Dua syarikat India minat melabur di Pahang

Tuesday, January 26, 2010

TEMERLOH 25 Jan. - Dua syarikat terkemuka dari India berminat untuk menanam modal dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta penyelidikan bioteknologi di Pahang pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dua syarikat tersebut telah menyatakan hasrat mereka untuk melabur di negeri ini pada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke India baru-baru ini.

''Semasa di India, kita (Pahang) sempat menjalinkan hubungan dengan beberapa syarikat untuk meneroka bidang bioteknologi terutama sel stem," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Persatuan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) di Dewan Tun Razak di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Adnan merupakan antara beberapa menteri besar dan ketua menteri yang mengikuti rombongan pelaburan ke India bersama Najib baru-baru ini.

Adnan memberitahu, pihaknya akan melakukan tindakan susulan dengan menghantar rombongan pelaburan untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan dua syarikat terbabit.

''Saya akan membawa anggota Exco kerajaan negeri ke India semula untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi merealisasikan hasrat ini," jelasnya.

Beliau yakin pelaburan syarikat terbabit dalam bidang bioteknologi dan ICT akan merancakkan lagi sektor industri di Pahang sekali gus menjana pendapatan negeri.

''Faedahnya akan dinikmati oleh rakyat apabila pendapatan kerajaan negeri bertambah," jelasnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya