16,000 ahli Risda terima dividen lebih RM60 juta

Sunday, September 6, 2009

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16,000 ahli Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sudah menerima dividen bernilai lebih RM60 juta yang dibayar sejak akhir bulan lalu.

Agihan dividen dilakukan pada Ramadan bagi membolehkan ahli membuat persiapan Aidilfitri lebih awal dan jumlah itu meningkat sebanyak RM2 juta berbanding RM58 juta tahun lalu.

Agihan itu membuktikan komitmen padu berterusan Risda dalam membantu meningkatkan perolehan dan taraf hidup pekebun kecil di negara ini yang majoritinya menetap di luar bandar.

Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, Datuk Aliasak Ambia, berkata pihaknya berterima kasih kepada Risda kerana mempercepatkan proses pemberian dividen berkenaan yang boleh digunakan ahli untuk perbelanjaan persiapan Aidilfitri.

Katanya, sejak awal Ramadan ahli dari Perak dan Pahang sudah menerima dividen berkenaan dan diikuti negeri lain secara berperingkat.

“Alhamdulillah kerana dividen yang diperoleh tepat pada waktunya yang dapat meringankan bebanan ahli menjelang persiapan menyambut hari raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aliasak mengumumkan Koperasi Ladang Pekebun Kecil Malaysia akan membayar dividen 15 peratus kepada hampir 5,000 ahlinya di seluruh negara mulai minggu depan. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya