.

Setelah perniagaan bertambah maju setahun kemudian, dia mengambil keputusan menyewa keseluruhan kedai. Pelanggannya terdiri daripada 50 peratus orang tempatan dan selebihnya pelancong asing.

Isterinya, Noria Muammil, 26, berkata, kini terdapat lebih 50 jenis ikan masin dan makanan kering dijual di kedainya termasuk dijadikan ubat untuk penjagaan kesihatan.

“Terdapat beberapa jenis ikan masin antaranya kurau, talang, gelama, tenggiri dan keropok, harganya bermula daripada RM18 sekilogram hingga RM50 sekilogram,” katanya.

Sabah Seasource Trading katanya, turut menjual perut ikan, tiga jenis udang, ikan bilis dan bermacam lagi hidupan serta tumbuhan laut yang dikeringkan.

Selain itu, ujar Noria, kedai tersebut yang merupakan pertama seumpamanya di negeri ini turut menjual makanan laut kering lain seperti rumpai laut dan timun laut.

“Ini biasanya dijadikan makanan bagi meningkatkan kekuatan tenaga batin selain memberi manfaat yang besar untuk kesihatan,” katanya.

Semua bahan tersebut katanya, diperoleh dengan cara pajakan melalui hasil tangkapan nelayan-nelayan dari seluruh Sabah. - Utusan

Pusat aktiviti penduduk


Samidi Salio menerima replika kunci Dewan Rancangan Pembangunan Kawasan daripada Ahmad Maslan, di Kampung Parit Tersusun Parit Seraya, Pontian baru-baru ini.


PONTIAN 22 Feb. – Kira-kira 26 tahun lalu, Kampung Parit Tersusun Parit Seraya, dekat sini bukan sahaja dikunjungi Tun Dr. Mahathir Mohamad, malah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Tanggal 8 Mei 1984, Dewan Rancangan Pembangunan Kawasan (RPK) menjadi saksi Tun Mahathir berucap di hadapan penduduk yang begitu gembira kerana dapat berjumpa dengan seorang pemimpin negara.

Kini setelah menyumbangkan jasa sebagai tempat masyarakat berkumpul, bermesyuarat, menjalankan aktiviti ekonomi dan lokasi mangsa banjir berteduh, dewan berkenaan dirobohkan pada tahun lalu.

Namun, dewan itu yang merupakan nadi pengurusan estet Parit Seraya yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Getah (RISDA) pada 1979 bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk, kini diganti baru dengan kos RM130,000.

Dewan baru itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini.

Menyingkap sejarah Kampung Parit Tersusun Parit Seraya, Pengerusi estet Parit Seraya, Samidi Salio, 68, memberitahu, kampung berkenaan merangkumi tiga penempatan iaitu Kampung Parit Selangor, Parit Seraya dan Parit Marjunid.

Estet Parit Seraya ditubuhkan pada 1979 dengan peserta awal seramai 47 orang yang menanam kelapa sawit.

“Selain itu, peserta juga ditawarkan skim perumahan yang berharga RM11,848.93 dengan setiap peserta dikenakan bayaran balik RM100 sebulan selama 15 tahun melalui potongan jualan hasil kelapa sawit.

“Alhamdulillah setelah melalui jerih payah, peserta telah dapat menikmati kehidupan lebih baik dengan mempunyai tanah, rumah dan pendapatan tetap setiap bulan,” katanya.

Samidi berkata, pada setiap kali banjir melanda, dewan berkenaan turut menjadi tempat penduduk kampung berteduh.

“Dewan itu juga pada suatu masa berperanan sebagai tempat golongan wanita menjalankan aktiviti bagi menambahkan pendapatan keluarga seperti membuat jem nanas, makanan ringan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yakin, walaupun dewan berkenaan telah berubah wajah, namun peranannya tetap sama malah akan memperkukuhkan lagi institusi kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Gerakan Desa Wawasan (GDW) dan pertubuhan setempat.

Ia juga sesuai sebagai tempat bagi melaksanakan sebarang aktiviti seperti mengadakan perjumpaan, perbincangan, mesyuarat dan kelas-kelas tambahan.

Penduduk kampung merakamkan ucapan terima kasih kepada RISDA kerana terus memberikan bantuan dan sokongan kepada kami.

“Sebagai membalas jasa dan sumbangan itu, kami akan memastikan estet dan Kampung Parit Tersusun Parit Seraya terus berdaya saing dalam pelbagai bidang ekonomi dan kemasyarakatan,” katanya. - Utusan

Cipta sendiri ramuan jus jagung

Monday, February 22, 2010


FUAD Yunus menunjukkan mesin pelerai yang digunakan untuk memisahkan biji jagung daripada tongkolnya.


MENEGUK jus jagung sejuk dan segar di kala kehausan pastinya memberi kepuasan yang tidak terhingga. Tambahan pula apabila jus tersebut disediakan daripada sumber jagung sebenar dan bukannya menggunakan bahan perisa tambahan.

Ia pastinya menawarkan rasa jagung asli yang sangat enak dan kaya dengan pelbagai khasiat.

Ketika ini, kita mungkin jarang melihat produk jus jagung dijual secara meluas di pasaran.

Ia mungkin disebabkan masih belum ramai lagi
usahawan di negara ini yang terlibat dengan industri tersebut.

Mengambil peluang itu, sebuah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (IKS), AgroGate Enterprise cuba menghasilkan produk jus jagung segar yang sedia untuk diminum.

Menurut Pengurus Besarnya, Fuad Yunus, beliau mencipta minuman itu kerana ingin mencari kelainan dalam penghasilan produk hiliran berasaskan jagung.

"Pada tahun 2007, syarikat kami telah memulakan tanaman jagung manis Varieti 926 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan seluas 30 ekar.

"Sejak mula ditanam, kami telah membekalkan jagung-jagung ini kepada penduduk kampung dan syarikat-syarikat yang ingin membelinya secara kelompok,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian jus tersebut di Kompleks Pengumpulan Ladang (KPL), Kampung Kanchung Tengah, Banting, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.

Ia telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Paduka Badruddin Amiruldin.

Pengeluaran hasil jagung yang tinggi telah mendorong beliau untuk menghasilkan jus jagung segar pada April 2009.

Tambahan pula, pada setiap musim, ladangnya akan menghasilkan 20 hingga 30 peratus jagung yang tidak mengikut piawai pasaran sangat sesuai digunakan sebagai bahan mentah jus itu.

Jus jagung di bawah penjenamaan Jagcorn itu disediakan di kilangnya yang terletak Kuala Langat, Selangor.

"Ketika ini, jus ini disediakan secara manual bermula dengan proses peleraian jagung, bancuhan ramuan, pembungkusan dan menampal pelekat dengan bantuan seramai 10 orang kakitangan.

"Menerusi cara itu, kapasiti pengeluarannya adalah sangat rendah di mana kita hanya mampu menghasilkan sebanyak 1,200 botol sehari dengan dengan harga borong RM1.30 sebotol,'' jelasnya.

Menarik mengenai jus ini, ramuannya telah dicipta sendiri menerusi perbincangan kalangan pengurusan syarikat.

Selain itu, mesin-mesin yang digunakan melerai jagung, membancuh dan membungkus juga dicipta sendiri menggunakan idea daripada pihak pengurusan.

Pembuatannya pada peringkat awal melibatkan proses meleraikan jagung daripada tongkol untuk menghasilkan stok sebelum dikisar dan dimasak bersama ramuan campuran tanpa bahan pengawet.

Jus jagung yang telah dibotolkan juga akan mengandungi serpihan kecil biji-biji jagung untuk memberi lebih kenikmatan ketika meminumnya.

Menceritakan mengenai pasaran produk tersebut, beliau memberitahu, ketika ini, jus tersebut hanya diedarkan mengikut permintaan.

"Kita merancang untuk memperluaskan rangkaian pasaran produk ini sehingga memasuki pasar raya satu hari nanti.

"Buat masa ini, kita bakal memulakan penjualan di Pasar Tani terpilih sekitar Selangor,'' katanya.

Dari segi bantuan agensi kerajaan, beliau memberitahu, syarikatnya telah mendapat bantuan daripada pihak FAMA untuk memasarkan produk jus berkenaan.

Selain itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga ada memberi bantuan dari segi khidmat nasihat dalam mekanisme pembuatan jus.

Syarikat tersebut menyasarkan pengeluaran sebanyak 10,000 liter sehari pada akan datang apabila telah mempunyai kilang yang dilengkapi dengan mesin automatik.

Untuk tujuan perluasan pengeluarannya, syarikat itu juga bakal membuka kawasan tanaman jagung baru di ladang sekitar Kelantan dan Johor.

"Harapan kita adalah untuk menjadikan jus ini sebagai minuman pilihan pengguna sebagaimana kejayaan produk minuman kacang soya,'' katanya. - Utusan

Pasar roda tiga untuk usahawan tani


URUSAN mengutip hasil pertanian di kawasan kampung dan terpencil akan menjadi lebih mudah menggunakan motosikal roda tiga.


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sememangnya tidak pernah kekeringan idea untuk tampil dengan pelbagai inisiatif membantu petani dan peladang di negara ini memasarkan produk pertanian mereka.

Bermula dengan pengenalan program Pasar Tani 25 tahun lalu, ia kini terus menjadi medan pertemuan di antara pengeluar dan pengguna yang mendapat sambutan cukup hangat.

Hari ini, pasar tani telah berkembang sebagai sebuah institusi pemasaran yang berjaya dan banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menerusinya, hasil-hasil pertanian tempatan telah dapat diedar serta dipasarkan dengan skala yang besar ke seluruh negara.

November tahun lalu pula, FAMA telah memperkenalkan konsep baru bagi pemasaran produk pertanian melalui Karavan Pasar Tani.

Tujuannya adalah untuk membantu para peserta Pasar Tani memasarkan barangan mereka secara bergerak kepada pengguna.

Tidak cukup dengan itu, FAMA turut menjalankan kerjasama dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk membangunkan projek ladang kontrak di negeri Selangor.

Projek yang melibatkan Jabatan Pertanian dan juga Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu bertujuan untuk meningkatkan keperluan makanan negara.

Setakat ini, terdapat seramai 322 peserta ladang kontrak di negeri Selangor dengan kawasan tanaman seluas 949.86 hektar.

Sedikit demi sedikit pelaksanaan usaha FAMA ini menawarkan perkhidmatan pasaran yang lebih mudah dan selesa kepada para pengeluar.

Terbaru, FAMA telah memperkenalkan konsep peraih produk pertanian menerusi Program Pembangunan Usahawan Peraih Motosikal Roda Tiga.

Peraih tersebut mempunyai peranan membeli hasil pertanian yang diusahakan oleh orang-orang kampung untuk dipasarkan ke pusat-pusat jualan.

Konsep tersebut bersesuaian dengan kemampuan para petani kerana melaluinya, mereka tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk tujuan pasaran.

Selain menawarkan harga yang berpatutan, konsep tersebut juga dilihat mampu menampilkan imej yang kemas dan seragam di seluruh negara.

Menurut Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin, program tersebut diperkenalkan berikutan masalah lebihan hasil pertanian di kawasan luar bandar.

''Dengan cara ini hasil pertanian orang kampung dapat akan mendapat pasaran walaupun dikeluarkan dalam kuantiti yang kecil.

''Apabila orang kampung mengetahui produk yang dihasilkan mempunyai pasaran, mereka akan lebih bersemangat untuk bercucuk tanam.

''Ia secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah kemiskinan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan pendapatan,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Program FAMA Daerah Kuala Langat di Kompleks Pengumpulan Ladang (KPL), Kampung Kanchung Tengah, Banting, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.

Peraih yang telah dilantik akan memasuki daerah-daerah kampung bagi membeli hasil pertanian secara tunai.

Dari segi harga, peraih akan membeli kesemua produk pertanian itu mengikut harga ladang seperti yang telah ditetapkan oleh pihak FAMA.

Ia secara tidak langsung akan memberi jaminan harga hasil tanaman tidak akan mengalami penurunan walaupun harga pasarannya jatuh menjunam.

Harganya juga akan ditentukan mengikut kualiti produk berdasarkan piawaian sistem penggredan.

Bagi menjayakan objektif program itu, FAMA telah mengenalpasti beberapa usahawan untuk diberi kemudahan motosikal roda tiga secara jual beli.

Untuk peringkat awal, seramai 10 peserta dari sekitar Tanjung Karang, Kuala Selangor, Banting, Kelang dan Sabak Bernam telah dipilih memulakan perniagaan tersebut.

''Buat permulaan, kita lancarkan program ini di Selangor dahulu dan ia akan diperkembangkan ke seluruh Malaysia dari semasa ke semasa.

''Kita menyasarkan pengedaran sebanyak 1,000 unit motosikal roda tiga menjelang akhir tahun 2010,'' katanya.

Pemilihan usahawan motosikal roda tiga yang bertindak sebagai peraih ini ditentukan mengikut pengalaman, minat dan pengetahuan produk pertanian mereka.

Di samping itu, Pengerusi Majlis Pertanian di setiap daerah juga akan bertindak mengenalpasti usahawan yang berpotensi menjadi peraih.

Bagi memudahkan para peraih menjual semula produk yang telah dikumpul, pihak FAMA turut mewujudkan rangkaian Agrobazaar Kedai Rakyat dan juga gerai Buah-Buahan Segar (GBBS).

Jadi setiap peraih boleh menjual produk-produk mereka secara terus kepada kedai-kedai ini.

Konsep Agrobazaar dan GBBS sebenarnya berasal daripada perniagaan milik usahawan yang menjalankan perniagaan menjual keperluan harian di sesebuah kampung.

''FAMA akan bantu pemilik-pemilik kedai runcit sedia ada ini untuk menaik taraf premis mereka menjadi kedai rakyat.

''Untuk memastikan ia kelihatan kemas dan menarik, FAMA akan menyediakan pelbagai kemudahan seperti kelengkapan, rak jualan, papan tanda selain memberi bantuan bekalan barang kawalan seperti beras, minyak, tepung dan gula,'' katanya.

Menurut salah seorang usahawan yang menerima motosikal roda tiga, Jumali Misman, 56, pengenalan konsep tersebut akan memudahkan kerja-kerja mengumpulkan hasil pertanian.

''Dengan adanya motosikal ini, saya boleh mengambil hasil pertanian di sekitar kawasan kampung untuk dibawa ke kedai rakyat berdekatan.

''Saya juga merupakan seorang peniaga di Pasar Tani. Jadi secara tidak langsung, saya boleh bantu memasarkan barang-barang pertanian ini terus kepada pengguna,'' katanya yang telah 30 tahun terlibat dalam aktiviti perniagaan Pasar Tani.

Seorang lagi penerima, Ramdzan Sajat, 41, berkata, beliau amat bersyukur kerana menerima bantuan tersebut.

''Perjanjian jual beli seperti ini amat mudah dan tidak membebankan peraih seperti saya.

''Memandangkan saya telah menjadi peraih sejak 10 tahun lalu, jadi menerusi bantuan ini, ia akan menyenangkan kerja saya,'' jelasnya yang turut mempunyai ladang sayur-sayuran sendiri.

Para peraih ini juga sudah dimaklumkan dengan cara penggredan dan cara menentukan harga mengikut kualiti produk.

Menerusi inisiatif seperti itu, adalah diharapkan ia dapat mengurangkan import makanan daripada luar negara sekali gus dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih mampan. - Utusan

Sate ikan keli tambah pendapatan penternak

Sunday, February 21, 2010


MOHAMAD Hidhir Abu Hassan (dua dari kiri) membakar ikan talapia sambil diperhatikan oleh Rosmawati Ghazali (kiri) pada program promosi ikan air tawar di Jasin, Melaka kelmarin.

JASIN 20 Feb. - Jabatan Perikanan negeri mengambil inisiatif memperkenalkan produk akuakultur baru iaitu sate ikan keli dalam usaha mempopularkan pengeluaran ikan air tawar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan berkata, selain mempromosi ternakan ikan air tawar ia juga dapat membantu pengusaha mempelbagai produk ternakan.

Menurutnya, pihak jabatan sedang giat mempromosi sate ikan keli di kalangan pengusaha ikan air tawar dalam usaha membantu golongan itu menambah pendapatan selain menternak ikan.

''Sebagai permulaan, kita akan mempergiatkan penganjuran kursus menghasilkan sate ikan keli anjuran jabatan kepada 351 pengusaha ikan air tawar khususnya mereka yang terbabit dalam penternakan ikan keli.

''Jika semuanya berjalan lancar dan menepati objektif program ini, produk sate ikan keli ini akan dikomersialkan secara serius dalam tahun ini juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program promosi ikan air tawar yang turut dihadiri Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau, langkah Jabatan Perikanan memperkenalkan sate ikan keli ialah bagi meningkatkan populariti ikan air tawar berikutan sambutan yang rendah diterima dari kalangan masyarakat.

Katanya, Jabatan Perikanan akan memfokuskan usaha promosi dan kursus penghasilan sate ikan keli di kalangan pengusaha sebelum memperkenalkannya di pasaran tempatan nanti.

''Pada masa yang sama, pihak jabatan akan mengadakan kempen dan promosi ikan air tawar bagi menggalakkan orang ramai dan pengusaha restoran menghidangkan masakan ikan air tawar kepada pelanggan mereka," kata beliau.

Menurut Mohamad Hidhir, ia bertujuan mendidik masyarakat mengenai khasiat ikan air tawar dan ia bermanfaat dalam mengurangkan risiko serangan sakit jantung.

Kata beliau, sepanjang 2008 lalu, pengeluaran ikan di negeri ini mencapai jumlah 8,686 tan metrik dengan nilai sebanyak RM23.8 juta.

Pada tahun lalu, katanya, jumlah pengeluaran ikan meningkat kepada 331 peratus iaitu sebanyak 28,817 tan metrik dengan nilai mencapai RM91.4 juta.

Peningkatan jumlah pengeluaran itu, kata beliau, dipercayai disebabkan pertambahan bilangan pengusaha ternakan ikan air tawar ekoran pemberian insentif dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya, antara bantuan yang disediakan oleh Jabatan Perikanan negeri itu termasuk membaik pulih kolam terbiar dan menyediakan input benih ikan dan makanan harian ternakan. - Utusan

Rezeki musim kemarau

Friday, February 19, 2010



AZLINA Azaludin bersama suaminya, Azman Yaakob menunjukkan air kelapa pandan yang dijual di gerainya berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana, Jalan Sultanah Sambungan, Alor Setar, semalam.



ALOR SETAR 18 Feb. – Siapa sangka dengan hanya menjual air kelapa pandan di tepi jalan, seorang penjual air kelapa mampu memperoleh pendapatan mencecah empat angka hanya dalam masa tiga hari.

Musim kemarau yang melanda negeri ini turut membuatkan orang ramai mencari air kelapa pandan untuk diminum bagi menghilangkan dahaga.

Selain enak untuk diminum, air kelapa pandan juga mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia dan dikatakan boleh menjadi penawar kepada racun.

Penjual air kelapa pandan, Azlina Azaludin, 28, berkata, penjualan air kelapa pada musim kemarau ini meningkat dan dia mampu menjual air kelapa sehingga 600 ke 700 biji dalam masa sehari.

“Dalam masa tiga hari jualan saya boleh mencecah 2,500 biji dan musim kemarau ini boleh mendatangkan rezeki yang berganda kepada saya.

“Setiap hari memang tak menang tangan saya dan suami, Azman Yaakob, 28, melayan pelanggan yang datang minum di gerai kami,” ujarnya ketika ditemui di gerainya yang terletak berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana, Jalan Sultanah Sambungan di sini hari ini.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya menjual air tebu di kawasan tersebut sejak dua tahun lalu dan hanya menjual air kelapa pandan pada 2009.

“Saya lihat ramai orang suka minum air kelapa dan mengambil keputusan untuk menjual air kelapa pandan kerana rasanya lebih enak dan baunya yang lebih wangi.

“Pada mulanya saya hanya jual sekitar 50 biji dalam sehari dan langsung tak sangka kini saya boleh jual sehingga beribu-ribu biji,” katanya.

Beliau berkata, dia mendapat bekalan buah kelapa pandan dari Perlis serta Thailand dan dia hanya menjual kelapa pandan terbaik di gerainya bagi memastikan pelanggan datang kembali ke gerainya.

“Ada sesetengah penjual yang jual kelapa kampung namun mereka tulis mereka jual kelapa pandan.

“Saya tidak mahu tipu pelanggan kerana prinsip saya dalam berniaga ialah kita jual apa yang kita makan,” ujarnya.

Azlina memberitahu, harga buah kelapa yang dijual di gerainya antara RM2 hingga RM2.70.

Katanya, dia tidak pernah menutup gerainya melainkan bekalan buah kelapa pandan terputus.

“Saya memang bercadang untuk membuka gerai air kelapa pandan di tempat lain namun bekalan kelapa pandan tidak mencukupi.

“Musim kemarau kali ini membuatkan permintaan terhadap air kelapa pandan semakin tinggi dan saya amat bersyukur dengan rezeki yang diberikan Tuhan kepada saya,” katanya. - Utusan

RM7j bangunkan industri tenusu

ALOR GAJAH 18 Feb. – Kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk membangunkan industri tenusu di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, peruntukan itu berasaskan pengeluaran susu segar yang meningkat 100 peratus pada tahun lalu berbanding 2008.

Menurut beliau, pada 2008, negara cuma mengeluarkan satu juta liter susu segar sebulan tetapi meningkat kepada dua juta liter pada tahun lalu.

“Industri tenusu kini berkembang begitu pesat dan memerlukan peruntukan untuk dibangunkan lagi berbanding teknologi sedia ada.

“Peruntukan di bawah Jabatan Veterinar ini akan digunakan untuk menambah baik makmal penyelidikan agar dapat dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Mohd. Johari berkata, demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira satu jam meninjau Ladang Tenusu Paabas, Jalan Ulu Rantau, Air Pa‘abas di sini hari ini.

Beliau sebelum itu turut melawat Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) di Pengkalan di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Ibrahim Che Embong.

Mengulas lanjut, Mohd. Johari berkata, pihaknya turut menggunakan peruntukan RM7 juta itu untuk membeli empat buah lori tangki baru bagi mengangkut susu segar dari tempat pengumpulan susu ke PPIT.

“Ia perlu untuk menjamin kesegaran susu kerana 10 lori tangki yang digunakan di seluruh negara ketika ini sudah lama.

“Kita juga perlu membeli 11 buah tangki simpanan susu untuk diletakkan di 11 PPIT seluruh negara dan bakinya akan digunakan untuk membangunkan makmal kajian di PPIT,” katanya.

Ladang Tenusu Paabas diasaskan di bawah modul Program Pembasmian Kemiskinan Melaka dengan pembiayaan asas oleh Unit Perancangan Ekonomi negeri (UPEN) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Mula beroperasi pada Februari 2008, ia bertujuan membantu kerajaan negeri menangani cabaran kemiskinan dan kini mempunyai seramai 64 peserta.

Ketika ini, ladang itu mempunyai 259 ekor lembu dengan 58 daripadanya mengeluarkan susu sebanyak 650 liter sehari. - Utusan

Bekalan elektrik untuk 4,000 penduduk Pulau Tuba

LANGKAWI 17 Feb. - Seramai 4,000 penduduk Pulau Tuba di sini yang kini menjana tenaga elektrik menerusi generator diesel akan menikmati bekalan elektrik lebih selesa apabila projek kabel dasar laut dari tanah besar ke pulau berkenaan dilaksanakan.

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2) Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Roslan Abdul Rahman berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa projek RM50 juta itu akan dimasukkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Pelaksanaan projek ini adalah untuk memastikan penduduk dapat menikmati bekalan elektrik yang lebih selesa," katanya pada majlis dialog bersama masyarakat, di sini hari ini.

Beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Tuba Barat, Abdul Rani Awang di majlis tersebut.

Bekalan tersebut akan disalurkan meliputi kampung Pulau Tuba Barat, Pulau Tuba Timur, Selat Bagan Nyior, Lubuk Chempedak dan Bagan Pauh.

Roslan juga berkata, TNB telah mengenal pasti beberapa projek lain untuk dilaksanakan di Langkawi tahun ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM10.6 juta.

"TNB telah membelanjakan RM3.2 juta untuk melaksanakan beberapa projek pembekalan elektrik di Langkawi," katanya.

Beliau juga berkata, seramai 1,826 pengguna domestik di Langkawi menikmati potongan rebat bagi bil bulanan berjumlah bawah RM20. - Utusan

Ibu tunggal terima bantuan mesin jahit


YAP Pian Hon (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan mesin jahit kepada ibu tunggal dan seorang penduduk miskin sekitar Serdang di Rumah Sejahtera Seri Kembangan, baru-baru ini.

SERDANG 17 Feb. - Empat orang ibu tunggal dan seorang penduduk miskin dari sekitar kawasan Serdang menerima mesin jahit untuk membolehkan mereka mencari pendapatan.


Ia disumbangkan oleh Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia cawangan Seri Kembangan dan Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kawasan Serdang.

Semua mesin jahit berkenaan diserahkan oleh bekas Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon kepada penerima terbabit dalam satu majlis ringkas di di Rumah Sejahtera Seri Kembangan di sini baru-baru ini.

Lima penerima itu ialah Nagammah Muniandy, Yam Yook Fong, Hew Kwee Lean, Wahidah Mohd. Yusof dan Chai Swee Fong.

Pian Hon memberitahu, sehingga kini, sebanyak 25 mesin jahit telah disumbangkan kepada golongan ibu tunggal dan keluarga miskin pelbagai bangsa.

"Sumbangan itu akan diteruskan bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Kami juga akan terus menjalankan program pendaftaran keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan pesakit tenat.

"Ini bagi membolehkan mereka mendapat bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban kos sara hidup mereka," katanya.

Setakat ini, ujar beliau, kira-kira 400 orang dari pelbagai bangsa di sekitar Serdang telah didaftarkan di bawah JKM dan sebilangan besar daripada mereka telah menerima bantuan kewangan bulanan.

"Kami harap lebih banyak badan bukan kerajaan akan tampil memberi kerjasama untuk membantu golongan kurang berkemampuan sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap mereka," katanya. - Utusan

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya