Kerajaan negeri bantu penubuhan pusat jagaan

Tuesday, September 8, 2009

MELAKA 7 Sept. – Prihatin dengan nasib kira-kira 2,800 golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini, kerajaan negeri sedia membantu mana-mana pihak untuk tampil menubuhkan pusat jagaan bagi golongan tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri amat memandang serius cadangan penubuhan pusat berkenaan dan sedia menyalurkan bantuan yang diperlukan.

“Kita sedia memberikan bantuan dalam bentuk geran tahunan, latihan dan bangunan untuk membolehkan pihak terbabit memulakan operasi.

“Saya lihat di Melaka memang ada keperluan untuk menubuhkan badan ini bagi menjaga kebersihan dan kesihatan pesakit terbabit yang masih di tahap yang rendah,” katanya.

Mohd. Ali berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira dua jam melawat dan menghulurkan bantuan hari raya kepada 30 pesakit sekitar Kampung Paya Ikan, Kampung Bukit Pulau, Kampung Ku Sayang dan Kampung Bukit Baru.

Program dari rumah ke rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Baru, di sini itu turut disertai beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Ali berkata, pusat jagaan seperti itu perlu diperbanyakkan untuk menjaga golongan tersebut dengan lebih sempurna. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya