Pemberian saham amanah langkah jangka masa pendek

Tuesday, September 1, 2009

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Persatuan pengguna menyifatkan langkah kerajaan memberi kira-kira 10,000 unit saham amanah kepada golongan miskin di kawasan bandar, tidak banyak membantu mengurangkan masalah mereka.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, langkah baik kerajaan itu hanya sesuai untuk pendekatan jangka masa pendek sahaja dalam membantu menambah pendapatan golongan tersebut.

Katanya, kerajaan sepatutnya memikirkan langkah jangka masa panjang terlebih dahulu, seperti menumpukan perhatian mengurangkan kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar.

"Antara langkah berkesan yang boleh diambil adalah dengan memikirkan cara untuk mengurangkan tambang pengangkutan awam, sewa rumah dan mengawal kenaikan harga barang keperluan.

"Kerajaan juga boleh meringankan beban mereka dengan memberikan bantuan pendidikan seperti alat kelengkapan dan buku sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang memberitahu golongan miskin di kawasan bandar dijangka menerima kira-kira 10,000 unit saham amanah setiap seorang apabila ia mula diagihkan kerajaan.

Sehubungan itu Shaani meminta kerajaan menyemak dan mengkaji semula pendekatan tersebut agar ia benar-benar sesuai untuk diguna pakai dalam mengurangkan kadar kemiskinan di kawasan bandar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George juga menyifatkan langkah murni kerajaan membantu rakyat itu hanya sesuai untuk perancangan masa pendek sahaja.

Katanya, pemberian itu belum tentu lagi memberi banyak manfaat kepada golongan tersebut memandangkan tiada jaminan mereka akan keluar daripada belenggu kemiskinan pada masa hadapan.

"Sepatutnya, kerajaan memberikan latihan kemahiran dan pendidikan kepada mereka agar mempunyai nilai tambah untuk mencipta punca pendapatan sendiri," ujarnya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman pula memberitahu, kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan membantu golongan itu untuk menambah pendapatan dengan usaha sendiri.

Ujarnya, mereka perlu digalakkan memiliki kemahiran tertentu supaya jumlah pendapatan yang dijana dapat berkembang pada masa akan datang. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya