Utamakan Rakyat : Tiada Lagi Jawapan 'Masih Dikaji' Atau 'Masih Disiasat' - KSN

Tuesday, January 5, 2010

KUALA LUMPUR: "Kita tidak boleh lagi bagi jawapan "masih dikaji" atau "masih disiasat" sebagai alasan kepada aduan orang ramai".

Demikian tegas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini yang mahu perkhidmatan kerajaan bertindak segera terhadap aduan orang ramai selaras dengan cita rasa pelanggan yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik serta respons terpantas.



"Kalau boleh, kita nak, sesuatu aduan itu dibuat tindakan dalam masa satu hari atau satu jam, bukan lagi satu minggu atau satu bulan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat panggilan setempat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini.

Pusat itu yang juga dikenali sebagai Pusat Panggilan Setempat ditubuhkan oleh DBKL bagi menerima semua aduan sebelum diselaraskan melalui satu pusat sebelum disalurkan terus ke jabatan berkaitan untuk tindakan segera.

Menggunakan Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam (i-SPAAA), pusat itu yang beroperasi sejak 1 Jan lepas menggantikan Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur (PAKL), yang diguna pakai sejak 2003.

Mohd Sidek berkata kewujudan pusat itu dilihat mampu menepati cita rasa pelanggan yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik serta memberi respons yang pantas bagi setiap aduan.

Sementara itu, Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata, melalui pusat panggilan itu, aduan orang ramai akan dibuat tindakan susulan kepada jabatan atau cawangan terlibat pada kadar segera serta pihak pengadu akan turut dihubungi bagi dimaklumkan status terkini tindakan yang telah dibuat.

Pusat panggilan itu boleh dihubungi di talian 1-800-88-3255 dan dikendalikan oleh 21 petugas yang terlatih serta beroperasi di Tingkat 1, Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut.

"Buat masa ini, ia beroperasi 24 jam termasuk cuti hujung minggu dan hari kelepasan am.

Bagaimanapun, selepas pukul 5 petang hingga 8 pagi pada hari-hari bekerja serta pada cuti hujung minggu dan hari kelepasam am, hanya aduan-aduan berbentuk kecemasan sahaja yang akan diambil tindakan serta merta manakala aduan biasa akan diambil tindakan pada hari-hari bekerja selanjutnya," katanya. - Mstar online

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya