Padi diserang bena perang

Wednesday, January 6, 2010


Keadaan padi yang rosak akibat diserang bena perang.


JITRA 5 Jan. - Belum pun keperitan menanggung kerugian kerana tanaman musnah akibat banjir hilang, para pesawah di negeri ini kini diancam pula dengan serangan makhluk perosak yang menjejaskan hasil pengeluaran padi mereka.

Makhluk perosak terutama bena perang dan hawar seludang dikatakan menyerang tanaman sejak tiga minggu lalu mengakibatkan banyak padi yang sedang membesar, musnah.

Apa yang membimbangkan petani adalah mereka akan mengalami kerugian lebih besar jika usaha untuk membendung serangan haiwan perosak berkenaan tidak berkesan atau dipandang sambil lewa oleh pihak terlibat.

Antara yang terjejas dengan serangan haiwan pemusnah tanaman tersebut ialah pesawah-pesawah di Unit Pertanian Kecil Kampung Pida 3.5, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B2 Sanglang, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini.

Ketua Unitnya, Hassan Ahmad, 61, berkata, masalah serangan makhluk perosak itu berlaku setiap musim dengan kali ini mengakibatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 400 relung sawah padi di kawasan tersebut rosak.

Keadaan itu, katanya, amat merunsingkan para pesawah kerana pendapatan mereka yang hanya bergantung kepada penjualan hasil padi terjejas teruk.

"Semasa proses penanaman, pelbagai langkah termasuk menggunakan racun telah dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan oleh MADA, tetapi tidak berhasil.

"Serangan musuh tanaman ini mengakibatkan pesawah-pesawah mengalami kerugian besar," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Keluhan itu turut dikongsi oleh seorang pesawah, Mohd. Yusoff Razak, 41, yang mengalami kerosakan padi hampir 20 peratus daripada keseluruhan 12 relung sawah yang diusahakannya akibat diserang bena perang.

Menurutnya, bagi pesawah yang semata-mata mengharapkan hasil padi sepertinya, agak sukar untuk membeli racun bagi melawan serangga perosak itu secara kerap kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

"Bagi racun untuk bena perang, kami terpaksa mengeluarkan modal sendiri kerana ia tidak diberi subsidi oleh kerajaan.

"Harga bagi seliter racun ini bernilai kira-kira RM190 dan semburan pula perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali selain terpaksa memberi upah kepada pekerja.

"Berapa banyak yang kami dapat untung jika masalah ini berterusan?" katanya yang mempunyai empat anak berusia lima tahun sehingga 16 tahun.

Seorang lagi pesawah, Ismail Awang, 51, pula kecewa kerana masalah berkenaan seolah-olah tiada penghujungnya berikutan ia berlaku hampir setiap tahun meskipun pelbagai cara telah dilakukan bagi mengatasinya.

Lebih memeritkan, katanya, kemusnahan tanaman akibat serangan makhluk perosak dan penyakit hawar seludang atau dipanggil penduduk setempat sebagai 'reput tangkai' itu ditanggung sepenuhnya oleh petani.

"Jika padi musnah akibat banjir, pesawah akan diberi ganti rugi. Tetapi jika kerana serangan makhluk perosak terpaksa ditanggung sendiri," katanya.

Rakannya, Saway Kassim, 50, berharap kerajaan akan memandang serius masalah terbabit kerana ia mampu menjejaskan hasil pengeluaran padi negara secara keseluruhan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya