Pelajar jangan terpengaruh hasutan

Thursday, September 10, 2009

KOTA KINABALU 9 Sept. - Para pelajar di negeri ini diminta tidak mudah terikut dan terpengaruh dengan hasutan mana-mana kumpulan termasuk parti-parti politik yang boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sebaliknya mereka hendaklah menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran yang akan membentuk masa depan mereka dan negara.

"Saya berharap para pelajar terus belajar dan menumpukan kepada pelajaran dan jangan sesekali terikut-ikut dengan kumpulan tertentu atau parti tertentu yang boleh menghasut mereka.

"Malah kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini sentiasa peka kepada kehendak dan keperluan pelajar, jadi saya minta mereka jangan keliru dengan rentak dan gendang parti pembangkang yang cuba memporakperandakan keadaan," katanya.

Beliau berucap pada majlis cemerlang bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Inanam di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad; Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh; Pengetua SMKA Inanam, Affida Helmi dan Yang di Pertua PIBG SMKA Inanam, Ku Othman Ku Ali.

Menurut Musa, kerajaan yang ada pada hari ini amat peka kepada kehendak pelajar dan kebajikan guru bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.

"Saya sendiri bersama pengetua sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan tahap pelajaran anak-anak dan juga kebajikan para guru termasuk di luar bandar kerana kita sedar guru juga perlu dibantu supaya dapat mengajar dalam keadaan yang selesa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, umat Islam harus giat menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan tidak terhad kepada satu bidang sahaja. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya