TEMERLOH 9 Sept. - Koperasi Felcra Kerdau Berhad akan membuka tanah seluas 334 hektar untuk dijadikan ladang kelapa sawit bagi memberi peluang pekerjaan kepada 240 rakyat miskin dari seluruh negeri ini tidak lama lagi.
Ketua Peserta koperasi itu, Datuk Mat Suah Burok berkata, kerja-kerja membersihkan tanah ladang itu telah bermula sejak Januari lalu dan kini hampir 90 peratus selesai.
Katanya, pemilihan senarai peserta akan dibuat melalui Pejabat Tanah dan Daerah, wakil rakyat dan pejabat Felcra sendiri.
''Kita menjangkakan ladang Felcra Kerdau 4 ini mampu menghasilkan pendapatan RM3.3 juta pada tahun pertama selepas mula mengeluarkan hasil pada tahun 2012 nanti.
''Selepas itu barulah senarai kemasukan nama peserta yang terdiri daripada rakyat miskin yang tidak mempunyai tanah akan dibuat oleh pihak berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi Felcra Kerdau Berhad di pejabat Felcra dekat sini semalam.
Menurut beliau, setiap peserta akan menerima kawasan ladang seluas 1.2 hektar dan mereka dijangka memperoleh pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM200 seorang daripada hasil ladang itu.
Sehingga kini, katanya, Koperasi Felcra Kerdau Berhad mengusahakan 2,500 hektar ladang kelapa sawit yang membabitkan 674 peserta.
Dalam perkembangan lain, beliau menyokong usaha menubuhkan konsortium membabitkan Felcra, RISDA dan Felda bagi memajukan projek industri hiliran.
Jika penubuhan konsortium itu menjadi kenyataan, ujarnya, ketiga-tiga agensi terbabit dapat menjimatkan ratusan juta ringgit setahun apabila tidak lagi terlalu bergantung kepada pihak luar untuk membekalkan baja dan pelbagai input pertanian lain.
''Selain itu usaha memasarkan produk ketiga-tiga agensi itu ke luar negara menerusi kerjasama konsortium tersebut akan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa serta kos.
''Secara tidak langsung penjimatan tersebut dapat dipulangkan semula kepada peserta dan peneroka bagi menambahkan lagi pendapatan," tambahnya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment