SUBANG JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM300 juta tahun ini dengan kenaikan sebanyak 6 peratus berbanding tahun lalu.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Siti Maslamah Osman berkata, sasaran itu diunjur selepas mengambil kira faktor keadaan ekonomi yang semakin stabil selain kesedaran umat Islam menunaikan kewajipan itu.
Katanya, tahun lalu jumlah zakat yang berjaya dikutip adalah RM283.6 juta melebihi sasaran asal iaitu RM235 juta.
“Setiap tahun jumlah kutipan menunjukkan peningkatan dan tahun lalu sahaja kenaikan direkodkan adalah sebanyak 16 peratus.
“Jumlah itu termasuk kutipan zakat harta sebanyak RM267.03 juta dan zakat fitrah sebanyak RM16.6 juta,” katanya ketika mewakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail bagi mengumumkan rekod kutipan dan agihan zakat pada tahun lalu.
Beliau berkata, tahun lalu kutipan zakat harta menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya dan zakat pendapatan mencatat rekod tertinggi sebanyak RM153.9 juta.
“Jumlah pembayar bagi zakat harta pada tahun lalu juga meningkat sebanyak 10 peratus iaitu 154,905 orang dan daripada jumlah itu seramai 29,622 direkodkan sebagai pembayar baru.
“Bagi zakat fitrah pula bilangan umat Islam yang menunaikan kewajipan itu pada tahun lalu direkod seramai 2.3 juta orang,” katanya.
Siti Salamah berkata, daripada jumlah dikutip Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melalui LZS telah mengagihkan sebanyak RM275.8 juta kepada golongan layak di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Daripada rekod itu, kita dapat melihat jumlah asnaf fakir semakin menurun namun dalam masa yang sama jumlah asnaf miskin meningkat.
“Ia berikutan asnaf fakir dilihat sudah mampu menaiktaraf kehidupan mereka namun saya berharap jumlah golongan miskin turut akan menunjukkan penurunan,” katanya.
Sementara itu Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar, berkata, pelbagai strategi digunakan bagi mencapai sasaran yang diletakkan dalam kutipan zakat tahun ini.
“Antara pendekatan digunakan termasuklah kempen melalui media cetak dan elektronik, ceramah serta melalui dokumentari Al-Baraqah yang dipaparkan di media bagi menyiarkan ke mana wang zakat diagih.
“Memang kita akui cara berkenaan memberi kesan positif kerana pembayar sedia maklum bagaimana wang berkenaan disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment