Rumah PPR dijual mulai 10 Oktober

Friday, September 4, 2009

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan menjual unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Kuala Lumpur kepada mereka yang layak mulai 10 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata tawaran penjualan rumah PPR itu ialah bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional membantu golongan miskin di bandar.

"Sebanyak 44,000 unit rumah PPR termasuk rumah awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dijual pada 10 Oktober. Butiran mengenai harga penjualan rumah untuk golongan miskin itu akan diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya pada majlis Nur Ramadan dan berbuka puasa bersama Rakyat di PPR Kerinchi, Lembah Pantai di sini, semalam.

Pada 28 Ogos lepas, Najib berkata, tawaran penjualan rumah PPR itu adalah sesuatu yang amat ditunggu warga kota yang miskin dan ia sekali gus membuktikan perjuangan berterusan kerajaan bagi membantu golongan miskin di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Raja Nong Chik turut menyampaikan cek bernilai RM1,000 setiap seorang kepada 1,153 bekas penduduk rumah panjang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berpindah secara sukarela ke PPR Kerinchi.

Raja Nong Chik turut mengagihkan sumbangan Nur Ramadan sebanyak RM100 setiap seorang kepada 30 orang fakir, anak yatim, warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal yang menetap di PPR Kerinchi. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya