Kerangka Ekuinas berkesan

Saturday, September 5, 2009

PUTRAJAYA 4 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dengan kandungan perincian operasi dan kerangka pelaburan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang diumumkan oleh Lembaga Pengarahnya hari ini.

Perdana Menteri melihat perincian dan kerangka itu sebagai sangat berkesan bagi membantu penyertaan bumiputera yang sama rata dan mapan dalam penghasilan syarikat-syarikat utama generasi seterusnya di negara ini.

"Melalui pelaburannya, Ekuinas akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan penyertaan bumiputera dan pada masa yang sama mewujudkan kerjasama tulen dengan bukan bumiputera.

"Hasilnya, aktiviti Ekuinas akan memberikan faedah kepada semua rakyat Malaysia dan ekonomi Malaysia," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri telah diberikan penerangan berhubung perincian operasi dan kerangka pelaburan Ekuinas oleh Pengerusinya, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda.

Ekuinas ditubuhkan sebagai anak syarikat milik penuh Yayasan Ekuiti Nasional.

Ia akan menguruskan portfolio pelaburannya sendiri serta membuat penyumberan luar sebahagian daripada dananya kepada firma pelaburan ekuiti yang berkemampuan.

Menurut kenyataan terbabit, pada sesi penerangan itu, Perdana Menteri dimaklumkan bahawa Ekuinas akan dipacu secara komersial dengan memanfaatkan sepenuhnya dana awam dan swasta bagi pelaburan dalam entiti-entiti yang memiliki potensi baik untuk berkembang.

Najib juga dimaklumkan bahawa Ekuinas akan melabur dalam syarikat-syarikat bersaiz sederhana dan besar dan akan mengambil bahagian secara aktif dalam mengembangkan syarikat yang dilabur di samping meningkatkan kualiti pengurusannya.

Perdana Menteri juga diberitahu bahawa keputusan pelaburan dan pemilihan pengurusan oleh Ekuinas akan dibuat berdasarkan merit.

Ekuinas dijangka mampu meraih kejayaan dengan membantu usahawan yang mempunyai rekod perniagaan yang baik di samping memajukan sesebuah syarikat melalui pengwujudan pengurusan yang profesional dan prestasi terbaik serta insentif berasaskan ekuiti.

"Kita memiliki sejumlah profesional bumiputera yang sangat berbakat dan kita akan memperluaskan kelompok usahawan dengan menjadikan mereka profesional-pemilik-pengurus," kata Perdana Menteri.

Menurut Najib, beliau gembira kerana Ekuinas telah memulakan operasinya dan yakin ia akan mendapat pelaburan yang sesuai dan menjadikannya sebahagian syarikat-syarikat utama Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa satu jawatankuasa peringkat tertinggi Pembangunan Keusahawanan Bumiputera akan ditubuhkan untuk memberikan fokus khusus bagi memperkukuhkan keusahawanan bumiputera dalam fasa permulaan dan pembangunannya.

Jawatankuasa itu menurut beliau akan melapor kepadanya dan dipengerusikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Jawatankuasa itu akan berasaskan model Jawatankuasa Putrajaya Bagi GLC Prestasi Tinggi yang telah berjaya dan bertujuan memperkukuhkan program-program pembangunan usahawan yang dikendalikan pelbagai institusi berkaitan kerajaan," katanya.

Tambah beliau, penubuhan Ekuinas dan Jawatankuasa Putrajaya mencerminkan pendekatan kerajaan menggunakan pelbagai instrumen bagi menangani secara menyeluruh cabaran-cabaran yang dihadapi usahawan-usahawan bumiputera dan Malaysia," katanya.

Dalam program yang sama, Perdana Menteri juga mengumumkan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ekuiti Nasional iaitu:

Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak (Pengerusi)

Timbalan Perdana Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri: Tan Sri Nor Mohamed Yakcop

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Datuk Mustapa Mohamed

Menteri Kewangan Dua: Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Ketua Setiausaha Perbendaharaan: Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi: Datuk Noriyah Ahmad. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya