GENTING HIGHLANDS 9 Sept. - Malaysia hari ini menyasarkan kedatangan sejuta pelancong dari China menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr. Victor Wee Ng Lye berkata, kerajaan telah mempergiatkan usaha mempromosi Malaysia terutama di bandar-bandar besar di China memandangkan jumlah penduduknya yang banyak.
"Penerbangan AirAsia bukan sekadar meliputi lapan destinasi di selatan China malahan kini kita menjalin kerjasama dengan China Airlines dalam usaha menarik lebih ramai pelancong negara itu ke Malaysia.
"Pasaran yang paling berpotensi adalah di selatan China kerana selain populasi yang besar, penduduk di sana juga sudah biasa melancong ke luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perkahwinan besar-besaran 090909 di sini hari ini.
"Pelancong dari China merupakan kumpulan kelima terbesar berkunjung ke Malaysia selepas Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.
"Tahun ini kita menjangka jumlah pelancong China menduduki tangga keempat mengatasi jumlah pelancong dari Brunei," ujarnya.
Sementara itu, 34 pasangan dari China melangsungkan perkahwinan mengikut adat istiadat Melayu berkonsepkan moden klasik.
Mereka terpilih menikmati pakej perkahwinan dan berbulan madu di Malaysia menerusi iklan yang disiarkan dalam akhbar Southern Metropolis Daily.
Pasangan tersebut akan bercuti tujuh hari enam malam di Malaysia selain berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu dan dibawa ke sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment