|
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembatalan akan dilakukan serta-merta tanpa sebarang amaran.
"Kita tidak akan berkompromi. Ini dikira amaran terakhir kerana kita menjaga kepentingan pengguna terutama ketika musim perayaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengedarkan risalah kempen kepenggunaan di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan dekat sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, sepanjang tahun lalu, tujuh lesen pemborong telah ditarik balik ekoran tindakan mereka menyorokkan bekalan gula.
Ditanya kemungkinan harga gula dinaikkan lagi selepas ini, beliau memberitahu, kerajaan tidak bercadang berbuat demikian terutama ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.
"Setakat ini, kita masih kekal dengan kenaikan 20 sen yang baru dilaksanakan. Kita tidak bercadang untuk mengubahnya.
"Kerajaan memberi jaminan tiada kenaikan harga gula semasa perayaan ini," katanya.
Katanya lagi, kementerian menyedari orang ramai bimbang mengenai khabar angin bahawa harga gula mungkin akan naik lagi.
"Jangan buat spekulasi kerana ia akan memberi kesan terutama kepada pengguna. Saya tahu ada khabar angin mengenainya," katanya.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kenaikan 20 sen untuk sekilogram gula dengan harga baru bahan itu di Semenanjung naik ialah RM1.65, manakala di Sabah dan Sarawak RM1.75 sekilogram.
Mengenai kempen kepenggunaan yang dilancarkan kementeriannya, beliau berkata, ia akan diteruskan sepanjang tahun bagi menyedarkan pengguna tentang aspek dan hak-hak pengguna. - Utusan
0 comments:
Post a Comment