Model Ekonomi Baru ke Kabinet

Friday, January 22, 2010


MUHYIDDIN Yasin bertanya sesuatu kepada peniaga buah nenas dari Bario sempena lawatan Tinjauan Mesra Rakyat di Pasar Tamu Muhibbah, di Miri, Sarawak, semalam. Turut bersama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, George Chan Hong Nam dan Peter Chin.
- UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


MIRI 21 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Model Ekonomi Baru yang membabitkan masyarakat berpendapatan pertengahan kepada berpendapatan tinggi akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.

Beliau berkata, model tersebut kini dalam peringkat akhir untuk disiapkan dan akan diputuskan oleh Kabinet sebelum dilaksanakan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil langkah serius untuk memastikan Malaysia bukan sahaja dapat mengubah taraf hidup rakyat tetapi mengubah status ekonomi daripada sederhana kepada berpendapatan tinggi.

Jelasnya, Korea Selatan merupakan negara yang dapat membangun dengan pantas dan ekonomi mereka kini tiga kali lebih tinggi daripada Malaysia.

''Perdana Menteri juga mahu Malaysia bergerak seiring dengan negara-negara maju lain.

''Untuk itu, perlu ada perubahan besar berbanding apa yang telah kita lakukan sebelum ini supaya kita akan mempunyai kedudukan lebih baik dan pada masa yang sama kita akan meningkatkan standard kehidupan rakyat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalannya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sr Alfred Jabu Numpang.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelancongan meminta semua dewan perniagaan dan perindustrian di Sarawak supaya berganding bahu dengan kerajaan negeri membantu kerajaan Pusat memaju dan meningkatkan lagi industri pelancongan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan pusat tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam soal memajukan industri pelancongan dan akan memberi sokongan padu ke arah membangunkan produk pelancongan di Sarawak.

''Tidak timbul soal bahawa kita hanya tumpu di Sabah atau Johor kerana Johor negeri saya tetapi di mana ada potensi dan terdapat pihak-pihak yang sedia menyokong usaha ini, kita akan bekerjasama," ujarnya.

Muhyiddin berkata, beliau berharap kerjasama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sarawak dalam membangunkan industri pelancongan diterajui bersama oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri George Chan yang juga bertanggungjawab terhadap pelancongan di negeri ini.

''Kita akan bincang antaranya mengenai menambah bilangan penerbangan ke Sarawak dari destinasi antarabangsa seperti Singapura, dan juga perkara-perkara lain,'' katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya