KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mempertahankan perpaduan bagi memastikan keamanan yang dapat terus dinikmati.
Muhyiddin berkata, jika tidak dipertahankan, ia dibimbangi mencetuskan huru-hara, sekali gus menghancurkan pembangunan yang diusahakan selama lebih 50 tahun.
Beliau berkata, tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 seharusnya dijadikan pengajaran bagi memastikan tiada pihak sengaja membangkitkan isu sensitif dan menggugat keamanan negara.
"Saya masih ingat ketika tragedi itu, saya pelajar tahun dua di Universiti Malaya. Saya melihat sendiri bagaimana takutnya orang apabila Melayu dan Cina bergaduh," katanya pada Majlis Beramah Mesra bersama Pimpinan IPT, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.
Muhyiddin berkata, pelajar IPT juga tidak sepatutnya terpengaruh dengan maklumat yang diperoleh, sebaliknya perlu bijak menilai kebenarannya.
"Kita tidak boleh dan tidak akan saring internet. Jadi, pelajar perlu bijaksana membuat penilaian." katanya. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment